Seni & Sukan 09 Jan, 2022

Video| Aiman Hakim-Hannah Delisha masih boleh bercinta? Walaupun sudahpun ada isteri, suami!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Kedua-dua artis utama dalam drama ’28 Hari Mencari Cinta’, Aiman Hakim Ridza mahu pun Hannah Delisha sudah pun bergelar suami dan isteri orang, namun mereka bersyukur mempunyai pasangan hidup yang juga berdarah seni dan memahami tugasan masing-masing.

Aiman Hakim memperisterikan pelakon Zahirah MacWilson pada 20 Februari 2020 dan kini sudah pun mempunyai seorang cahaya mata, Isaac Raees berusia setahun.

Hannah Denisha pula bernikah dengan pelakon senegaranya, Imam Shah pada 18 Februari 2021 di Singapura setelah 5 tahun mereka menjalin hubungan bersama, namun belum mempunyai anak.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan drama


Keluarga bahagia Aiman dan Zahirah bersama permata hati yang kini berusia hampir setahun. - Kredit foto @aimanhakimridza


“Tidak ada masalah berlakon watak romantis asalkan tidak melampaui batas malah, Zahirah pun memahami sebab dia pun dalam bidang sama malah dia sering bertanya bagaimana penggambaran dan sebagainya. Itu membuatkan saya lebih bersemangat apabila mendapat sokongannya,” ujar Aiman yang juga tidak mengawal kehendak isteri jika terima tawaran berlakon. 


Hannah dan suami, Iman Shah. Foto kredit @hannahdelisha.


Sependapat dengan Aiman, Hannah Delisha yang ditemui bersama pada sidang media drama ’28 Hari Mencari Cinta’ secara virtual baru-baru ini turut bersyukur suaminya, Imam Shah yang juga aktif dalam lakonan tidak menghalangnya untuk terus berlakon.

“Sebagai pelakon adalah tanggungjawab kita untuk menjiwai watak yang diberikan dan usah campur adukkan soal rumah tangga dengan kerjaya. Tiada timbul isu itu kerana alhamdullilah suami pun memahami,” sambung Hannah.

Turut hadir bersama mereka dalam sidang media tersebut adalah pengarahnya, Ng Ken Kin yang turut berpuas hati dengan lakonan kedua-dua pelakon utamanya itu.



“Mereka memang serasi malah berkongsi idea untuk menambah baik dan menghidupkan watak masing-masing,” ujar Ken.

Ini merupakan kali kedua Aiman dan Hannah digandingkan bersama selepas drama ‘Aku Cinta Dia’ kira-kira tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan adakah ada tawaran berlakon diterima oleh Aiman dan isterinya untuk digandingkan bersama jawab Aiman,”memang ada tetapi buat masa ini saya dan Zahirah mahu menumpukan tanggungjawab menjaga Isaac memandangkan kami belum berhasrat mengambil pembantu rumah untuk menjaga anak.”

Tambah Aiman, memang sudah lama mereka mahu berlakon bersama dan berharap peluang itu akan kembali dan dipermudahkan kelak. 



Bagi Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch pula, beliau yang masih dikira dalam tempoh ‘berbulan madu’ berharap mendapat tawaran yang lebih mencabar dirinya seperti watak dalam cerita psycho thriller atau hantu.

“Tetapi apa yang saya tak suka apabila mendapat tawaran itu mereka mahu mulakan penggambaran tergesa-gesa kerana saya perlu mengkaji dahulu watak itu terutama jika watak berat, takkan nak main hentam je tanpa ada persediaan terlebih dahulu,” akui Hannah sambil memberitahu beliau perlu sekurang-kurangnya sebulan dua untuk belajar menjiwai watak yang diberikan.

Apa pun yang nyata, wajah redup kedua-duanya, baik Aiman dan Hannah memang nampak serasi sebagai pasangan ‘kekasih’ sebagaimana yang telah dibuktikan dalam drama terdahulu.

Drama bersiri 14 episod, ’28 Hari Mencari Cinta’ terbitan Orangetree Production Sdn Bhd ini  mula disiarkan menerusi slot Lestary pada setiap hari Rabu hingga Sabtu, pukul 9 malam di TV3 malah boleh distrim juga secara langsung di www.tonton.com.my.

Turut berlakon Khaty Azean, Ameerul Asyraf, Elly Ariffin, Muaz Fitri, Aleza Shadan, Fiza Thomas dan ramai lagi. - KitaReporters


8
15
0
9
0
You will be interested