Seorang guru menunjukkan cara membuat balingan bola boling kepada murid.
BOLING menjadi inspirasi cetusan membakar semangat bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Melayu Raya (SKMR), Segamat, Johor, untuk memburu kecemerlangan dalam kurikulum.
Langkah itu juga menjadi matlamat SKMR untuk memastikan setiap murid mampu mencapai Tahan Penguasaan Lima (TP5) bagi setiap subjek atau mata pelajaran yang bukan setakat akan membangga pihak sekolah, guru yang mengajar malah juga ibu bapa.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti dan sukan boling
Guru Besarnya, Mohd Ali Hadoon, berkata inspirasi itu yang
sudah dilaksanakan sejak sebulan lalu selepas mesyuarat khas dengan guru
mendapati sukan boling lebih diminati murid-murid untuk dipelajari selain berasa
seronok apabila dapat bersaing dengan rakan.
Menurutnya, bagaimanapun untuk bermain boling khusus pada
waktu rehat mereka mesti mencapai kecemerlangan dalam kurikulum bagi satu-satu
subjek dan tidak kecuali menunjukkan aktif dalam pembabitan aktiviti kokurikulum.
Jelasnya, sebagai contoh bagi program panitia matematik, murid yang ingin bermain boling perlu menghafal sifir 7 hingga 12 dengan sempurna baru dapat peluang menyentuh boling dan beraksi untuk bersaing dengan rakan dengan diawasi serta dibimbing guru panitia berkenaan.
Sebahagian murid cemerlang gembira dapat bermain boling pada waktu rehat dengan dibimbing oleh guru.
Tambah beliau, begitulah juga murid yang mencapai TP5 dalam subjek pelajaran yang dipelajari akan diberi peluang guru terbabit untuk bermain boling.
Semua murid yang cemerlang dan terpilih bermain boling hanya pada waktu rehat sahaja yang mengambil masa antara tiga dan lima minit.
Boling itu dimainkan di tepi kaki lima dewan dan terbaharu beralih ke kaki lima depan makmal sekolah yang lebih luas serta memudahkan untuk dipantau oleh guru subjek terbabit.
Mohd Ali Hadoon (belakang kiri) bersama-sama murid yang cemerlang dan berpeluang bermain boling pada waktu rehat dengan dibimbing guru subjek terbabit.
“Inspirasi ini ternyata berjaya memupuk budaya dan memotivasikan murid untuk rajin mentalaah serta mengulang kaji pelajaran selain bersaing dalam kelas dengan rakan untuk menjadi yang terbaik supaya dapat bermain boling.
“Cetusan idea ini juga turut menjadi pendorong kepada mereka untuk rajin hadir ke sekolah setiap hari selain mendapat pujian serta sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKMR yang turut menganggap langkah berkenaan menceriakan suasana setiap pagi,” katanya.
Mohd Ali berkata, kejayaan inspirasi itu juga adalah hasil
jalinan usaha sama antara SKMR dengan pengusaha pusat boling daerah berkenaan
yang diketuai pengurusnya, Roslan Md Isa apabila bersedia membekalkan pin dan
bola boling terpakai secara percuma.
Menurutnya, SKMR berasa terhutang budi dan berbangga dengan kesudian Roslan memberi kerjasama sebagai tanda keprihatinan beliau untuk membantu pihak sekolah menyuntik kecemerlangan pendidikan murid di kawasan pedalaman.
Mohd Ali (kanan) bersama Roslan Md Isa yang menunjukkan keprihatinan bagi membantu kecemerlangan murid SKMR.
Jelas beliau, dalam Program Bantu Baca pula, guru penyelarasnya turut menetapkan syarat murid yang lancar membaca akan mendapat kebenaran untuk bermain boling dalam masa ditetapkan begitulah juga Unit Hal Ehwal Murid mewujudkan peraturan iaitu murid hadir 100 peratus ke sekolah dalam satu bulan akan disenaraikan nama mereka untuk terpilih bermain boling.
Beliau berkata, Unit Kokurikulum SKMR turut mengambil langkah yang sama apabila menetapkan murid mempunyai rekod terbanyak sijil penglibatan dalam aktiviti kokurikulum akan mendapat peluang untuk bermain boling.
Seorang murid memberi tumpuan sebelum membuat balingan bola boling.
“Usaha yang dilakukan oleh guru terbabit terbukti berjaya
memotivasikan murid untuk tekun dalam pelajaran selain bersemangat bersaing
dengan rakan serta hadir ke sekolah setiap hari.
“Boling juga menunjukkan sukan yang digemari ramai termasuk
dalam kalangan murid sekolah rendah malah mereka berasa teruja apabila dapat
bermain secara percuma bersama rakan-rakan selepas belajar dalam kelas.
“Tidak mustahil inspirasi yang dilaksanakan itu turut membantu SKMR mencungkil bakat murid dalam sukan boling yang boleh diketengahkan jika mereka terus tekun berlatih ke peringkat sekolah menengah nanti,” ujarnya. - KitaReporters
Mohd Ali turut menunjukkan cara yang betul membuat balingan bola boling kepada murid.