PENDAKWAH selebriti Da'i Syed, 27, sah menjadi suami kepada personaliti TV AlHijrah, Hana Ismail, 36, dengan sekali lafaz pada Sabtu 3 Disember 2022.
Lagi
Hana dinikahkan sendiri oleh bapanya, Ismail Dahwan dengan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Majid Ibnu Mas'ud Kuala Lumpur, Mohd Nazri Yacob.
Apa yang menarik, pengantin lelaki dinikahkan menggunakan bahasa Arab.
Majlis dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat kedua-dua belah pihak.
Syed ketika ditemui media bersyukur majlis itu berjalan lancar dan tidak menyangka hari yang dinantikan menjadi kenyataan.
Syed dan Hana mengikat tali pertunangan pada 23 Oktober 2022 di kediaman personaliti TV ini di Johor Bahru.
Datin Seri Umie Aida bertanggungjawab menyatukan kedua-duanya. Antara selebriti yang hadir pada majlis akad nikah ialah Datin Seri Umie Aida, Irma Hasmie dan Sharifah Haslinda.
Syed yang juga penyanyi dan pelakon, dikenali umum selepas penyertaan dalam rancangan realiti agama, Da'i Pendakwah Nusantara musim keempat pada 2016 dan mendapat tempat keempat.
Pada 2018, dia mewakili Malaysia untuk menyertai pertandingan ceramah agama di Indonesia. Syed mendapat tempat ketiga dalam rancangan ‘Aksi Sahur Indonesia (AKSI) terbitan stesen TV Indosiar. - KitaReporters