PENDUDUK di Terengganu hanya boleh keluar (tubik) secara bergilir-gilir sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa kedua yang bermula 1 April 2020, berikutan Polis Terengganu melaksanakan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di atas jalan raya. : KitaReporters
Penguatkuasaan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan itu dijangka dapat mengurangkan sekitar 50 peratus jumlah kenderaan. - Kredit foto: Twitter @PDRMsia
Pelaksanaan penguatkuasaan peraturan sehingga tempoh PKP Fasa II tamat pada 14 April 2020 itu diambil sebagai satu langkah bagi mengehadkan lagi pergerakan kenderaan di atas jalan raya.
Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, penguatkuasaan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan itu dijangka dapat mengurangkan sekitar 50 peratus jumlah kenderaan termasuk motosikal di atas jalan raya.
"Melalui pelaksanaan Sistem Penggiliran Berasaskan Nombor Pendaftaran Kenderaan ini angka terakhir bagi setiap nombor pendaftaran akan dijadikan panduan sama ada ganjil ataupun genap.
"Kenderaan persendirian dengan angka nombor ganjil sahaja akan dibenarkan bergerak untuk sebarang urusan esok, manakala yang bernombor genap tidak dibenarkan berada atas jalan raya.
"Keesokan harinya pula (2 April), kenderaan yang digit nombor pendaftaran genap akan dibenarkan dan begitulah seterusnya secara bergilir-gilir sehingga tempoh PKP Fasa II tamat," katanya.
Pemberitahuan mengenai Sistem Penggiliran Nombor Berasaskan Pendaftaran Kenderaan di atas jalan raya tular dalam media sosial.
Tambah beliau, bagaimanapun bagi kenderaan perkhidmatan penting serta yang punyai bukti daripada jabatan ataupun syarikat bertugas dibenarkan berada atas jalan raya.
Ujarnya lagi, pendekatan sedemikian terpaksa dilaksanakan untuk mengehadkan jumlah kenderaan berikutan masih tinggi di atas jalan raya seolah-olah masyarakat tidak endahkan PKP. - KitaReporters
Perintah PKP Fasa Kedua untuk diambil ingatan oleh orang ramai
Polis mengeluarkan garis panduan dalam tempoh PKP Fasa Kedua
Kredit foto: Twitter @PDRMsia