Seni & Sukan 08 Jun, 2020

Libasan Piala Raja Thai 2020 mungkin kena blocking Covid-19!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

PERTANDINGAN sepak takraw tertua antarabangsa, Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand berdepan risiko dibatalkan pada 2020 sekiranya masih gagal dilangsungkan pada tarikh pindaan baharunya iaitu pada Disember 2020 ini. mengikut jadual asalnya, kejohanan tersebut diadakan dari 2 hingga 10 Oktober 2020. : KitaReporters

PIALA Raja Thailand mendapat perkenan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej untuk mengambil sempena namanya. - Kredit foto Fb King's Cup


Kejohanan edisi ke-35 di Bangkok ini menurut kaca mata Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), tidak lagi sesuai untuk diadakan dari 2 hingga 10 Oktober 2020 dalam situasi dunia yang masih dicengkam pandemik maut Covid-19. 

“Kami terpaksa menundanya ke Disember 2020. 

"Biarlah kita sentiasa lebih berwaspada kerana nyawa, kesihatan dan keselamatan semua pihak yang terlibat dengannya, jauh lebih penting dan berharga daripada segala-galanya. 

“Tidak perlu terburu-buru untuk mengadakannya lagipun kami amat tidak mahu para pemain dan jurulatih beraksi dalam keadaan yang sentiasa tertekan dan risau,” kata Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader yang diwawancara secara dalam talian. 

Kejohanan tahunan terbesar antarabangsa ini dijangka mempertandingkan sehingga lima acara kategori lelaki dan wanita iaitu regu berpasukan, antara regu, beregu dan kuadran serta gelung yang disertai sehingga 30 negara termasuk Malaysia.

PERTEMBUNGAN Raja Libas Si Gajah Putih, Pornchai Kaokaew (15) dan Malaysia dalam final Piala Raja Thailand 2018 di Korat dimenangi mudah tuan rumah, 2-0. - Kredit foto: FB King's Cup


Kata Halim, penundaan ini sebaliknya turut akan membuka peluang kepada kuasa-kuasa besar sukan warisan Melayu ini seperti tuan rumah, Malaysia, Korea Selatan dan Indonesia untuk membuat perancangan dan persediaan lebih rapi dengan tempoh yang lebih panjang. 

Piala Raja Thailand yang khas bagi acara kemuncak, regu berpasukan atau turut popular digelar King’s Cup yang bersempena mendiang Raja Bhumibol Adulyadej, diperkenalkan pada 1984 bagi menggantikan Piala Persatuan Sukan Thailand (TSA) yang pernah dimenangi Malaysia dalam edisi sulungnya, 1980. 

Si Gajah Putih sentiasa mempertahankan King’s Cup kecuali 1985 dan 1988 apabila mereka ditewaskan skuad negara bimbingan Allahyarham Hassan Sulaiman dan Haris Abdul Rahman di Bangkok.  

BARISAN negara yang merampas Piala Raja Thailand pada 1988 di bawah bimbingan Haris Abdul Rahman (belakang, dua dari kiri). - Kredit foto: Mohd. Yusof Chik


Hanya kejohanan ini yang konsisten dilangsungkan sejak itu memandangkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pun sudah tidak lagi menganjurkan Kejohanan Dunia Piala Malaysia sejak 2009 di Kuala Terengganu, manakala Kejohanan Sedunia MAS-Utusan Malaysia-RTM hanya bertahan tiga edisi, 1988, 1990 dan 1993. 

Begitu juga Kejohanan Dunia Perilly's tanpa kesinambungan selepas 1994 di Kuala Lumpur atau Kejohanan Dunia Piala Perdana 2000 di Kuantan. 

ABDUL Halim Kader (dua dari kanan) perlu berbincang semula dengan para pegawai Iran antaranya Presiden Jawatankuasa Olimpik Kebangsaannya, Syed Reza Salehi Amiri dan Presiden ISA, Azad Shobra berhubung jadual Piala ISA 2020 yang cuba dilangsungkan Disember 2020. - Kredit foto: Abdul Halim Kader


Sementara itu, turut terpaksa ditunda gara-gara Covid-19 ialah Kejohanan Asia di Dhaka, Bangladesh (19 hingga 23 Mac), Sukan Pantai Karachi di Karachi, Pakistan (9-13 April) dan Kejohanan Asia di De Hong, Yunan (26 Mei-2 Jun), Piala Jemputan China di Jinhua, Zheijang (3-6 Jun) dan Kejohanan Pantai Asia Kedua di Qingdao (9-14 Julai). 

“Pada 1 Jun 2020, Persekutuan Sepak Takraw Taiwan (CTSF) telah memohon Istaf untuk menunda Kejohanan Belia Bawah 21 Tahun Asia yang mulanya dijadualkan pada 6 hingga 13 April 2020 ke 12 hingga 19 Disember 2020,” kata Halim. 

Agak menggusarkan Istaf katanya ialah tarikh itu bakal bertembung atau terlalu hampir dengan Piala Raja Thailand pula mahupun sebuah kejohanan jemputan Iran, Piala ISA (Persatuan Sepak Takraw Iran) dan Piala Dunia Istaf di Goa, India yang telah dianjakkan dari 24 hingga 28 November 2020. 

“Sebuah lagi kejohanan antarabangsa anjuran Persatuan Sepak Takraw Filipina (Pasta) yang dijadualkan pada 1 hingga 6 Disember di Teluk Subic, mungkin boleh ditunda ke 2021,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf). - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested