SETELAH hampir 11 tahun terlibat dalam bidang seni terutama lakonan tetapi tidak menyerlah, hanya muncul sesekali dan usia semakin meningkat, membuat Arja Lee, 38, terfikir untuk mengubah karier ke bidang pendidikan.
Bagi mencapai matlamatnya sebagai tenaga pengajar, Arja meneruskan pengajian sehingga mendapat ijazah sarjana dari Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah di Tanjung Malim, Perak.
Dan impian Arja Lee atau nama sebenarnya, Azharudin Ramli benar-benar tercapai apabila beberapa bulan lalu dilantik sebagai pensyarah dalam bidang seni persembahan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Dia kini berbangga dipanggil 'sir' oleh pelajar-pelajar.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UMK
Menurut Arja, hasrat untuk menjadi pengajar sudah lama dipendam dan kini akan berkongsi ilmu sebagai anak seni kepada generasi muda.
“Alhamdulillah, UMK menawarkan saya untuk berkhidmat menjadi pensyarah dalam bidang seni persembahan. Saya pun baharu saja menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang itu.
“Saya melihat tawaran itu satu rezeki yang cukup bermakna kerana inilah masa untuk berkongsi ilmu sebagai anak seni. Saya ingin melihat anak-anak muda kita bersedia dan cukup serba-serbi terutama yang ingin menceburi bidang seni.
“Saya berazam memikul tanggungjawab sebagai ahli akademik sebaiknya dan berbakti dengan ikhlas menabur ilmu. Jalan sudah terbuka dan saya perlu memanfaatkan sebaiknya kepercayaan diberikan oleh UMK ini,” katanya.
Menurut Arja, sudah tiba masanya untuk dia fokus dalam bidang akademik. Tambahnya seseorang insan seni perlu memiliki kerjaya lain, tidak terlalu amat penting supaya tidak bergantung dengan pekerjaan sebagai artis.
“Saya sudah berada pada tahap yang berfikiran jauh mengenai arah tuju hidup saya. Saya mencari jaminan kerjaya yang mampu memberikan saya kepuasan selain tidak risau mengenai pendapatan.
"Kalau sekiranya bidang glamor bukan lagi fokus saya selepas ini, sekurang-kurangnya masih dapat gunakan ilmu seni dalam akademik. Dan saya yakin jalan dipilih ini yang terbaik,” tambahnya.
/
Arja Lee popular ketika muncul dalam filem pertamanya 'Dalam Botol’ arahan Khir Rahman pada 2016. Arja Lee menimbulkan kontroversi dalam filem itu apabila menjadi manusia dua alam iaitu Ruby/Rubidin.
Namun selepas itu Arja Lee kurang diberi peluang berlakon dalam filem atau drama. Dia kemudian mencuba bidang nyanyian dan menghasilkan dua ‘single’ iaitu ‘Cerita Pada Mereka’ (2014) dan ‘Bintang Malam’ (2015) namun kurang berjaya juga.
Ini membuat Arja Lee kembali memberi tumpuan ke bidang lakonan di samping menjadi model sambilan serta membuat perniagaan dalam talian. - KitaReporters