Seni & Sukan 04 Apr, 2024

Video| Cinta Tak Mungkin ada lagi buat Siti Nurhaliza! Single terbaharu tepati garis hidup cintanya!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Bagi penonton setia drama bersiri Astro Ria, ‘Malang Si Puteri’ lakonan mantap pelakon Fasha Sandha, sudah tentu mendengar lagu runut bunyi drama tersebut, ‘Cinta Tak Mungkin’. apatah lagi ia dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Dato Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Ya, inilah single terbaharu daripada ‘Tok Ti’  ciptaan Farouk Roman, susunan Reza Ramsey dan lirik oleh Adrianna Cinta.

Daripada judul lagu tersebut, boleh dikatakan menepati garis kehidupan cinta 'Tok Ti'  yang disuarakan melalui lagu-lagunya seperti ‘Biarlah Rahsia’, disusuli  ‘Cahaya Cinta’’ melalui album kompilasi keduanya, selepas beliau berkahwin dengan Dato Seri Muhammad Khalid Jiwa’.

Dan apabila hamil selepas 11 tahun penantian, Siti menyanyikan lagu berjudul “Comel Pipi Merah’ ketika kandungannya berusia 7 bulan. 

Kemudiannya, single ke-6 dari album studio ke-19 beliau, ‘ManifestaSiti2020’ iaitu ‘Aku Bidadari Syurgamu’ yang juga merupakan lagu tema drama popular ‘7 Hari Mencintaimu’ tidak kurang membayangkan kebahagiannya melayari bahtera perkahwinan apatah lagi setahun kemudian lahirnya anak keduanya, Muhammad Afwa.



Kini, sudah tentu judul lagu ‘Cinta Tak Mungkin’ melengkapi kebahagiannya waima cintanya kepada suami dan anak-anak tidak mungkin ada gantiannya kecuali kesempurnaan sehingga ke akhir hayat.

Apa pun seperti kata Siti, meskipun lagu tersebut bukan tentang kisah hidupnya, namun beliau cuba membawa watak yang digarap dalam drama siaran itu dengan baik. 

Menurut Siti Nurhaliza, 'Cinta Tak Mungkin merupakan kerjasama kali kedua beliau dengan Farouk Roman yang pernah menghasilkan lagu berjudul 'Senyawa' menerusi album 'Sitism'. 

Melodi dan lirik lagu yang sinonim dengan kehendak sesebuah jalan cerita menjadikan lagu ini istimewa pada hati beliau.

“Farouk memang terkenal dengan penghasilan lagu runut bunyi dan saya percaya dengan sentuhan beliau. Selain itu Farouk juga memberikan kebebasan kepada saya untuk menyanyikan lagu tersebut dengan emosi saya sendiri setelah diperjelaskan mengenai jalan ceritanya. Pertama kali diperdengarkan demo, lagu ini terus memikat hati saya,’’ tambah Siti. 

Ternyata, luahan perasaan lelah, terpenjara serta keperihan hidup diungkap menerusi emosi dalam nyanyian beliau cukup terserlah.



Sewaktu merakamkan single terbaharu itu Siti mengakui beliau masih lagi dalam fasa pemulihan suaranya namun tidak menjadi masalah untuk beliau melunaskan tanggungjawab yang diberikan. 

“Menyanyikan lagu runut bunyi adalah satu peluang terbaik kepada seseorang penyanyi kerana lagu tersebut akan selalu diperdengarkan dan mudah mendapat perhatian penonton serta pendengar,” akhiri Siti. 

Tidak syak lagi, lagu ‘Cinta Tak Mungkin’ yang menjadi lagu pembukaan drama ‘Malang Si Puteri” diterima baik oleh penonton waima ia sedang ditayangkan di saluran Astro Ria, jam 6 petang, setiap isnin hingga Jumaat..

Lagu ini boleh distrim di seluruh pelantar digital bermula 8 Mac 2024 yang lalu. - KitaReporters


17
6
0
10
1
You will be interested