Seni & Sukan 18 Feb, 2024

Video| Bekas peserta Vokal Mania jual kopi sambil nyanyi! Qiem Churros tak kisah hiburkan pelanggan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Rezeki itu datang dari pelbagai sudut asalkan kita rajin berusaha. Sekali gagal, tidak bermakna gagal selama-lamanya. 

Tidak berjaya dalam bidang yang diminati, tidak semestinya kita terus berputus-asa. Bakat yang ada dalam diri, jangan sesekali dibazirkan begitu sahaja. Mungkin ia berguna untuk bidang lain yang tidak disangka.

Begitulah yang dilalui bekas peserta program realiti, Vokal Mania yang disiarkan pada tahun 2020, Qiem Churros atau nama penuhnya Muhammad Aidi Hakim.



Pada tahun 2023 lalu, Qiem turut menyertai uji bakat untuk pertandingan Bintang RTM 2024.


Dalam pertandingan tersebut, Qiem tidak berjaya ke peringkat separuh akhir. Namun bakatnya mendapat perhatian sehingga berjaya mendapatkan undian peminat untuk membuat persembahan pada peringkat akhir pertandingan tersebut. 

Malah, pemuda berasal dari Pantai Timur ini pernah memiliki single bertajuk Mengundang Pelangi yang diterbitkan oleh label rakaman Aci Aci Buka Pintu (AABP) Music dan Kame Music Productions.

Namun setelah beberapa tahun, namanya semakin suram dalam industri hiburan tanah air. 

Terbaharu, Qiem menggunakan platform TikTok untuk berkongsi perkembangannya dengan peminat dan netizen. Dia kini didapati membuka perniagaan menjual air kopi dikenali sebagai Kopi Tiktoker yang beroperasi di Kemaman, Terengganu.



“Sahabat-sahabat TikTok Qiem yang penggemar kopi, jemput datang ke kabin Kopi Tiktoker yang baru sahaja mula beroperasi petang tadi (5 Januari 2024). Insya-Allah berbunga hati korang! Yang tak suka kopi pun boleh cuba,” tulisnya.

Kalau sudah namanya penyanyi, tak sah kalau tak gunakan bakat tersebut walaupun untuk menjual kopi. Sebagai daya tarikan, dia menggunakan bakat tersebut untuk menghiburkan pelanggan yang datang membeli kopi.

Dalam satu video, dia menyampaikan lagu Sonata Musim Salju nyanyian Hazami. 

“Sambil meniaga, kita hiburkan customer juga,” tulisnya.



Suaranya yang lunak mendapat pujian ramai. Rata-ratanya memberi komen positif terhadapnya. Malah ada yang berseloroh sanggup duduk lama-lama di tengah panas asalkan dapat mendengar dan dihiburkan dengan suaranya yang merdu. 

“Kalau macam ni, panas-panas pun aku sanggup duduk situ,” tulis salah seorang netizen yang terpesona dengan kemerduan suara Qiem.

Semoga perniagaan kopi Qiem berkembang maju dan berjaya. Pakat-pakat orang Terengganu, Kuantan serbu gerai Kopi Tiktoker di Kemaman. - KitaReporters


12
22
0
9
0
You will be interested