SERAMAI 100 orang anak seni bakal dijadikan perantis pertama Program Survival Pandemik Anak Seni Seniman (SPASS) dalam majlis pelancarannya yang dianjurkan oleh Persatuan Seniman Malaysia dengan kerjasama VML Emperor Sdn Bhd (VML) dan TJQ Health Care (TJQ) di Malaysia Tourism Centre (MATIC), Jalan Ampang , Kuala Lumpur pada Rabu, 17 Mac 2021.
Tujuannya memulih dan membantu pendapatan anak seni yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan sejak kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga Prosedur Operasi Standard (SOP) atau amalan penjarakan sosial setahun yang lalu.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Seniman:
https://kitareporters.com/search?search=seniman
Kredit foto: Oh! Media
Dalam tempoh tersebut, banyak aktiviti pengambaran dihentikan dan mereka hilang pekerjaan. Ini diakui oleh beberapa artis yang turut hadir di majlis tersebut. Bagaimana pun pihak persatuan sentiasa mencari jalan bagi membantu kelangsungan hidup golongan artis ini melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak yang prihatin.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi berkata, program tersebut antara inisiatif persatuan menyokong anak-anak seni mencari ikhtiar lain misalnya dalam bidang perniagaan.
“Untuk kali pertama, kita
memberi tumpuan kepada artis yang mempunyai keinginan untuk berniaga dan kepada
mereka yang hilang punca pendapatan serta kurang berupaya untuk bekerja kerana
faktor umur atau masalah kesihatan.
“Kita sedar tidak semua anak seni mampu untuk memulakan perniagaan kerana memerlukan modal yang besar, maka dengan kerjasama dengan pihak VML dan TJQ harapan mereka lebih cerah,”ujarnya.
Zed Zaidi (empat dari kanan) dan Romeyzee Zainuddin (empat dari kiri) dan Shahrul Nizam Hassan (tiga dari kanan) bersama ahli persatuan Seniman yang mendaftar sebagai perantis dalam Program Survival Pandemik Anak Seni Seniman pada majlis pelancarannya di MATIC, Jalan Ampang pada 17 Mac 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif VML, Romeyzee Zainuddin berkata, program tersebut adalah tanggungjawab sosial korporat syarikatnya.
“Bagi menjayakan program SPASS ini, artis yang mendaftar akan dilantik sebagai mentee, manakala pihak VML dan
rakan kongsi TJQ bertindak sebagai mentor untuk memberi latihan dan bimbingan
berterusan.
“Pek permulaan perniagaan
yang bernilai lebih kurang RM200, melayakkan peserta membuat pendaftaran keahlian secara percuma
yang ditaja oleh VML. Ia tidak termasuk kursus dan latihan yang bernilai RM3,000
sehingga mereka mampu memasarkan produk secara offline
atau online.
“Produk yang akan dipasarkan ialah Vita C Mix Berry (makanan tambahan yang kaya dengan vitamin C dan ektrak campuran buah-buahan) dan sapuan krim, Gaharu Gell Max yang bagus untuk membantu melegakan lenguh sendi dan gout. Selepas ini dua lagi produk akan menyusul,” katanya.
Menurutnya lagi, program SPASS tersebut akan berlangsung dalam tempoh yang panjang dan berterusan dan bukan bukannya berbentuk “one off” sahaja.
“Artis yang bersama-sama
kami akan dibimbing untuk mempunyai ilmu perniagaan yang betul dan boleh
berkembang dengan baik bagi tujuan beroleh pendapatan,” ujarnya.
Katanya lagi, mereka yang
mendaftar berpeluang membuat pemeriksaan darah secara percuma oleh pakar
perubatan di Pusat Rawatan TJQ Health Care di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Rawatan darah tersebut menggunakan mesin peranti perubatan yang telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SIRIM yang dikenali sebagai semiconductor laser therapeutic.
Pelakon Nor Albaniah antara artis yang menerima kit permulaan sebagai perantis dalam program Survival Pandemik Anak Seni Seniman di MATIC, Jalan Ampang pada 17 Mac 2021.
Sementara itu bagi pelakon Nor Albaniah Raffie yang turut hadir sebagai tanda sokongan kepada program anjuran Persatuan Seniman mengakui, sejak PKP dilaksanakan setahun yang lalu pendapatannya terjejas teruk.
“Saya akui terjejas dan
sentiasa menyokong usaha persatuan seperti program hari ini kerana tujuannya
membantu. Terpulang kepada artis itu sendiri untuk menerima atau sebaliknya
kerana perlu diteliti syarat-syaratnya dan kalau sesuai kenapa tidak kita mencubanya,” katanya.
Menyentuh mengenai kerjaya
seni, Albaniah yang telah berlakon lebih 30 tahun lalu berkata, sejak Ahmad Fauzi mengajaknya berlakon
dalam filem Kolej 56 pada tahun 1989 dia
tidak pernah melakukan pekerjaan lain.
“Ketika itu usia saya 19 tahun dan hanya berlakon itulah yang saya tahu sehinggalah sekarang sebagai usaha mencari pendapatan. Sebelum PKP,
memang sentiasa ada tawaran berlakon dan ia cukup menampung keperluan harian
saya yang hidup sendirian selepas suami meninggal.
“Bila situasi berubah
sejujurnya saya bingung juga untuk menyesuaikan diri tetapi bukan perangai saya untuk memberitahu kepada khalayak sama
ada makan di bawah jambatan atau di hotel bertaraf lima bintang. Saya teruskan
hidup seadanya dan masih ada keluarga yang membantu.
“Sejak PKP dilonggarkan,
alhamdulillah sudah ada tawaran berlakon
semula dan dalam keadaan begini saya buang ego, saya hubungi penerbit dan
pengarah yang pernah bekerjasama dan memaklumkan bila-bila masa bersedia ke set pengambaran,” katanya.
Pelakon Ako Mustapha antara artis yang menyokong program Survival Pandemik Anak Seni Seniman yang dilancarkan di MATIC, Jalan Ampang pada 17 Mac 2021.
Seorang lagi artis yang ditemui, Ako Mustapha turut mengakui keprihatinan persatuan dengan nasib anak seni dengan mencari alternatif selain berlakon sentiasa disokong.
Katanya, program SPASS seperti melibatkan diri dalam bidang peniagaan
mampu membantu artis memulihkan pendapatan dalam musim pandemik ini.
“Saya hadir sebagai tanda
sokongan kerana masih mempunyai pekerjaan dan kini lebih suka bekerja di belakang tabir
kerana faktor usia dan kesihatan.
“Sejak lima tahun lalu saya
diuji dengan masalah penyakit kencing manis dan sejak itu kesihatan diutamakan. Saya meneruskan kerja dalam industri seni sebagai penerbit. Saya pernah jadi pelakon dan juga pengarah tetapi saya
lebih senang dengan apa yang dilakukan sekarang kerana lebih bebas berkarya.
“Buat masa sekarang saya sibuk
dengan filem bertajuk Baik Punya Along yang diarahkan oleh Afdlin Shauki dan
perancangan diteruskan walaupun situasi pandemik belum berakhir.
“Sebenarnya situasi sangat membimbangkan takut kos tidak menampung semula tetapi pelakon utamanya Zizan dan Johan. Harap daya tarikan mereka berjaya menarik penonton ke panggung apabila ditayangkan nanti,” ujarnya. - KitaReporters