Seni & Sukan 07 Nov, 2020

Sejarah tercipta! Tiga bujang bernama besar berkongsi Lara!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

TIGA nama besar dalam sebuah lagu mencipta sejarah tersendiri apabila Hael Husaini, Naim Daniel dan Haqiem Rusli bergabung tenaga, suara dan berpadu emosi dalam maha karya hebat berjudul ‘Lara’. Bagaimana terhasilnya idea julung kali ini? : KitaReporters


Dari kiri: Naim Daniel, Hael Husaini dan Haqiem Rusli.


“Segalanya bermula dengan borak-borak kosong, kami sering ditemukan dalam program atau acara yang sama, dan pernah terdetik untuk mengajak Naim dan Haqiem untuk berkolaborasi jika ada peluang,” cerita Hael Husaini yang menciptakan lagu ‘Lara’ bersama rakan komposer disegani, MFMF dan turut mendapat sentuhan daripada Naim serta Haqiem Rusli.

Pun begitu, idea tercetusnya kolaborasi tersebut terhasil ketika Hael berada di Jakarta sewaktu mengendalikan rancangan ‘Stariser’ bersama Cakra Khan anjuran Astro Gempak.

“Sepanjang berada di sana, saya mendapat beberapa ilham baru, dan setibanya di Malaysia saya terus hubungi MFMF dan kami mula berbincang dan terus berkarya,” sambung Juara dua kali Anugerah Juara Lagu (AJL) 2017 dan AJL 2018 ini.

Melahirkan ucapan terima kasih kepada Juara AJL 2019, Naim Daniel dan pemenang tempat ketiga AJL 2017, Haqiem Rusli yang sudi menjadikan kolaborasi itu satu kenyataan, Hael menambah kata, "sangat mudah bekerjasama dengan mereka berdua kerana mereka antara rakan industri yang agak rapat dengan saya, dan kami juga mengenali satu sama lain secara peribadi, jadi proses itu menjadi lebih mudah.”

Menurut Hael, sebagaimana ‘Lara’ membawa maksud berasa sedih, ia menceritakan tentang perasaan yang remuk akibat dikecewakan oleh seseorang.

“Namun pendengar bebas meletakkan interpretasi masing-masing berdasarkan pengalaman mereka sendiri,” ujar Hael mengenai cerita di sebalik lagu ‘Lara’ yang memakan masa sekitar tiga bulan untuk menghasilkannya. 

Tambahnya, segala proses rakaman audio dan juga muzik video dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, waima semua kerja dibuat mengikut SOP yang sepatutnya.

“Harapan saya sama sahaja untuk setiap karya yang dihasilkan, kami mengharapkan sokongan yang tak berbelah bagi dari semua penggemar muzik tempatan untuk menaikkan sesebuah lagu, kerana anda yang bakal menentukan nasib sesebuah karya itu sampai ke tahap yang sepatutnya,” akhiri Hael.



Bagi penyanyi serta pelakon Naim Daniel, beliau melahirkan rasa seronok dapat berkolaborasi dengan Hael dan Haqiem.

“Selain keluar dari comfort zone saya iaitu team yang biasa saya bekerjasama, saya dapati kami mempunyai banyak persamaan terutamanya dalam bidang muzik, pelbagai idea yang dicurahkan dan banyak yang saya pelajari sepanjang proses rakaman berlangsung,” ujar Naim.

Hujahnya itu yang turut disokong rakan seperjuangan dan komposer muda, Haqiem Rusli yang menyifatkan kerjasama bersama Hael Husaini sebagai satu pengalaman luar biasa apatah lagi Hael merupakan penyanyi senior dikaguminya.

“Saya sangat teruja dengan kolaborasi ini, Hael seorang yang straight-to-the-point dan tahu apa yang dimahukannya. Jadi kalau dulu kita ada trio tiga suara, kini kami tampilkan sesuatu yang berlainan demi mewarnai industri muzik tempatan,” kata Haqiem.

Dan bagi Ketua Label Rocketfuel Entertainment yang memudahkan segala perancangan, Feros Sayna, beliau berpendapat persetujuan serta kerjasama yang diberikan oleh World Peace Entertainment serta FMC Music amat dihargai.

“Berani saya katakan bahawa sejarah bakal tercipta melalui lagu 'Lara' dengan kolaborasi nama-nama besar industri muzik Malaysia kerana setiap daripada mereka ada kekuatan masing-masing, Hael Husaini dengan idea-idea hebatnya yang selalu hit, Naim Daniel, penyanyi serba boleh dengan kekuatan vokal yang tersendiri, manakala, Haqiem Rusli, anak muda berjiwa kreatif dan seorang penyanyi yang bagus,”  Feros berpendapat.

Lagu ‘Lara’ boleh dimuat turun dalam iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Manakala video lirik dan muzik lagu ‘Lara’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif dalam saluran YouTube Rocketfuel Entertainment. - KitaReporters



6
0
1
0
0
You will be interested