Seni & Sukan 13 Mar, 2022

Keluarga Malaysia bantu warga emas! Yayasan Tzu-Chi, Pelitawanis TNB, Health Lane Family Pharmacy!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


Azman menerangkan sejarah pembukaan PJMM kepada ahli Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia.


YAYASAN Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia senantiasa mengamalkan aspirasi Keluarga Malaysia dalam aktiviti kerja amal membantu rumah kebajikan dan hospital tanpa mengambil kira atau membezakan kaum, bangsa dan agama demi kesejahteraan hidup untuk semua.

Ahli jawatankuasa yayasan itu, Chin Mee Chwong, berkata perkara berkenaan diketepikan dalam melakukan kerja kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup termasuk yang mendiami pusat jagaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan rumah kebajikan

Azman dan Chin Mee melihat alat bagi mengangkat warga emas yang mempunyai lebihan berat badan.


Menurutnya, yayasan juga amat prihatin dengan nasib mereka yang ditimpa musibah termasuk bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara apabila kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

“Apabila menerima maklumat kami akan turun padang bagi menghulurkan bantuan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi meringankan bebanan ditanggung dan mangsa yang malang pula akan tahu ada pihak yang ambil peduli membela nasib mereka.

“Kami seperti NGO lain juga berasa bangga serta teruja membantu pelbagai lapisan penduduk ditimpa musibah yang secara tidak langsung mendokong usaha kerajaan dalam membela nasib rakyat,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan peralatan perubatan dan ubat-ubatan kepada Pusat Jagaan Mahmudah (PJMM), di Semenyih, Selangor, pada 12 Mac 2022.

Yayasan berkenaan menyumbangkan katil perubatan serbaguna, peralatan untuk mengangkat mereka yang melebihi berat badan, tilam serta ubat-ubatan. Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman dan Pengurus PJMM, Sazali Mohiden.


Azman (tengah) dan ahli Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia bersama-sama barangan perubatan yang disumbangkan untuk Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih, Selangor pada 12 Mac lalu.


Pada majlis terdahulu pada hari yang sama, Pelitawanis TNB Dua Sentral (PTNB2S) turut hadir ke PJMM bagi menyumbangkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, susu, gula, bihun dan sebagainya.

Timbalan Pengerusi 1 PTNB2S, Norhaliyati Norul Azmi, berkata sumbangan itu antara kerja amal kebajikan mereka sebaik sahaja mendapat maklumat daripada ahli jawatankuasa yang memaklumkan PJMM memerlukan bantuan termasuk menguruskan warga emas tersisih yang sakit.

Menurutnya, turut hadir bagi menyerahkan sumbangan itu Pengerusi PTNB2S, Datin Noor Aini Mustapha dan Penasihat, Datuk Fazil Ibrahim bagi melihat sendiri secara dekat pusat jagaan berkenaan.


Faiz (kiri), Sazali, Fazil, Noor Aini, Roslina, Norhaliyati, Aimi dan Azman pada majlis penyerahan sumbangan barangan makanan asas oleh Pelitawanis TNB Dua Sentral kepada PJMM.


Sementara itu Azman berkata, Health Lane Family Pharmacy turut menyampaikan sumbangan pelbagai barangan perubatan dan ubat-ubatan hasil sumbangan pelbagai pihak dan orang ramai dalam kempen yang diadakan kepada PJMM pada hari yang sama. 

Tambahnya, PJMM memang mengharapkan ehsan daripada orang ramai dan tokoh dermawan serta korporat untuk membantu operasi kerana warga emas tersisih yang ditempatkan di situ tidak dikenakan sebarang bayaran.

Menurut beliau, mereka itu biasanya dirujuk pihak hospital dan jabatan berkenaan untuk ditempatkan di PJMM apabila tidak mempunyai waris untuk menjaganya selain uzur dengan menghidap pelbagai penyakit bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Amat perlu bagi kami mengharapkan bantuan dalam pelbagai bentuk bagi menampung kos operasi dalam melaksanakan tugas sukarela menjaga serta menguruskan warga emas terbabit selain mengalu-alukan jika ada pihak ingin melakukan aktiviti kemasyarakatan di PJMM supaya dapat melalui sendiri kerja yang dilakukan,” katanya.

Mereka yang ingin membantu termasuk untuk mengeluarkan zakat boleh menghubungi Azman Rasman menerusi nombor phone 019-977 7419, Ruslan Saidin (019- 212 3757) dan Sazali Mohiden (019-368 8142) sementara sumbangan wang boleh disalur ke Akaun CIMB Islamic -8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia) atau ke Akaun Maybank Islamic -562384521053 (Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia). - KitaReporters

Azman bersama-sama barangan perubatan yang disumbangkan Health Lane Family Pharmacy.

32
18
0
8
0
You will be interested