Seni & Sukan 16 Jul, 2021

Jaga kesihatan mental! Kawal situasi depresi! Apa kata cuba saksikan 'Suara Hati' Syafie Kyle!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Dalam menjalani tempoh PKP yang berlanjutan sekarang ini, pelakon Syafiq Kyle, 29,  mengambil langkah mengutamakan kesihatan mental agar tidak terbenam dalam situasi depresi.

“Buat masa ini kita perlu pentingkan kekuatan mental, jika tidak saya sendiri tidak akan terkejut jika saya pun akan berada dalam keadaan depresi,” begitu pendapat pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ini.

Syafiq berkata demikian ketika diwawancara dalam sidang media secara virtual mempromosikan drama berepisod ‘Suara Hati’ pada 14 Julai 2021.

Acara bersama media itu turut dihadiri dua barisan pelakon utama drama terbitan produksi Global Film Station Sdn Bhd iaitu Hanna Aqeela  dan Aidil Aziz (gambar bawah).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Syafiq Kyle



Drama bersiri ‘Suara Hati’ merupakan sebuah lagi naskah adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan novelis Anis Ayuni yang mengangkat genre kekeluargaan bakal disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang mulai 19 Julai 2021 dalam saluran Astro Prima (105) serta turut distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand.

Bercakap lanjut, kata Shafiq, menyedari berlakunya begitu banyak kes bunuh diri kebelakangan ini, beliau yakin dengan memelihara kesihatan mental setiap permasalahan dapat diatasi.

“Sebaiknya dekatkan diri dengan Allah SWT dan jangan asyik merungut dan komplen sehingga mampu merosakkan pemikiran, insya-Allah Allah akan mudahkan jalannya,” tambah Syafiq sambil dipersetujui dan disokong suami Fasha Sandha, Aidil serta Hanna yang mendengar.



Sependapat dengan Syafiq, baik Aidil mahu pun Hanna bersetuju agar kekuatan mental dipelihara dan sentiasa berfikiran postif serta sayang diri sendiri.

“Nasib baiklah saya pun dah berkeluarga, ada isteri dan anak-anak bersama pada kala lockdown ini, bolehlah saya  habiskan masa dengan mereka,” celah Aidil.

Dan bagi Hanna, katanya, “pada mulanya memang terasa ‘jam’ juga otak tetapi alhamdullilah saya sentiasa berfikirkan positif kerana hanya kita sendiri yang mampu menyayangi diri sendiri.”




Menjengah ke laman Instagram, Shafiq Kyle, terbaharu beliau memuat naik sebaris ayat dalam bahasa Inggeris yang jika diterjemahkan bermaksud ‘matahari terbenam yang indah memerlukan langit yang mendung’.

Begitulah ‘suara hati’ sebenar pelakon filem Pusaka ini dan hanya beliau yang dapat menterjemahkan maksud di sebaliknya.

Baru-baru ini, Shafiq kehilangan ‘datuk’ tercintanya yang kembali ke rahmatullah sehari sebelum tarikh hari jadinya pada 24 Jun 2021 lalu.

Melalui hantaran dalam laman Instagramnya, Syafiq sekadar berkongsi gambar memaparkan van jenazah datuknya tiba di tapak perkuburan dengan kapsyen ‘sayang atok’.


Kredit foto: IG Syafiq Kyle



Apa pun melalui drama terbaharunya, ‘Suara Hati’, yang berkisar pada kisah cinta tiga segi menggandingkan Syafiq buat kali keduanya bersama Hanna setelah tujuh tahun tidak berlakon bersama.

Malah ini juga kali pertama kedua-dua bintang ini disatukan memegang watak utama dan kerana itu keserasian yang dibina tidak menyukarkan memandangkan mereka pernah bekerjasama sebelum ini.

'Suara Hati’ mengisahkan Hani (lakonan Hanna)  seorang pelajar universiti bercinta dengan Harris (Shafiq Kyle) yang juga aktif dalam aktiviti sukan. Hani kemudian diperkenalkan ibu bapanya dengan Naim, (Aidil)  seorang pensyarah sambilan di universitinya. 

Hani dan Naim kian mesra apabila Naim mula menolong Hani untuk projek universitinya. Tetapi Hani hanya menganggap Amirul Naim hanyalah kawan biasa kerana Hani tahu, Naim ada cita-cita untuk melamar teman wanitanya sebagai isteri.


Antara babak lakonan Hanna dan Shafiq Kyle dalam 'Suara Hati'.



Kebahagian Hani dengan Harris tidak berpanjangan apabila Harris dengan tiba-tiba menghilangkan diri tanpa khabar berita, dan terus membuatkan Hani kecewa. 

Hani yang kesedihan mula membuka pintu hatinya kepada Naim, yang juga baru gagal dalam percintaan.  

Perkahwinan Hani dan Naim bahagia untuk beberapa ketika, namun tragedi yang menimpa perkahwinan mereka mula mematahkan semangat Hani untuk terus hidup. 

Pada saat itu, Harris tiba-tiba muncul semula dalam hidup Hani. Apa kesudahannya? Adakah cinta pertama dapat bertaut kembali?

Nantikan jawapannya dengan mengikuti drama 13 episod ini bermula 19 Julai nanti  di Astro Prima. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested