Seni & Sukan 08 Jun, 2022

Polemik reinkarnasi: Ustaz Zainul Asri mohon maaf, tarik balik kenyataan! Netizen desak tindakan!

@jamliah abdullah
Penulis konten & pemberita sambilan. Cintai alam semula jadi & makanan. Suka menulis untuk membantu yang memerlukan. Anda punyai kisah menarik untuk dikongsi, emelkan ke jamliah.bismi18@gmail.com

Share this


SETELAH menerima kecaman dan kritikan hebat ekoran kenyataan perpindahan roh dari jasad ke jasad atau reinkarnasi, penceramah bebas Ustaz Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli akhirnya tampil memohon maaf serta menarik balik kenyataan kontroversi itu.

Akur dengan kekhilafan yang mencetuskan polemik serta keresahan umat Islam di Malaysia, penceramah tersebut menjelaskan, apa yang dipertuturkan itu sekadar meminjam kata-kata daripada tok gurunya yang sudah meninggal dunia.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan isu-isu kontroversi

 


“Mengenai kenyataan saya tentang perpindahan roh dari jasad ke jasad, saya tarik balik kenyataan itu. Dengan lafaz Sayyidina Muhammad sebenarnya saya pun tak tahu… bukan lafaz saya… daripada guru saya,” katanya dalam laman Facebook miliknya, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli.

Dalam video berdurasi empat minit itu, Muhd. Zainul Asri turut memohon maaf di atas kenyataan tersebut yang dianggap meresahkan umat Islam. 

“Saya minta maaf kepada umat Islam di Malaysia yang mengikuti polemik ini. Saya minta maaf kerana meresahkan umat Islam. Tak usah panjang-panjanglah… saya tarik balik kata saya itu bukan kalam saya,” katanya. 


 


Pengakuan dan permohonan maaf penceramah bebas berkenaan tampil setelah tular video dan komen ramai orang ramai mengenainya. 

Beberapa hari lepas tular video penceramah berkenaan berkaitan roh manusia boleh berpindah dari satu jasad ke jasad lain

Menerusi video berdurasi 10 minit itu pendakwah bebas itu mengatakan gurunya pernah menyebut kononnya Allah SWT mencipta roh yang boleh berpindah randah

Kenyataan tersebut mengundang pelbagai kritikan dan kecaman kerana ia jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

Malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini menyenaraikan antara ciri-ciri ajaran sesat yang merosakkan akidah umat Islam yang merupakan amalan, upacara dan adat bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang mendakwa orang mati mampu menjelma ke dalam jasad orang hidup.



Perkara itu mengundang pelbagai reaksi termasuk Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd. Noor (gambar bawah) yang menjelaskan bahawa reinkarnasi itu adalah kepercayaan karut dan khurafat.  

Dalam pada itu, permohonan maaf dan penarikan balik kenyataan reinkarnasi itu terus menjadi perdebatan dalam media sosial apabila ada yang memuji tindakan itu dan tidak ketinggalan mendesak pihak berkenaan mengambil tindakan wajar demi kesucian Islam. - KitaReporters


24
9
1
19
1
You will be interested