ORANG ramai menyerbu Pusat Komuniti Kasturisari, Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor untuk tidak melepaskan peluang berurusan dengan Tabung Haji (TH) dalam Program Sehari Bersama TH Cawangan Kuala Kubu Bharu yang dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari Presint 14 pada 19 September 2022.
Program yang tidak dijangka mendapat perhatian serta tumpuan penduduk di kawasan sekitar itu diadakan dengan kerjasama Gabungan NGO Bandar Sungai Buaya (GNBSB), Rawang serta Jabatan Perpaduan Hulu Selangor.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Kawasan Rukun Tetangga (KRT)
Pengerusi KRT Kasturisari, Mahmod Mat Ali, berkata program yang julung kali diadakan itu
adalah atas dasar menyantuni penduduk sekitar Bandar Bandar Sungai Buaya seperti yang disarankan dalam aspirasi Keluarga Malaysia terutama mereka yang berusia lanjut dengan memberi peluang berurusan dengan TH
di kawasan berhampiran tempat tinggal mereka.
Menurutnya, sambutan yang diterima itu merupakan luar jangkaan
dan amat menggalakkan apabila sebaik sahaja kaunter mula dibuka jam 9.00 pagi
sehinggalah jam 4 petang orang ramai masih tidak putus-putus datang
menyelesaikan pelbagai urusan dengan TH.
Jelasnya, difahamkan lebih 300 penduduk hadir sejak awal pagi adalah untuk berurusan dengan TH bagi tujuan mengemas kini maklumat, pendaftaran menunaikan haji, menukarkan akaun kanak-kanak kepada akaun dewasa, membuka akaun baharu dan pendaftaran THiJARI.
Program itu banyak memberi manfaat kepada penduduk yang berusia lanjut.
“Kesediaan TH cawangan berkenaan untuk hadir menjayakan program ini amat dihargai kerana langkah itu secara tidak langsung memudahkan mereka yang berusia lanjut untuk berurusan sendiri dengan TH di samping memberi peluang kepada mereka bertanya pelbagai perkara khusus berkaitan jumlah simpanan dan pendaftaran menunaikan haji.
“Seperti yang pernah diuar-uarkan sebelum ini, KRT akan
sentiasa peka kepada permasalah penduduk sekitar dan akan cuba berikhtiar
sebaik mungkin untuk menyantuni mereka sebagai satu Keluarga Malaysia tanpa
mengira bangsa dan agama demi kebaikan serta kesejahteraan bersama.
“Saya berterima kasih kepada semua dan mereka yang terbabit dalam menjayakan program ini terutama ahli jawatankuasa KRT Kasturisari dan GNGO Bandar Sungai Buaya yang banyak membantu dari segi membuat hebahan sehingga maklumat program berkenaan diketahui dengan cepat oleh penduduk setempat,” katanya.
Penduduk sekitar Bandar Sungai Buaya, Rawang, Selangor menunggu giliran untuk berurusan di kaunter dalam Program Sehari Bersama TH Cawangan Kuala Kubu Bharu, di Pusat Komuniti Kasturisari Presint 14 pada 19 September 2022.
Sementara itu, Pengurus TH cawangan berkenaan, Azham Harun, berkata program turun padang menyantuni penduduk khusus pelanggan TH seperti itu sering kali dijalankan dengan mendapat kerjasama NGO dan pihak berkenaan di komuniti kawasan terbabit terutama bagi meringankan bebanan mereka yang menghadapi masalah hendak ke bandar berdekatan dan sebagainya.
Tambahnya, untuk program yang dianjurkan KRT Kasturisari itu,
TH cawangan berkenaan membuka empat kaunter serentak bagi menyantuni pelanggan
Keluarga Malaysia tanpa perlu menunggu terlalu lama menyebabkan pelbagai urusan
berkaitan dapat diselesaikan dengan lancar.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada KRT Kasturisari
bersama GNGO yang bergabung tenaga menganjurkan program ini serta komuniti
Bandar Sungai Buaya yang memberikan kerjasama amat baik apabila disantuni,”
ujarnya.
Beberapa penduduk yang ditemui pada program itu melahirkan rasa bersyukur kerana mereka tidak perlu bergegas ke pejabat cawangan TH yang terletak agak jauh dari tempat tinggal dan peluang seperti itu tidak patut dilepaskan di samping berharap program seumpamanya akan diadakan lagi pada masa akan datang. - KitaReporters
Azham Harun menyantuni seorang penduduk yang berurusan di kaunter.
Mahmod Mat Ali bersyukur program itu banyak memberi manfaat dan kemudahan kepada penduduk untuk berurusan dengan TH di kawasan kediaman.