
DIOGO Jota dan Rute Cardoso secara rasmi bergelar suami isteri pada 22 Jun, 2025. - Kredit foto: IG rutecfcardoso14.
LIVERPOOL berduka, Portugal juga berduka dan seluruh dunia sedang berduka dengan kematian bintang bola sepak, Diogo Jota pada Khamis, 3 Julai, 2025 akibat kemalangan jalan raya.
Namun, sudah pasti yang paling
terkesan adalah isteri Jota, Rute Cardoso serta anak-anaknya, Dinis, Duarte dan
anak ketiga mereka yang tidak didedahkan namanya.
Kemanisan hidup Jota dan Rute sebagai suami isteri yang sah hanya sempat dinikmati selama 10 hari apabila maut memisahkan mereka. Pada 22 Jun, 2025, pasangan itu melafazkan perkataan “I do” sebagai ikatan cinta mereka, dalam satu majlis perkahwinan yang berlangsung di Porto, Portugal.

KEADAAN kereta selepas kemalangan yang mengorbankan Diogo Jota dan adiknya, Andre Silva. - Kredit foto Agensi.
Jota, 28 bersama adiknya, Andre Silva, 25, dalam perjalanan ke Santander di utara Sepanyol untuk mengambil feri ke Liverpool bagi memulakan latihan pramusim, apabila berlaku kemalangan di wilayah Zamora, Sepanyol.
Pemain Liverpool itu yang baru
menjalani pembedahan kecil dan dinasihati doktor supaya tidak mengambil penerbangan
menyebabkan dia mengambil keputusan menaiki feri. Terdapat perkhidmatan feri
dari Santander ke Plymouth dan Portsmouth di Selatan England.
Kereta Lamborghini yang dipandu oleh Jota dilaporkan terbabas ketika dia mahu memotong kenderaan lain selepas salah satu tayarnya meletup. Kereta itu kemudian terbakar menyebabkan Jota dan Andre yang terperangkap, maut di tempat kejadian.

DIOGO Jota meraikan kejayaan Liverpool menjulang Liga Perdana Inggeris 2024-2025 bersama Rute dan anak-anak mereka. - Kredit foto: IG rutecfcardoso14.
Menyorot kisah cinta Jota dan
Rute, pasangan itu berkenalan di bangku sekolah pada 2013. Bermula sebagai
kawan karib, hubungan itu kemudian berkembang mekar sebagai sebuah cinta.
Ketika Jota mula mengembangkan
karier bola sepaknya bermula dengan kelab Pocos de Ferreira ke FC Porto,
kemudian ke Wolverhampton Wanderers sebelum mencipta nama bersama Liverpool,
Rute adalah penyokong setianya.
Walaupun kurang menonjolkan diri di sebalik kemilauan karier Jota sebagai bintang bola sepak namun Rute yang lahir di Porto pada 1996 adalah tulang belakang kepada karier lelaki itu.

CINTA yang berputik di bangku sekolah (gambar atas) membawa ke alam perkahwinan.
Bagi sesiapa yang mengikuti Liverpool FC dan pasukan kebangsaan Portugal, kehadiran Rute akan dirasai - senyap tapi ada, sentiasa berada beberapa langkah di belakang lelaki yang dicintainya, bersorak lebih kuat daripada orang lain bila lensa kamera tidak dihalakan kepadanya.
Malah, perkahwinan mereka pada
22 Jun, 2025 tidak dilimpahi cahaya bergemerlapan sebaliknya berlangsung amat sederhana dan dihadiri hanya
keluarga dan rakan rapat sahaja.
Jota berkongsi saat bersejarah
itu menerusi akaun media sosialnya dengan kapsyen “hari yang tidak akan
dilupakan.”
Rute tidak gilakan sinar lampu dan lensa kamera sebaliknya lebih selesa tinggal di rumah, membesarkan anak-anak serta mendambakan kehidupan biasa sebagai suri rumah.
Dia adalah wanita yang menjadi idaman setiap ahli sukan - tabah, penyayang dan memiliki cinta yang tidak berbelah bahagi walau apa pun dugaan melanda.

Cinta yang dipupuk sejak 2013
diterjemahkan dengan kehadiran tiga cahaya mata. Dinis dilahirkan pada Februari 2021, disusuli Duarte pada Mac, 2023 dan yang bongsu pada November, 2024.
Anak-anak ini akan membesar tanpa Jota, seorang suami dan ayah yang penyayang serta hidup untuk keluarganya.
Bagi Rute pula, mesej terakhir
Jota kepadanya selepas majlis perkahwinan akan kekal sebagai kenangan
cinta mereka berdua.
“Tetapi, saya adalah yang bertuah,” tulis Jota untuk menggambarkan betapa beruntung dirinya dapat memiliki Rute sebagai suri hidup. - KitaReporters

Kredit Liverpool FC