Seni & Sukan 28 Sep, 2021

Aaron Aziz tahan sakit takut tiada tawaran berlakon! Antara hidup mati 'Gerak Khas Undercover'!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


TIDAK mahu menyukarkan pihak produksi, pelakon bertubuh sasa, Dato Aaron Aziz, 45, rela menahan kesakitan yang dialami demi melunaskan tanggungjawabnya pada watak yang dipikul sekali pun perlu melakonkan aksi berlawan.

Malah pelakon berasal Singapura itu tidak mahu tergesa-gesa melakukan pembedahan atau pun berbincang lanjut tahap kesihatannya gara-gara takut  kehilangan tawaran berlakon.

“Kalau boleh saya tidak mahu bincang lanjut tentang tahap kesihatan mahu pun menjalani sebarang pembedahan buat masa sekarang kerana saya masih boleh bertahan untuk berlakon,” ujar Aaron ketika diwawancara dalam majlis sidang media drama ‘Gerak Khas Undercover’ secara maya terbitan Skop Productioons pada 27 September 2021.

Turut hadir penerbitnya, Datuk Yusof Haslam serta barisan pelakon antaranya Erra Fazira, Raja Afiq, Elizabeth Tan dan Ruzana Ibrahim.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Aaron Aziz

sesi sidang media secara maya bersama (dari kiri) Aaron, Erra dan Elizabeth Tan.

'Gerak Khas Undercover' bakal bersiaran selama 30 episod di TV3 bermula pada 1 Oktober 2021, setiap hari Jumaat, pukul 10.30 malam serta turut disiarkan dalam platform penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas sejam siaran di TV3.

Bercakap lanjut, Aaron memberitahu, kesakitan urat saraf yang dialami pada bahagian lehernya bukan penghalang untuk melakonkan aksi lasak seperti tendangan sambil berdiri kecuali jatuh meniarap ke belakang mahu pun ke hadapan.

“Saya tiada masalah nak berlawan sambil berdiri tetapi jangan sampai jatuh ke belakang mahu pun ke hadapan kerana itu akan menambahkan kesakitan. Adegan jatuh kenalah dilakonkan oleh ‘stunt’,” tambah Aaron yang memegang watak sebagai ASP Zaki tetapi perlu menyamar untuk mendekati dalang sindiket jenayah demi menjalankan tugas risikan.



Menariknya, kata Aaron, watak yang dipegangnya kali ini memberikan kepuasan kerana sebagai anggota polis beliau masih dapat menonjolkan sisi jahatnya.

“Sebahagian daripada saya adalah seorang anggota polis dan sebahagian lagi seorang gangster jadi menuntut pelbagai emosi dalam watak,” cerita Aaron membayangkan kepuasannya pada watak yang dipegang.

Pun begitu, kata pemilik nama penuh, Aaron Mustapha Aziz ini, yang menimbulkan kebingungan adalah apabila sakit yang dialami tidak dirasai ketika berada di set penggambaran.

“Tetapi bila tak berlakon dan duduk dirumah, sakit akan datang dan saya perlu telan ubat untuk menahan kesakitan,” ujar Aaron yang kelihatan kurang sihat ketika diwawancara sambil mengakui masih menjalani rawatan terapi.


Yusof Haslam bersama anaknya, Shafiq Yusof.

Aaron antara beberapa pelakon baharu seperti Raja Afiq, Elizabeth Tan, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Ruzana Ibrahim yang digandingkan bersama pelakon asal drama Gerak Khas terdahulu iaitu Erra Fazira, Salina Salbi, C, Kumaresan, Farid Amirul dan Dato AC Mizal.

“Saya masih kekalkan tajuk 'Gerak Khas' kerana judul itu sudah sinonim dan dikenali ramai  tetapi bezanya kali ini diberikan dimensi baharu dalam penceritaan waima tiga perempat daripada pelakonnya artis baharu,” ujar Yusof Haslam.

Antara hidup dan mati! Begitulah dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi anggota 'undercover' dalam melaksanakan amanat yang diberikan, tegas Yusof.

Tambahnya, walaupun ia masih berkisar pada penceritaan polis tetapi kali ini ia mengisahkan cabaran anggota ‘undercover’ membanteras kes jenayah.

Antaranya, kes jenayah membabitkan kumpulan kongsi gelap remaja, kes pengedaran dadah dalam kalangan pelajar sekolah, sindiket penipuan jual beli kereta, kes pelacuran dan keldai dadah dalam kalangan pelajar kolej dan lain-lain. 



Antara babak-babak melibatkan lakonan Rosyam Nor dalam 'Gerak Khas Undercover' bersama Elizabeth Tan (atas), Raja Afiq dan Aaron Aziz.


Sebagai tarikan dalam awal penceritaan siri drama ini, 'Gerak Khas Undercover' menampilkan Dato’ Rosyam Nor sebagai ketua gengster, Tony Bono yang terlibat dalam pengedaran dadah, penjualan senjata api dan juga bisnes kelab malam.

“Dato Rosyam memang pilihan saya untuk membawa watak Tony Bono dan disebabkan itu juga saya mengembangkan ceritanya kepada lapan episod berbanding enam pada asalnya,” ujar Yusof yang turut bertindak sebagai penasihat produksi untuk cerita hasil idea asal anaknya, Syafiq Yusof ini.

Syafiq juga merupakan pengarah bersama dengan C. Kumaresan, Faizal Yusof, Iskandar Kamaludin dan M.S Hakim untuk drama bersiri hebat berkenaan! - KitaReporters


11
15
0
18
0
You will be interested