Seni & Sukan 02 Oct, 2021

PERKESO Terengganu bayar faedah kepada 1,113 pencarum positif COVID-19! Termasuk 7 kes kematian!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Wan Sukairi Wan Abdullah menyampaikan replika cek kepada Siti Mastura Makthar balu Allahyarham Jurulatih Tinju Terengganu Che Andli Che Hashim


PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu yang prihatin terhadap nasib pencarum negeri itu yang positif COVID-19 memudahkan kaedah bayaran faedah bagi membantu golongan terbabit menghadapi kehidupan harian di bawah Skim Bencana Kerja Perkeso.

Menerusi skim berkenaan seramai 1,113 pencarum yang positif COVID-19 di negeri tersebut dalam tempoh lapan bulan pertama tahun 2021 ini sehingga 31 Ogos 2021 lalu sudah menerima bayaran faedah tersebut.

Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin berkata, daripada jumlah itu seramai 1,094 individu yang dijangkiti virus itu di tempat kerja menerima bayaran faedah keseluruhan berjumlah RM663,543.

Katanya, sebanyak 12 kes membabitkan kematian biasa tetapi bukan disebabkan kluster tempat kerja menerima faedah penakat berjumlah RM24,620 manakala tujuh kes lagi melibatkan pembayaran keseluruhan berjumlah RM14,000 membabitkan kes kematian COVID-19 akibat kluster tempat kerja


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PERKESO

 PERKESO turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada Siti Mastura


“Setiap pencarum dibayar RM30 hingga RM105 sehari bergantung kepada kelayakan mengikut jumlah hari mereka dirawat sehingga mereka disahkan negatif daripada virus berkenaan,” katanya selepas program penyampaian Pencen Penakat kepada balu bekas jurulatih Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Che Andli Che Hashim, 50, di Gong Kepas Dalam, Besut, pada Jumaat 1 Oktober 2021.

Pada majlis tersebut waris kepada Che Andli, yang meninggal dunia pada September 2021 lalu akibat COVID-19 menerima bantuan PERKESO.

Balu Allahyarham, Siti Mastura Makthar, 33, bersama empat anaknya menerima pencen penakat sebanyak RM1,040 sebulan dan bayaran Faedah Pengurusan Jenazah RM2,000.

Majlis penyerahan bantuan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah.


Wan Sukairi Wan Abdullah


Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera.

“Diharapkan faedah PERKESO dan bantuan itu dapat membantu dan mengurangkan beban Siti Mastura yang tidak bekerja bagi menyara empat anaknya yang masih belajar,” kata Farihah. - KitaReporters

14
8
0
12
1
You will be interested