Seni & Sukan 26 May, 2021

Berita Terkini| Sanggup potong kawat duri kerana mahu bersiar-siar! Akhirnya 3 ditahan polis!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this

AFFENDY berkata suspek yang ditahan mengaku memotong dawai yang mengikat kawat besi untuk melintasi sempadan bagi tujuan bersiar-siar.


GARA-GARA ingin bersiar-siar tiga lelaki termasuk dua warga Indonesa sanggup memotong kawat duri di laluan tikus berhampiran jambatan sempadan Ulu Bernam-Tanjong Malim yang akhirnya menerima padah apabila ditahan oleh polis, pada petang Selasa, 25 Mei 2021.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata, perbuatan tiga lelaki berkenaan dikesan kira-kira 2.20 petang ketika sepasukan anggota polis sedang melakukan tugas pemantauan Ops COVID-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Bernam Timur.

Ketika ditahan, semua suspek berusia 21 hingga 53 tahun mengaku memotong dawai yang mengikat kawat besi untuk melintasi sempadan dari Changkat Asa, Ulu Bernam ke Kampung Lambak, Tanjong Malim untuk tujuan bersiar-siar.

"Pemeriksaan mendapati, seorang lelaki tempatan yang ditahan mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah.

"Seorang warga Indonesia didapati tinggal lebih masa di negara ini, manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan media pada Rabu, 26 Mei 2021.

Kesemua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas kawat duri dan Seksyen 269 kanun yang sama.

"Tindakan kompaun RM5,000 dikeluarkan terhadap lelaki tempatan itu, manakala dua warga warga Indonesia berkenaan pula disiasat mengikut Seksyen 61(1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya patuh SOP yang ditetapkan dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mengundang kesalahan. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

KERANA bosan tiga lelaki sanggup memotong kawat duri yang dipasang pasukan polis di kawasan PKPD di Mukim Hulu Bertam Timur.

0
2
0
0
0
You will be interested