Seni & Sukan 26 Jun, 2021

Haeriyanto pesan suami elak pukul isteri! Sabar jalani tempoh PKP! Tonton Derita Untuk Bahagia!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Menyedari wujudnya kes keganasan rumah tangga, pelakon lama berasal Singapura, Haeriyanto Hassan berharap pasangan suami isteri dapat bersabar menjalani urusan harian dalam tempoh PKP dan tidak bertindak melulu sehingga boleh meruntuhkan mahligai yang dibina.

“Pada masa PKP ini, laki bini banyak mengadap muka masing-masing, memang akan ada yang naik angin, jadi bawalah keluar jalan-jalan dekat kawasan taman rumah, pusing-pusing taman sambil itu tolong-tolonglah isteri memasak atau kemas rumah,” pesan Haeriyanto yang terkini barangkali dibenci penonton gara-gara memegang watak sebagai seorang suami yang sering memukul isteri dalam drama bersiri ‘Derita Untuk Bahagia’.

Drama terbitan  syarikat produksi MIG Productions Sdn. Bhd. itu kini bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang bermula 7 Jun 2021 lalu di saluran Astro Prima (105) dibintangi Amar Baharin, Azar Azmi, Hafrezz Adam, Dayang Areeda dan ramai lagi pelakon senior.


Lagi cerita-cerita pengajaran berkaitan keganasan rumah tangga


Melalui drama itu, Haeriyanto membawakan watak Fauzi, seorang kaki pukul, dayus dan penagih dadah. 

“Saya tidak suka babak pukul isteri, sebab saya ini lelaki, tangan kasar, kadang terkena, sakit juga. Kalau penonton perasan  pada  adegan pukul isteri, tangan saya nampak lembut. Saya sengaja lembutkan, takut terkena betul-betul pada rakan lakon saya. Kalau kena confirm berbisa,” cerita Haeriyanto ketika diwawancara berhubung watak yang digalasnya.

Menurutnya, ketika ditawarkan watak tersebut oleh pengarah Ejump Mohd dan selepas membaca skripnya beliau mendapati watak Fauzi tidak berapa jelas tetapi daripada dialog yang dibaca difahami bahawa Fauzi merupakan seorang yang dayus dan ‘loser’.

“Dalam skrip tidak dijelaskan secara terperinci jadi saya ciptakan watak Fauzi sebagai penagih dadah, kaki judi dan kaki pukul daripada imaginasi sendiri setelah berbincang dengan pengarah,” jelas beliau.



Ditanya apakah tindakannya  sendiri andai kata berdepan dengan seseorang yang berperawatakan seperti Fauzi?

“Kalau saya jumpa Fauzi, kalau saya tahu mangsa dia ahli keluarga saya, memang confirm kena sepak terajang dengan saya," luahnya dalam ketawa.

Bagaimana pun, beliau berharap melalui drama ‘Derita Untuk Bahagia’ , penonton dapat mencontohi watak-watak positif yang ditonjolkan seperti tidak berputus asa, sentiasa berusaha dan berdoa.

“Watak-watak negatif seperti penipu, pengikis duit orang dan yang penuh hasad dengki, jadikan pengajaran,” tambah Haeriyanto sambil meluahkan rasa puas hatinya dapat membawakan watak Fauzi.


Haeriyanto di samping pelakon Marisa Yasmin yang turut membintangi drama 'Derita Untuk Bahagia'.

“Saya tak suka watak yang bosan, saya suka watak Fauzi ini kerana ia membolehkan saya  mempelbagaikan karakternya agar nampak betapa dayus dan hipokritnya Fauzi itu,” tambah Haeriyanto yang mengidam untuk berlakon watak seseorang yang nampak jahat tetapi sebenarnya dia baik seperti orang yang mencari diri sendiri atau ditindas tetapi penyabar dan banyak berserah pada Allah SWT.

“Saya seorang yang, tidak banyak bercakap malah suka duduk rumah dengan keluarga,  berkebun dan memasak,” Haeriyanto mendedahkan karakter sebenarnya sambil berharap penonton dapat mengukur buruk baiknya mesej yang  disampaikan pada drama 30 episod yang mengangkat genre kekeluargaan, persahabatan dan cinta itu.

Untuk rekod, sebanyak 902 kes keganasan rumah tangga di dilaporkan dalam tempoh Januari hingga April tahun 2021 ini, dengan peningkatan didorong pelbagai faktor, khususnya implikasi pelaksanaan PKP yang berkuat kuasa sejak tahun 2020.

Mengikut laporan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kebanyakan kes berpunca daripada desakan ekonomi dan tekanan hidup sehingga ada yang bertindak mencederakan pasangan atau ahli keluarga. - KitaReporters



0
1
0
0
0
You will be interested