Seni & Sukan 26 Aug, 2021

Video| Tolong kami! Bantu pusat jagaan warga emas terbiar! Jangan biarkan Terkulai Di Senja Hari!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Dari kiri berdiri di belakang, Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Ruslan Saidin; Pengurus Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Sazali Mohiden; Penasihat 1 Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman; dan Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Mohiadin Bahado (duduk) bersama Setiausaha Pusat Jagaan Nur Hasanah, Aidah Jaamat melihat buku Terkulai Di Senja Hari yang baru siap dicetak.


TERKULAI Di Senja Hari (TDSH) menjadi pergantungan harapan dua pusat jagaan warga emas terbiar di Semenyih dan Beranang, Selangor bagi mengumpul dana dalam situasi terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 sekarang.

Buku setebal 134 muka surat yang mengandungi kisah benar penghuni di pusat jagaan berkenaan digarapkan dalam bentuk cerpen itu kini mula dijual secara dalam talian sebaik sahaja siap dicetak sebelum PKP penuh dikuatkuasakan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan buku

Mohiadin dan Aidah meneliti buku cerpen hasil tulisan mereka yang menghadapi pelbagai masalah untuk diterbitkan.


Pengerusi Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, Mohiadin Bahado, berkata buku itu menjadi harapan untuk mengumpul dana bagi tujuan membantu membiayai operasi pusat jagaan berkenaan dan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, di Semenyih, Selangor.

Menurutnya, walaupun sering menerima sumbangan daripada pelbagai pihak namun inisiatif lain perlu dilakukan oleh pihak pengurusan bagi mengumpul dana untuk memastikan pusat jagaan itu dapat terus beroperasi tanpa masalah khusus dalam situasi PKP pandemik Covid-19.


Buku cerpen Terkulai Di Senja Hari mengambil masa lebih lima tahun untuk diterbitkan.



Terang beliau, sebagai salah satu usaha dan cara yang difikirkan bersesuaian dalam mencari dana itu ialah dengan menerbitkan buku berkenaan yang membolehkan orang ramai membeli sambil beramal kerana hasil jualannya akan diagihkan kepada dua pusat jagaan berkenaan.

“Perancangan yang dibuat lebih lima tahun lalu itu membolehkan saya sebagai penulis bersama Setiausaha Pusat Jagaan Nur Hasanah, Aidah Jaamat mendapatkan maklumat dan mengumpul kisah benar penghuni di dua pusat jagaan berkenaan.


Beberapa kakitangan Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur mengambil kesempatan membeli buku berkenaan ketika hadir menghulurkan bantuan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia baru-baru ini.


“Berpandukan cerita yang diucapkan sendiri oleh penghuni berkenaan ketika ditemu bual di samping kami meneliti fail latar belakang mereka seperti yang diterima daripada pelbagai pihak dan sebagainya sebelum dapat menghasilkan 22 cerpen ini.

“Kerana kekangan PKP dan tidak dapat dijual secara bersemuka, buku ini terpaksa kami menjual secara dalam talian selepas diuar-uarkan menerusi Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya sejak tiga minggu lalu,” kata Mohiadin.


Mohiadin sibuk melayan panggilan telefon daripada orang ramai yang bertanyakan mengenai buku berkenaan.


Selain mengandungi 22 cerpen kisah benar buku itu turut memaparkan aktiviti pusat jagaan berkenaan yang membabitkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan berita yang pernah disiarkan dalam media sosial. 

Buku TDSH itu dijual senaskhah dengan harga RM50 untuk Semenanjung dan RM55 bagi Sabah serta Sarawak.

Mohiadin yang juga Penasihat 2 Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, berkata penerbitan buku itu begitu besar maknanya kepada pusat jagaan berkenaan kerana dapat mendedahkan kisah benar kepada masyarakat sebagai pendidikan moral untuk menjaga serta menghormati kedua-dua ibu bapa.


Dua petugas Pusat Jagaan Nur Hasanah membungkus buku itu untuk diposkan kepada mereka yang membeli secara dalam talian.


Menurutnya, dia amat berharap TDSH dapat memberi motivasi kepada generasi muda hari ini terutama mereka yang mempunyai ibu bapa supaya memberi kasih sayang dan perlindungan bagi mereka menghabiskan sisa-sisa hidup.

“Ibu bapa tidak wajar diabaikan, dizalimi dan disakiti hati serta batin sedang mereka bersusah payah apabila banyak berkorban apa sahaja membesarkan anak-anak sehingga menjadi insan berjaya dalam pelajaran dan pekerjaan,” katanya.


Dari kiri Ruslan, Azman, Sazali, Mohiadin dan Aidah melahirkan rasa terharu dengan penerbitan buku cerpen Terkulai Di Senja Hari.


Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Ruslan Saidin, pula berkata Mohiadin dan Aidah menghadapi pelbagai kepayahan untuk menerbitkan buku itu bagaimanapun mereka berjaya mengatasinya kerana berpengalaman lebih 16 tahun dalam menguruskan warga emas terbiar.

Menurutnya, buku itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana digarap dalam bentuk cerpen yang merupakan kisah benar yang dilalui penghuni di pusat jagaan berkenaan dan diharapkan mampu memberi kesedaran kepada generasi sekarang untuk menyantuni ibu bapa hingga akhir hayat mereka.


Cikgu Anuar yang mencipta senikata lagu Terkulai Di Senja Hari menunjukkan isyarat bagus sebaik sahaja membaca buku cerpen berkenaan.


Sementara itu, Cikgu Anuar Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Bob turut menghulurkan sokongan dengan mencipta senikata lagu Terkulai Di Senja Hari sebagai sumbangan membantu pusat itu mengumpul dana.

“Lirik lagu ini yang merungkaikan kesedihan hati warga emas terbiar apabila disingkirkan keluarga dan orang tersayang kini menunggu hari pengakhiran disampaikan dengan penuh syadu oleh penyanyi lagu itu iaitu rakan beliau dari Johor.


Sebagai tanda sokongan Cikgu Anuar turut menghasilkan klik video lagu cerpen itu yang boleh dilihat menerusi TikTok beliau.


“Kepada pembaca mereka boleh mengikuti klik video lagu ini menerusi Tiktok saya https://vt.tiktok.com/ZSJWjQUx1/ dan https://vt.tiktok.com/ZSJWjCahK/,” katanya yang juga seorang komposer lagu.

Kepada yang berminat membeli buku ini boleh terus ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia dan Pusat Jagaan Nur Hasanah atau ikuti IG berikut https://www.instagram.com/pjnhofficial/. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai buku berkenaan, orang ramai juga boleh menghubungi Azman Rasman menerusi telefon 019-977 7419; Mohiadin Bahado (017-394 3216); Ruslan Saidin (019- 212 3757); Sazali Mohiden (019-368 8142); dan Tia (017-208 5104). - KitaReporters


13
3
0
0
0
You will be interested