Seni & Sukan 25 Dec, 2021

Cheng Hoe perlu ada prinsip! Jangan jadi pak turut! Usah jadi kambing hitam! - Rahim Abdullah

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

Tan Cheng Hoe gagal menyediakan pasukan mantap ke kejohanan Piala AFF 2020 di Singapura kerana kesuntukan masa dan tidak dapat mengumpul pemain terbaik. - Kredit foto: FAM


Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe perlu mempunyai prinsip serta mempertahankan pendirian bagi mengelak dirinya terus menjadi mangsa ‘permainan’ pihak tertentu dan ‘dikambinghitamkan’ apabila Harimau Malaya mengalami kegagalan dalam sesuatu pertandingan.

Legenda bola sepak negara, Rahim Abdullah berkata, beliau sangat bersimpati dengan nasib Cheng Hoe yang menjadi sasaran kritikan selepas kegagalan pada Piala AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini sedangkan jurulatih berkenaan tidak mendapat sokongan sepenuhnya untuk membentuk sebuah pasukan mantap.


 Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Tan Cheng  Hoe


Rahim Abdullah persoal pemilihan pemain untuk skuad Harimau Malaya. - Kredit foto: BH


“Apa yang Cheng Hoe boleh hasilkan dengan pemain yang diberikan kepadanya serta persiapan yang singkat? Bagi saya punca kegagalan ini tidak boleh diletakkan seratus peratus ke atas kepala beliau, ia tidak adil.

“Sebaliknya, semua pihak, pengurusan pasukan, pasukan kejurulatihan, pasukan teknikal dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) perlu berkongsi tanggungjawab atas kegagalan itu.

“FAM letak sasaran untuk layak ke final tapi apakah yang kita lakukan untuk mencapai sasaran itu? Adakah kita mempunyai pemain yang mampu membawa kita ke final? Cukupkah persiapan yang kita lakukan?

 “Apa yang saya perhatikan, persiapan kita ala kadar, terlalu singkat dan tidak serius sedangkan pasukan seperti Vietnam dan Indonesia yang sama kumpulan dengan kita membuat persediaan rapi untuk menghadapi pertandingan ini.

“Pada masa sama, pemilihan pemain juga tidak tepat kerana ada pemain yang layak tidak berada dalam pasukan sedangkan pemain yang kurang minit permainan dipanggil.

“Saya difahamkan ada pasukan enggan melepaskan pemain untuk mewakili negara. Jika ini benar, ia sesuatu yang sangat mengecewakan kerana kepentingan negara sepatutnya menjadi keutamaan berbanding kepentingan pasukan sendiri,” kata Rahim.


Bekas Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo menganggap Cheng Hoe dijadikan kambing hitam atas kegagalan Malaysia pada Piala AFF 2020 di Singapura. - Kredit foto: FAM


Akhbar Harian Metro melaporkan bekas Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo tampil mempertahankan Cheng Hoe yang dijadikan 'kambing hitam' atas keputusan buruk itu.

Malah De Roo turut mempersoalkan sama ada pemain yang dipilih ke kejohanan Piala AFF atas pilihan Cheng Hoe atau terpaksa memenuhi 'permintaan' pihak lain.

"Apa yang boleh saya katakan cukup kasihan kerana beliau dipersalahkan. Mana tonggak Harimau Malaya yang lain… kenapa mereka tidak bermain.. Persiapan pun agak terhad bagaimana mahu menyediakan pasukan yang mantap.

"Lantiklah jurulatih baharu atau luar negara namun jika tidak mendapat kerjasama daripada pihak berkaitan untuk membenarkan pemain mereka beraksi untuk pasukan kebangsaan sudah pastinya tidak akan ada perubahan.

"Oleh itu, sebelum memecat atau menyalahkan jurulatih, lihat dahulu apa yang dimiliki (pemain) oleh pengendali itu untuk mempersiapkan pasukan. Hal ini kerana tiada jurulatih mahu membawa pemain kurang minit permainan atau cedera selain menggugurkan tonggak utama mewakili pasukan," kata De Roo. 


Cheng Hoe kena tegas. Kalau saya duduk di tempatnya, saya akan beri kata dua kepada FAM. Jangan jadi pak turut. - RAHIM ABDULLAH. - Kredit foto: FAM


Berhubung isu itu, Rahim, antara tonggak skuad kebangsaan yang beraksi pada Sukan Olimpik 1972 berkata, Cheng Hoe selaku jurulatih perlu menunjukkan ketegasan supaya perkara sama tidak berulang.

“Sebagai jurulatih Cheng Hoe kena ada prisnsip. Dia tak perlu letak jawatan sekarang tapi ambil pengajaran daripada kegagalan ini supaya apa yang berlaku tidak berulang.


Skuad bola sepak negara pulang awal selepas gagal mara ke separuh akhir Piala AFF 2020 di Singapura. Kredit foto: FAM


“Beliau kena tegas. Kalau saya duduk di tempatnya, saya akan beri kata dua kepada FAM, ‘beri pemain yang saya mahu atau saya letak jawatan.’ Jangan jadi pak turut dan biarkan diri dijadikan ‘kambing hitam’ kerana yang menanggung akibat adalah dirinya.

“Kalau masalah ini tidak diatasi, bawalah Alex Ferguson sekali pun, dia tak boleh berbuat apa-apa untuk mencipta kejayaan,” ujar Rahim yang turut pernah membimbing skuad kebangsaan pada 1991. 

Terdahulu, skuad Harimau Malaya terpaksa pulang awal dari kejohanan Piala AFF di Singapura apabila gagal melepasi peringkat Kumpulan B selepas hanya memungut enam mata daripada empat aksi. 

Malaysia mengalahkan Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 tapi tewas 0-3 kepada Vietnam dan 1-4 pada tangan Singapura sekali gus menutup pintu ke separuh akhir. - KitaReporters


Malaysia tewas 0-3 kepada Vietnam pada perlawanan Kumpulan B Piala AFF 2020 di Singapura. Kredit foto: FAM

11
8
0
15
0
You will be interested