Seni & Sukan 23 Jun, 2025

Liga M: Nak jadi apa? Perak, Kedah, Pahang gulung tikar! DPMM, Imigresen, Melaka pelengkap kuota?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

 

 


SEDIH tapi inilah hakikat yang perlu ditelan dan dihadam oleh peminat bola sepak tempatan- tiada lagi pasukan Perak, Kedah dan Pahang dalam radar Liga Malaysia (Liga M). 

Pada Jumaat, 20 Jun, 2025, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) secara rasmi mengumumkan 13 pasukan yang akan bertanding pada Liga Super musim 2025-2026. iaitu Johor Darul Ta’zim FC (JDT) FC, Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan DPMM FC (Brunei) serta dua kelab daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC. 

Ketika Perak dan Kedah lebih awal diketahui nasibnya, harapan masih diletak ke atas pasukan Sri Pahang FC untuk kekal tapi dengan pengumuman rasmi MFL itu, sah skuad Tok Gajah juga turut tercicir.


TIADA sorakan penyokong Kedah pada Liga Super musim 2025-2026.


Ketiadaan ketiga-tiga pasukan itu sudah pasti amat dirasai, bukan saja oleh penyokong mereka malah peminat bola sepak negara secara keseluruhannya.

Kata orang, patah tumbuh hilang berganti namun hakikatnya kehilangan Sang Seladang, Sang Kenari dan Tok Gajah sukar dicari ganti kerana mereka memiliki sejarah yang panjang dan tradisi tersendiri dalam lanskap bola sepak Malaysia.

Marilah kita menoleh sejenak, membuka lipatan sejarah serta pencapaian ketiga-tiga pasukan itu yang sudah berdekad-dekad mewarnai bola sepak Malaysia.


PERAK mencipta sejarah sebagai pasukan pertama menjuarai Piala Malaysia pada 1967. Gambar kanan: Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima Piala Malaysia bagi menggantikan Piala Malaya.


Pembabitan Perak dalam bola sepak Malaysia bermula dengan tertubuhnya secara tidak rasmi Perak FA pada 1921 sebelum diwujudkan secara rasmi Persatuan Bola Sepak Amatur Perak (PAFA) pada 18 April,1951.

Sejak diwujudkan Piala Malaya (kemudian ditukar kepada Piala HMS Malaya dan Piala Malaysia), Perak adalah antara pasukan terawal menyertainya. Malah, PAFA adalah antara persatuan yang terbabit mengasaskan Piala Malaya.

Pasukan bergelar Seladang itu menjuarai Piala Malaysia (dulu Piala Malaya) sebanyak lapan kali iaitu pada 1926, 1931, 1957, 1967, 1970, 1998, 2000 dan terakhir 2018. 

Menariknya, Perak mencipta sejarah sebagai juara pertama Piala Malaysia yang diperkenal pada 1967 sebagai ganti Piala HMS Malaya.

Apabila Liga Malaysia diperkenalkan, Perak muncul juara sebanyak dua kali pada 2002 dan 2003. 


PASUKAN Perak meraikan kejayaan sebagai juara pertama Piala FA pada 1990.


Perak juga mencipta sejarah sebagai pasukan pertama menjuarai Piala FA yang diperkenal pada 1990 sebelum mengulangi kejayaan itu pada 2004.

Ia turut menjuarai Piala Sumbangsih sebanyak tiga kali iaitu pada 1999, 2005 dan 2006.

Rekod-rekod kejayaan itu jelas membuktikan Perak adalah antara pasukan yang memainkan peranan besar dalam mengangkat bola sepak Malaysia.

Malah, pasukan itu juga turut melahirkan bintang-bintang bola sepak yang pernah menjadi tulang belakang skuad kebangsaan seperti Datuk M Karathu, Wong Kam Fook, Abdullah Nordin, Azizol Abu Hanifah, Khalid Jamlus, Indra Putra Mahyuddin, Ahmad Shahrul Azhar dan ramai lagi.


AHMAD Basri Mohd Akil arkitek yang membawa kejayaan kepada pasukan Kedah. - Kredit foto: KFA


Kedah pula walaupun hanya mula menyerlah pada akhir tahun 1980-an tapi turut mempunyai sejarah yang panjang dan merupakan pasukan terawal menyertai Piala Malaya.

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) diasaskan oleh Tengku Yaakob pada 1924. Mereka melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaya pada 1930 tapi ditumpaskan oleh Singapura 2-0.

Sebaliknya ketika itu, Kedah lebih unggul pada pertandingan Piala Emas Raja-Raja apabila menjuarainya pada 1948 (tewaskan Singapura 2-0), 1949 (Perak 1-0), 1952 (Perak 4-1) dan pada1953 (Negeri Sembilan 4-1).

Kebangkitan Kedah sebagai antara gergasi bola sepak Malaysia, khususnya pada pertandingan Piala Malaysia bermula dengan pelantikan Allahyarham Dato’ Paduka Ahmad Basri Mohd Akil sebagai pengurus pasukan pada 1985.


KEDAH muncul juara Piala Malaysia buat pertama kali pada 1990.


Beliau hanya mengambil masa dua tahun untuk menjadikan Kedah sebagai kuasa baharu bola sepak Malaysia apabila membawa pasukan itu layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 1987 namun tewas 0-1 kepada Wilayah Persekutuan (kini Kuala Lumpur City FC).

Dua lagi percubaan untuk menjulang Piala Malaysia buat pertama kali juga berakhir dengan kekalahan kepada Wilayah Persekutuan, tewas 0-3 (1988) dan 1-2 (1989).

Impian negeri Jelapang Padi itu untuk menjulang Piala Malaysia buat pertama kali akhirnya tercapai apabila mengalahkan Singapura 3-1 pada 1990. Kedah mengulangi pencapaian itu pada 1993, 2007, 2008 dan 2016.


PASUKAN Kedah mencipta sejarah sebagai pasukan pertama melakukan kejayaan double treble.


Pasukan itu juga mencipta sejarah sebagai pasukan pertama mencatat kejayaan ‘double treble’ apabila menjuarai tiga kejuaraan utama domestik iaitu Liga Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia dua tahun berturut-turut pada 2007 dan 2008 sebelum rekod itu dipecahkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.

Kedah juga pernah mengalami jatuh bangun dalam perjuangan mereka. Pada 1991, setahun selepas menjuarai Piala Malaysia, pasukan itu bukan saja gagal ke perlawanan akhir malah jatuh ke Divisyen Dua Liga Semi-Pro.

Namun, ia kembali bangkit pada 1992 dengan menjuarai Divisyen Dua Liga Semi-Pro, juga melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang menyaksikan Sang Kenari tewas 0-1 kepada Singapura. 

Ia juga pernah beraksi dalam Divisyen Dua pada 2002, 2006 dan 2015 yang membuktikan pasukan itu cukup masak dengan rencah pertandingan bola sepak Malaysia.

Rekod dalam pertandingan Piala FA pula mencatatkan Kedah pernah menjuarainya sebanyak lima kali iaitu pada 1996, 2007, 2008, 2017 dan 2019.


PENYOKONG meraikan kejayaan Pahang menjuarai Piala Malaysia 1983.


Sementara itu, Pahang yang kini dikenali sebagai Sri Pahang adalah antara pasukan terawal mengrekrut pemain import untuk memperkuat pasukan.

Selain bintang import Singapura seperti T Pathmanathan, R Suriamurthi dan Fandi Ahmad, ia turut membawa masuk penyerang ternama Thailand, Piyapong Pue On.

Tok Gajah juga mempelopori trend ‘import tempatan’ untuk memperkukuhkan pasukan dengan membawa masuk adik-beradik Alif iaitu Abdah Alif dan adiknya, Yunus selain Tajudin Nor (Pulau Pinang). Ia disusuli Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan Ahmad Yusof.

Hasilnya, pada 1983, Pahang menjuarai Piala Malaysia buat pertama kali dengan mengalahkan Selangor 3-2, sekali gus memecah monopoli Selangor dan Singapura sebagai Raja Piala Malaysia.


PAHANG juara Piala Malaysia 1992.


Pada dekad 1990-an, Pahang muncul sebagai kuasa baharu bola sepak Malaysia apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebanyak empat kali tapi hanya memenangi satu daripadanya pada 1992.

Tahun 1992 juga, Pahang dianggap sebagai Pasukan Impian apabila membariskan bintang-bintang ternama seperti Fandi Ahmad, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Ahmad Yusof dan bintang Australia, Alan Davidson.

Secara keseluruhan, Pahang muncul juara liga sebanyak lima kali iaitu pada 1987, 1992, 1995, 1999 dan 2004, muncul juara Piala Malaysia empat kali (1983, 1992, 2013 dan 2014), sementara mengungguli Piala FA pada 2006, 2014 dan 2018.


KEMERIAHAN sokongan penyokong Perak tidak akan dirasai pada Liga Super 2025-2026. - Kredit foto: Perak FA.


Tapi, itu semua kini hanya tersimpan dalam lipatan sejarah. Kita harap ketiga-tiga pasukan itu tidak terkubur terus kerana pintu untuk mereka kembali ke liga utama sentiasa terbuka.

Mungkin mereka perlu bermula dari bawah semula. Langkah Kedah dan Perak menyertai Liga Semi Pro A1 patut diberi sokongan agar mereka dapat membina kembali pasukan itu. Sri Pahang sepatutnya mengikut jejak langkah kedua-dua pasukan itu.

Namun, tidak dinafikan, ketiadaan ketiga-tiga pasukan itu pada Liga Malaysia sedikit sebanyak akan menjejaskan kemeriahan pertandingan Liga Super 2025-2026.

Perak, Kedah dan Pahang memang memiliki kumpulan penyokong ‘hardcore’ yang sentiasa menggegarkan stadium. Tanpa mereka, Liga M akan hambar.


DPMM FC dari Brunei, pendatang baharu Liga Super.


Tanpa berniat memperkecil, kelab-kelab seperti PDRM, Imigresen, DPMM dan Melaka tidak mempunyai ‘fan base’ serta aura sebagaimana Perak, Kedah dan Pahang untuk menarik penyokong ke stadium terutama bila bertandang ke gelanggang lawan.

Sindrom sendu yang dialami Liga Super sepanjang musim 2024-2025 dijangka akan berulang apatah lagi jika jurang pasukan bawahan dengan pasukan seperti JDT FC, Selangor FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur FC terlalu jauh.

Mampukah pendatang baharu seperti DPMM, Melaka dan Imigresen memberi cabaran sebagaimana pernah diberikan oleh Perak, Kedah dan Pahang? Atau mereka sekadar pelengkap kouta? - KitaReporters

 

9
8
0
13
0
You will be interested