Seni & Sukan 07 Nov, 2023

Video| Ernie Zakri lancar album Aura! Berpindah ke Universal Music! Jadi duta jenama tudung Ayuwan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this



Selepas 12 tahun sejak album studio pertamanya, ’Sinaran’, penyanyi bernama penuh, Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, ini sekadar mengeluarkan lagu-lagu single setiap tahun antaranya yang popular seperti ‘Gundah’ dan  ‘Boneka’ (2020) mahu pun lagu duet bersama suami tercinta, Syamel berjudul ‘Sampai Tua’ pada tahun ini (2023).

Terkini, penyanyi yang lebih terkenal dengan sapaan nama komersialnya. Ernie Zakri tampil dengan album solo pertama, ‘Aura’ setelah mengumumkan perpindahannya ke syarikat rakaman antarabangsa, Universal Music.



Aura merupakan sebuah album yang membawa pesan tentang peneguhan diri dan sikap positif yang  diolah khas oleh Ernie sendiri untuk memberi keyakinan kepada mereka yang rasa terluka dalam menghadapi kehidupan harian.

“Saya yang meminta sendiri lagu daripada penulis serta pencipta yang terbabit dalam album ini. Proses rakaman kesemua lagu juga memakan waktu sekitar tiga hingga empat bulan untuk disiapkan. 

"Jadi saya harap para pendengar akan dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan di dalam album ini. Semoga ia menjadi teman buat mereka yang memerlukan semangat serta kekuatan itu,” ujar Ernie selepas melancarkan album ‘Aura’ sekali gus diumumkan sebagai duta kepada tudung dan skaf berjenama Ayuwan, bertempat di Pusat Beli-belah Sunway Putra Mall pada Jumaat, 3 November 2023.




Ernie tampil memperkenal koleksi  ‘Gemala’, tudung ‘Fotokromik’ pertama di Malaysia yang memperlihat corak tersirat apabila berada di bawah sinar matahari seperti mana batu ajaib ‘gemala’ dalam cerita Melayu klasik, sekali gus memberi wanita satu aura yang mistik.

Sehubungan itu, pada majlis tersebut selain melancarkan album ‘Aura’, Ernie turut menandatangani sebuah plak khas yang dihiasi dengan gambar dirinya yang tampil menggayakan skaf menawan kreatif Ayuwan.

Melanjutkan mukadimahnya tentang  makna ‘Aura’, Ernie memberitahu album tersebut mengajak pendengar untuk menghayati aura yang ada pada diri sendiri, sambil mengingatkan bahawa setiap yang berlaku dalam hidup ini adalah takdir yang sudah tersusun, dan bertujuan memberikan kesedaran untuk menerima segala kekurangan tanpa rasa takut.



“Semua lagu dalam album ini berkisahkan nasihat, motivasi dan sumber kekuatan untuk insan yang memerlukan semangat,” cerita Ernie

Sebagai pembuka cerita kepada album ini, lagu berjudul ‘Masing-Masing’ diberi penghormatan menjadi single pertama untuk memperkenal Aura yang menjalani proses rakaman di Yogyakarta, Indonesia. 

Menurut Ernie, ‘Masing-Masing;  adalah sebuah lagu galau yang bertemakan putus cinta, diigubah dan ditulis oleh Ade dari kumpulan Govinda bersama Nabila V dan mempunyai jalan cerita tersendiri.



“Saya dan Mas Ade bersependapat untuk menghasilkan lagu galau dengan kisah putus cinta yang sedikit berbeza. ‘Masing-Masing’ mengisahkan pasangan yang terpaksa teruskan kehidupan mereka dengan cara berpisah demi mencari kebahagiaan diri sendiri. “Tidak semua perpisahan tentang pertengkaran atau pergaduhan. Ada perpisahan yang berlaku atas persetujuan kedua-dua pihak demi mencapai kebahagiaan sendiri. Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang suka lagu galau sebegini,” tambah Ernie.

Album 'Aura' yang mengandungi 10 buah lagu membabitkan ramai komposer dan penerbit mengambil masa perancangan sekitar setahun memandangkan Ernie mempunyai beberapa permintaan khas. 

Nama-nama besar industri muzik serantau yang terbabit antaranya seperti komposer Aubrey Suwito, Ezra Kong, Faizal Tahir, Amylea Azizan, Helen Yap, Firdaus Rahmat, John Jeeves, Ade Govinda dan beberapa orang lagi.

Ia turut menampilkan suami Ernie sendiri, Syamel yang menyumbangkan lagu ‘Jangan Hilang Percaya’.  



Trek album bermula dengan lagu ‘Intro Buat Kamu’ disusuli lagu-lagu berjudul ‘Aura’, ‘Masing-Masing’, ‘Terima Seadanya’, ‘The Best’, ‘Gelita’, ‘Tercipta Sempurna’, ‘Jangan Hilang Percaya’, ‘Satu Cinta’ dan ‘Persis Katarsis’.

Bercerita tentang lagu ‘Masing-Masing’ Ernie memberitahu rakaman lagu hanya selesai dalam sehari sahaja manakala penggambaran video muzik pula mengambil masa setengah hari.

Video muzik berkonsep penuh kesenian menampilkan dua orang penari yang menyampaikan jalan cerita secara simbolik dalam pergerakan seni tari mereka.

"Setiap gerak tari ada maknanya. Sebagai contoh, ada babak mereka jatuh, itu ada maksud simbolik yang tersirat tentang mesej yang disampaikan dalam lagu itu,” jelas pemenang dua kali vokal terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) pada 2018 dan AJL35 pada 2021 ini.



Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan dan potensi Ernie Zakri untuk meluncur lebih jauh dalam kareer muziknya di bawah label syarikatnya. 

“Kami mempunyai perancangan yang rapi untuk memastikan nama Ernie Zakri bukan sahaja terpahat di hati peminat Malaysia, malah di rantau ini terutamanya Indonesia. 

"Selain menghasilkan karya muzik yang berkualiti untuk para peminat, Ernie juga akan berkolaborasi bersama beberapa jenama tempatan sebagai salah satu strategi mengembangkan kareer beliau. Sebagai contoh, hari ini kami melancarkan album Aura Ernie Zakri bersama dengan koleksi tudung jenama tempatan Ayuwan,” ujar Kim.

Aura kini berada di semua platform digital bermula pada Jumaat 3 November 2023 lalu manakala video muzik (MV) lagu Masing-Masing juga sudah boleh ditonton. - KitaReporters

14
11
0
18
0
You will be interested