Seni & Sukan 17 Oct, 2021

Mencari bekalan akhirat! Qudwah, NGO bergabung kongsi rezeki! Kempen Jejak Prihatin, Rindu Masjid

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Berkongsi rezeki kerana dalam rezeki kita pasti ada bahagian orang lain.


BIARPUN sibuk dengan tanggungjawab dunia, tidak menghalang Qudwah Technology Sdn Bhd melakukan kerja amal kebajikan, dan bekerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Kepada Kemanusiaan iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyalurkan bantuan kepada pelbagai golongan memerlukan menerusi Kempen Jejak Prihatin.

Untuk memudah serta menyeragamkan bantuan yang disalurkan sampai kepada sasaran, tugas itu dipertanggungjawab kepada pasukan UstazUstazah.Com.

Malah, sehingga kini, pasukan berkenaan berjaya mengagihkan bantuan dan barangan keperluan kepada 42 lokasi seluruh negara, selepas memulakan agihan pada Jun 2021 lalu.


Lagi kisah menarik berkaitan kerja-kerja amal

Nur Alifah (kiri), Hafiz (tiga dari kiri), Azman, Ruslan dan Ketua Operasi Qudwah Technology, Aziz Ramli  bersama barangan keperluan asas yang disalurkan kepada Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih, Selangor .


Pengurus projek UstazUstazah.Com, Nur Alifah Ilyana Arifin, berkata, hasil gabungan dengan NGO itu pasukan sudah bergerak ke beberapa negeri sasaran seperti Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Sabah dalam misi menyalurkan bantuan kepada masyarakat.

Bertindak sebagai pemudah cara pihaknya, bertanggungjawab dalam memastikan bantuan hasil sumbangan pelbagai pihak dan individu diterima oleh kumpulan sasaran seperti pusat jagaan atau rumah kebajikan, penduduk yang terkesan dengan pandemik COVID-19, mualaf dan sebagainya.


Ketua Operasi Qudwah Technology Sdn Bhd, Aziz Ramli (tiga dari kanan) dan Penasihat Syariah Qudwah Technology Sdn Bhd, Hafiz Zainal Abidin (tengah) dan pihak pengurusan PJMM, Semenyih ketika menjayakan Kempen jejak Prihatin, baru-baru ini.


“Tanggungjawab dan amanah besar yang kami pikul ini akan diteruskan seperti dikehendaki NGO itu supaya mereka yang terkesan merasai kebahagian menerusi bantuan berkenan ,” katanya ketika ditemui pada majlis Kempen Jejak Prihatin di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, baru-baru ini.


Pusat jagaan Mahmudah antara lokasi yang dkunjungi oleh ustazustazah.com dalam misi menyalurkan bantuan menerusi Kempen Jejak Prihatin.


Pada majlis itu, UstazUstazah.Com menyerahkan sumbangan pelbagai barangan keperluan asas bernilai RM15,000 seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya. 

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Operasi Qudwah Technology Sdn Bhd, Aziz Ramli; Penasihat Syariah Qudwah Technology Sdn Bhd, Hafiz Zainal Abidin; Pengerusi PJMM, Ruslan Saidin; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; dan Penasihat 1 serta 2 PJMM; Azman Rasman serta Mohiadin Bahado.

Manakala Hafiz yang juga ikon UstazUstazah.Com berkata, bersama NGO terbabit UstazUstazah.Com merangka dua program berkaitan amal kebajikan iaitu Kempen Jejak Prihatin dan Rindu Masjid yang setakat ini membelanjakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.


Azman (kiri) memberi penerangan mengenai sejarah penubuhan PJMM kepada tetamu  iaitu pengurusan Qudwah Technology Sdn Bhd.


Menurut Hafiz, program Kempen Jejak Prihatin tertumpu kepada bantuan barangan keperluan asas untuk pusat jagaan atau rumah kebajikan, mualaf, hospital, veteran anggota bomba dan perkampungan Orang Asal.

Manakala, program Kempen Rindu Masjid pula lebih kepada menghulurkan bantuan bagi tujuan membaik pulih seperti mengatasi masalah atap bocor, kerosakan kecil membabitkan sistem bekalan air paip serta elektrik dan sebagainya.


Majlis Program Kempen Jejak Prihatin UstazUstazah.Com menjadi hening seketika apabila wakil pengurusan PPMM, Mohiadin Bahado mendeklamasikan sajak, Harapan Ayah dan Ibu.


“Dalam situasi wabak COVID-19, UstazUstazah.Com tidak mengabaikan keluarga yang terkesan berikutan ramai yang berdepan detik hitam ketika berdepan pandemik COVID-19 termasuk mereka hilang pekerjaan menyebabkan kami secara ikhlas menyalurkan bantuan barangan keperluan asas harian. 

“Kita akan memastikan setiap sumbangan kepada NGO ini akan dimanfaatkan sebagai mungkin dan paling penting sampai kepada sasaran penerima dengan keadaan barangan keperluan asas itu berada dalam keadaan baik,” katanya. - KitaReporters


Barangan berbentuk keperluan asas yang disalurkan kepada individu yang terkesan COVID-19. - Kredit foto: Facebook UstazUstazah.com


Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima, usah malu memberikan sedikit, kerana pemberian sedemikian lebih baik daripada tidak memberi sama sekali.

23
9
0
12
0
You will be interested