Kain rentang mengalu-alukan kedatangan murid untuk kembali ke Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama (SKTKU), Selangor.
TERKEBIL-kebil murid daripada Kumpulan B Tahap Satu dan Dua (Tahun Satu hingga Enam) sebaik sahaja menjejakkan kaki di pintu masuk Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama (SKTKU), Selangor apabila disambut kru syarikat penerbangan seperti ‘pramugari’ serta ‘pilot’ pada Isnin, 8 November 2021 lalu.
Bukan murid sahaja terkejut malah ibu bapa juga kehairanan melihat situasi itu sebaik sahaja menghantar anak mereka di pintu pagar SKTKU sebaliknya bertukar teruja apabila menyedari gimik warga pendidik sekolah berkenaan.
Lagi kisah menarik berkaitan sesi persekolahan
M Khalimi (tengah) bersama guru penolong kanan dan guru mengenakan pakaian pilot dan pramugari menyambut kedatangan murid SKTKU pada 8 November 2021.
Murid yang kelihatan tercengang pada awalnya itu, mula rasa kagum dan teruja apabila yang disangka pramugari dan juruterbang itu rupa-rupanya guru-guru mereka.
Ibu bapa pula mengambil peluang berswafoto bersama-sama guru yang menggayakan persalinan seragam kru penerbangan serta untuk dikongsi bersama keluarga.
Guru Besar SKTKU, M Khalimi Dalhan berkata, gimik itu dipraktikan sebagai menghidupkan suasana gembira dan menyeronokkan serta menggalakkan murid kembali ke sekolah dalam norma baharu selepas lebih lima bulan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Menurutnya, usaha itu juga secara tidak langsung menggambarkan kesepakatan warga pendidik dan barisan pentadbir SKTKU serta membuat cara terbaik dalam usaha menghidupkan suasana bagi lahirkan rasa teruja untuk datang ke sekolah kepada murid terutama mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Seorang bapa berswafoto bersama-sama M Khalimi (kiri) kerana tertarik dengan gimik dan kreativiti guru SKTKU memotivasi murid.
Jelasnya, apabila guru berpakaian sebegitu, murid kelihatan teruja seolah-olah disambut oleh kru syarikat penerbangan.
Malah mereka kelihatan yakin ‘selamat’ serta situasi bertambah menarik dengan adanya kain rentang gambar kapal terbang yang dipasang, gaya pengumuman seperti dalam pesawat di samping pemberian cenderamata ringkas kepada murid sekolah berkenaan.
“Kerjaya pengurusan penerbangan biasanya antara yang tercatat paling tinggi sebagai pekerjaan idaman murid. Selalunya bidang kerjaya ini dikaitkan dengan perwatakan serta berpakaian yang segak dan menarik.
“Daya tarikan lain pendapatan lumayan, peluang untuk melihat panorama satu dunia, kemahiran pelbagai bahasa dan bersifat sentiasa membantu orang lain juga sinonim dengan disiplin tinggi dalam segala aspek untuk memastikan penerbangan selamat tiba di destinasi memikat cita-cita ramai murid,” katanya.
M Khalimi bersama-sama guru bergerak ke kelas bagi memberikan motivasi kepada murid yang ceria kembali ke SKTKU untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka.
Tambah M Khalimi, paling penting objektif utama adalah
untuk memastikan semua murid berasa seronok hadir untuk mengikuti pembelajaran
secara bersemuka semula selepas lama mengikuti PdPR disamping meyakinkan mereka
dan ibu bapa mengenai pihak sekolah
prihatin kepada aspek selamat khusus berkaitan pandemik COVID-19.
Menurutnya, sebelum sesi persekolahan dibuka operasi pembersihan dilakukan bersama dengan kerjasama guru yang sanggup berganding bahu dan turun padang bagi membersihkan persekitaran sekolah selain memasang pelekat nama pada meja dan kerusi murid untuk memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi.
Seorang guru membersihkan serta membuat semburan sanitasi kerusi dan meja yang akan digunakan oleh murid selain meletakkan tanda nama sebagai mematuhi SOP pandemik COVID-19.
“Pentadbir SKTKU turut melakukan intervensi dan peneguhan
supaya memberi kesinambungan positif terhadap aspirasi Kementerian Pendidikan
seperti dari segi aspek psikologi, keyakinan diri murid, perkembangan mental
dan pembudayaan norma baharu dalam kalangan warga sekolah yang akan terus mereka amalkan apabila bersama keluarga.
“Untuk minggu akan datang kami akan memikirkan cara lain bagi menyambut kedatangan murid ke sekolah termasuklah kearah membantu dari segi kebajikan sesetengah murid serta keluarganya yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya. - KitaReporters
Seorang guru kelihatan anggun dalam persalinan pramugari melayan anak muridnya ketika berada di dalam kelas.