Seni & Sukan 08 May, 2021

De Paula, Shahrul tinggalkan Perak sertai JDT! Liga M bakal milik mutlak Harimau Selatan lagi?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

MAJLIS menandatangani kontrak antara kedua-dua pemain baharu JDT ini disaksikan Alistair Edwards (kanan). - Kredit foto FB JDT. - Kredit foto FB JDT.


SUDAH ada 15 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) FC sekarang dalam skuad Harimau Malaya jika senarai panggilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke kem latihan pusat dari 22 hingga 28 Mac 2021 lalu, kekal bagi sesi berikutnya pada 16 Mei 2021 ini.

Terbaharu, dua tonggak Perak FC yang turut menyertai kem latihan itu - Guilherme de Paula dan Shahrul Saad disahkan menyertai Sang Harimau Selatan dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, hari ini, Sabtu, 8 Mei 2021.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan JDT FC

GUILHERME de Paula (kiri) dan Shahrul Saad meninggalkan Perak untuk menyertai JDT. - Kredit foto: FB JDT.


De Paula yang menjadi pemain naturalisasi ketiga Harimau Malaya mulai Mac 2021 lalu, bermain di posisi penyerang manakala Shahrul yang juga kapten Bos Gaurus, selaku bek tengah.

“Selamat datang ke Rumah Juara!” lapor laman sosial berkenaan sambil memaparkan gambar de Paula dan Shahrul dengan jersi JDT bernombor 31 dan 32 berbanding 13 dan 3 ketika bersama Perak FC. 

Penyertaan mereka bersama skuad Benjamin Mora itu mengisi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 ini yang baru dibuka pada minggu lalu.

Namun laporan media sebelumnya, mencanangkan gaji bulanan pemain-pemain Perak yang kerap tertunggak, kian menumpulkan minat dan semangat mereka untuk berjuang sehingga mencatat kedudukan Liga Super yang kurang memuaskan.   

Turut dilaporkan ialah ura-ura Selangor FC dan Sri Pahang FC yang masih bergelut mencari rentak kemenangan dan kutipan mata yang konsisten, cuba memancing khidmat mereka.


GUIELHERME de Paula, kelahiran Brazil yang sudah mendapat kerakyatan Malaysia. - Kredit foto FB Perak FC


SHAHRUL Saad atau digelar Badak (kiri), bakal bersaing posisi bek tengah JDT dengan Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Mauricio serta Adam Nor Azlin. - Kredit foto FB Perak FC



Tiga belas pemain yang terdahulu dengan JDT ialah Mohd. Farizal Marlias (penjaga gol), Matthew Davies (bek kanan), Aidil Zafuan Abd. Radzak, Adam Nor Azlin (bek tengah), La’Vere Corbin-Ong (bek kiri) dan Safawi Rashid (sayap kanan).

Pemain-pemain lain termasuk Syamer Kutty Abba, Afiq Fazail, Danial Amier Norhisham, Nazmi Faiz Mansor (perantara), Akhyar Rashid (sayap kiri), Ramadhan Saifullah Usman, Mohamadou Sumareh (sayap kanan) dan Syafiq Ahmad (penyerang).

Juga jangan dilupakan perantara menyerang, Liridon Krasniqi yang turut dinaturalisasikan pada Februari 2020 lalu. Bekas warga Kosovo ini dipinjamkan oleh JDT ke kelab Australia, Newcastle Jets United sejak awal musim 2021.

Sebelum Liga M disingkap tirainya pada akhir Februari 2021 lalu, ramai pemerhati bola sepak negara sudah menjangkakan saingannya hanya menjadi milik mutlak JDT lagi yang turut digelar ‘Harimau Malaya II’.

Hanya Terengganu FC yang berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan selama 21 bulan dengan kemenangan 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 25 April 2021 lalu.


BENJAMIN Mora (kiri) memiliki pilihan pemain yang lebih ramai untuk mengukuhkan misi JDT mempertahankan gelaran Liga Super malah memburu keputusan lebih baik dalam Liga Juara Asia anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). - Kredit foto FB JDT


Namun JDT dalam laman sama, turut mengumumkan rancangannya untuk meminjamkan beberapa pemainnya kepada lawan seperti Melaka United FC, Sri Pahang FC, Sabah FC dan UiTM FC.

Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut sejak 2014 dan Piala AFC 2015 itu juga diperkasa lima pemain import yang berkualiti iaitu Leandro Velazquez, Gonzalo Cabrera, Hariss Harun, Bergson Gustavo da Silva dan Mauricio Nascimento.

Kata Pengarah Teknikal JDT FC, Alistair Edwards, “peminjaman ini akan dilakukan dalam jendela perpindahan pertengahan musim 2021 ini dan jendela perpindahan awal musim depan, 2022.”

Langkah ini dipercayai mampu memberikan pemain-pemain JDT yang kerap hanya memanaskan bangku simpanan, peluang meraih lebih banyak minit permainan, sekali gus tidak ‘mengaratkan’ prestasi semasa mereka.

Kemasukan mereka bersama empat lawan JDT dalam Liga Super itu juga bakal lebih meyakinkan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe mencari barisan pemain terbaik Harimau Malaya.

Skuad negara bakal menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 mulai 3 hingga 15 Jun 2021 ini menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam Kumpulan G serta Piala AFF dari 5 hingga 31 Disember 2021 ini. - KitaReporters


ADA 15 pemain Harimau Selatan dalam skuad pelatih Harimau Malaya pada Mac 2021 lalu dan majoritinya dijangka kekal apabila skuad negara menyambung latihan 16 Mei 2021 ini. - Kredit foto: FAM

0
1
0
0
0
You will be interested