Seni & Sukan 08 Sep, 2024

Harimau Malaya berhak julang trofi Pestabola Merdeka? Jadi sumber inspirasi kepada pasukan! - Pau

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

KAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools (dua dari kiri) dan Pau Marti Vicente (kiri) bergambar mengapit trofi Pestabola Merdeka Ke-43  dengan Miodrag Radulovic (kanan) dan pemain Lebanon, Gabriel Bitar dalam sidang media praperlawanan akhir di Subang Jaya, Selangor. - Kredit foto: FAM 


TROFI Pestabola Merdeka Ke-43 berhak menjadi ganjaran milik sebahagian besar pemain Harimau Malaya yang sudah bermain bersama sejak sekian lama iaitu antara 2021 atau 2022.

Gelaran yang kali akhir dimenangi Malaysia pada 2013 di Kuantan, Pahang itu turut akan mencipta motivasi bgi Pau Marti Vicente dalam pertandingan sulungnya sebagai ketua jurulatih negara.

“Buat saya, tidak begitu penting tetapi tetap satu motivasi dalam perlawanan ini sebagai jurulatih untuk memenanginya.

“Kepada kumpulan pemain ini yang sudah main sekian lama bersama dan saling mengenali, mereka berhak meraih pialanya,” katanya pada sidang media praperlawanan akhir Pestabola Merdeka di Subang Jaya, Selangor pada 7 September 2024.


JADUAL sepak mula perlawanan penentuan tempat ketiga dan final Pestabola Merdeka Ke-43 pada 8 September 2024. - Kredit foto: FAM


Warga Sepanyol ini mengulas menjelang final berdepan penghuni ranking ke-116 dunia berbanding tuan rumah, ke-134 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pukul 9 malam pada 8 September 2024.

Mengenai Lebanon yang dibimbing oleh warga Montenegro, Miodrag Radulovic kata Pau, “pasukan kita pernah menentang pasukan gagah (Asia Barat) seperti Oman, Jordan dan Syria (Kelayakan Piala Dunia, Piala Asia dan siri persahabatan tahap 1) yang mirip Lebanon.

“Gaya permainan dan kualiti pemain mereka agak serupa jadi kami kena hadapinya dengan persediaan taktikal dan mental,” katanya yang cuba memburu kemenangan kedua selepas menumpaskan Filipina 2-1 ketika separuh akhir, 4 September 2024 lalu.


SAYAP kanan Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi (12) ketika berebut bola dengan pemain Filipina, Jefferson David Tabinas pada separuh akhir 4 September 2024. - Kredit foto: FAM


Namun kali akhir pertemuan Malaysia-Lebanon menyebelahi lawan 2-1 di Stadium Kota Sukan Camille Chamoun, Beirut dalam Kelayakan Piala Asia 2019 tanggal 27 Mac 2018 dengan Syafiq Ahmad menyumbat gol tunggal kita.

Malah pelawat dalam kelayakan itu menundukkan Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada dari Portugal, 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 13 Jun 2017 biarpun mendahului menerusi Mahalli Jasuli.  

Hanya penyerang, Syafiq, bek kanan Matthew Davies dan sayap kiri Akhyar Rashid yang kini masih bersama Harimau Malaya daripada perlawanan Kumpulan B kelayakan di Beirut itu.

Ulas Radulovic, 57, “saya dapati Malaysia punya pemain naturalisasi yang amat bagus, berkualiti dan mengagumkan. Lebanon berasa terhormat menjadi sebahagian final kejohanan berkualiti ini.

“Kami menang dua kali, di Johor dan Beirut dengan saya sebahagian pasukan itu tetapi pasukan anda kali ini berbeza dan mereka tampak bagus menentang Filipina.

“Ini satu pengalaman kami yang bagus apabila menentang lawan sekuat Malaysia. Keadaan cuaca juga pasti berbeza dengan ketika kalahkan Tajikistan 1-0, kami bermain sebelah petang (separuh akhir 4 September 2024),” katanya. - KitaReporters


PENYERANG Lebanon, Omar Chaaban (9) saling berebut bola dengan benteng Tajikistan, Zoir Dzhuraboev pada separuh akhir 4 September 2024 yang dimenangi Lebanon 1-0. - Kredit foto: FAM


SEJARAH MALAYSIA JUARA PESTABOLA MERDEKA:

1958: Tanah Melayu/Malaya * (Jurulatih: Choo Seng Quee (Singapura))

1959: Tanah Melayu/Malaya * (Jurulatih: Choo Seng Quee (Singapura))

1960: Tanah Melayu/Malaya 0 Korea Selatan 0 (juara bersama) (Jurulatih: Choo Seng Quee (Singapura))

1968: Malaysia 3 Burma 0 (Jurulatih: Harold Hassal (England)0

1973: Malaysia 3 Kuwait 1 (Jurulatih: Abdul Ghani Minhat)

1974: Malaysia 1 Korea Selatan 0 (Jurulatih: Jalil Che Din)

1976: Malaysia 2 Jepun 0 (Jurulatih: M. Kuppan)

1979: Malaysia 0 Korea Selatan 0 (juara bersama) (Jurulatih: Mohamad Bakar)

1986: Malaysia 3 Sigma Olomuc (Czechoslovakia) 0 (Jurulatih: Jozef Venglos (Czechoslovakia))

1993: Malaysia 3 Pilihan Korea Selatan 1 (Jurulatih: Ken Worden (England))

2007: Malaysia B-23 3 Myanmar 1 (Jurulatih: B. Satiananthan)

2013: Malaysia B-23 2 Myanmar B-23 0 (Jurulatih: Datuk Ong Kim Swee)

* Juara liga sepusingan


BARISAN Malaysia yang menjuarai Pestabola Merdeka 1986 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang dibimbing Jozef Venglos dan dibantu M. Chandran (berdiri, empat dan tiga dari kiri). - Kredit foto: DSU

8
11
0
12
0
You will be interested