Seni & Sukan 28 Oct, 2020

Khas daripada Black! Sabar ya abang duda, ayah tunggal semua

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

KISAH lelaki duda mahupun ayah tunggal yang kemudiannya jatuh cinta lagi bukanlah luar biasa namun dugaannya sanggupkah isteri baharu menerima anak tirinya, sekali gus menepiskan tohmohan masyarakat bahawa ibu tiri itu jahat. Apakah ini mesej yang mahu disampaikan oleh Black Hanifah melalui video muziknya, “Sabar’?  : KitaReporters



Lagi cerita-cerita berkaitan video muzik:

https://kitareporters.com/search?search=video+muzik


“Inilah kehidupan sebenar segelintir masyarakat terutama si lelaki berstatus duda dan mempunyai anak tetapi ingin berkahwin semula,” ujar penyanyi bernama penuh Hanifah bin Md Hanafiah, 32, terhadap cerita yang diketengahkan pada video muzik (MV) terbaharunya itu.

“MV ini mengisahkan lelaki duda yang ada anak. Dia kemudiannya nak bercinta dengan seorang wanita. Malangnya, wanita itu hanya mahu menerima dirinya tapi tidak anaknya,” cerita Black.




Menurutnya idea untuk mengetengahkan kisah sedemikian bertepatan dengan judul lagunya ‘Sabar’ dengan mesej bahawa jika rintangan awal berjaya diharungi bermakna perjalanan seterusnya lebih mudah untuk ditempuhi.

“Apa yang penting, sabar perlu ada dalam diri untuk mengharungi segala macam cabaran,” sambung Black sambil memberitahu sebenarnya idea penceritaannya itu dicetuskan pengarahnya sendiri, Azuad Abdullah.

“Azuad memberikan dua idea dari segi jalan cerita dan saya memilih penceritaan ini bertepatan dengan judul lagu,” ujar Black.

Jelasnya lagi, memandangkan kisah sebegini memang berlaku dalam masyarakat, beliau mahu mempaparkan bahawa tidak salah seorang duda untuk bercinta dan berkahwin lagi tetapi, tidak semua melalui pengalaman indah.

Benar, soal jodoh, pertemuan ditentukan Allah SWT. Apatah lagi dalam mencari bahagia, ia bukan semudah disangka. Malah, melayari bahtera alam rumahtangga menuntut pengorbanan, sekali gus menguji sejauh mana tahap sabar dan setia.

Berkongsi mengenai penggambaran MV itu, Black mengakui, walau pun pernah berlakon pengalaman yang dirasai kali ini agak baharu dan berbeza terutama apabila dikehendaki berlakon dengan pelakon kanak-kanak perempuan yang memerlukan penghayatan dan emosi penuh sesuai dengan melodi lagu ‘Sabar’.



“Walaupun saya tak pernah buat babak sebegini dalam MV sebelum ini, tapi ia tidak terlalu mudah dan susah. Cuma, untuk pelakon kanak-kanak mendapatkan ‘mood’ sedih itu yang mengambil sedikit masa,” jelasnya.

Pun begitu, bagi dirinya, Black menyifatkan keunikan MV ini terletak dari segi nyanyiannya waima dapat dirasakan lontaran isi hatinya.

“Bagi mereka yang jenis ‘family man’, pasti lebih merasai MV ini,” sambung Black ketika menyampaikan lagu ‘Sabar’ berentak balada yang mengembalikan identiti muzik asal dirinya.



Malah lagu ciptaanya yang disimpan penuh sabar selama 4 tahun itu diakui sangat lain daripada lagu-lagu yang dihasilkannya beberapa tahun sebelum ini.

“Bila menyanyi lagu ini memang ’feel’ sepenuhnya. Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman awal saya dulu. Kiranya kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya. Sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat saja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan liriknya," ujar Black.

Jika korang nak tonton ada ‘feel’ ke tidak gaya Black menyampaikan lagunya itu bolehlah layari muzik video rasmi ‘Sabar’. 

Meh! Kita belanja di sini, tak perlu susah-susah nak cari lagi ya. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested