.
DARAHNYA tumpah di bumi Singapura. Namun jasadnya disemadikan ribuan batu jaraknya, di Texas, Amerika Syarikat. Benarlah, jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki dan tanah kubur hanya Allah Maha Mengetahui.
Tanggal 30 Mac 2025 lalu genaplah 21 tahun seniwati terkenal Fatimah Ahmad pergi menyahut seruan Ilahi. Fatimah yang lahir pada 14 September 1941 di Singapura, meninggal dunia pada hari Jumaat 30 Mac 2004 di Texas. Jenazahnya disemadikan di Klein Memorial Park, Texas.

Seniwati Fatimah Ahmad

Fatimah Ahmad mencipta nama sebagai bintang utama di Studio Cathay Keris, Singapura, pada tahun 60-an.
Peminat filem Melayu pasti ingat Fatimah, bintang terkenal Studio Cathay Keris, Singapura yang aktif berlakon antara tahun 1960 hingga 1969. Allahyarham seangkatan dengan bintang Cathay Keris lain seperti Latifah Omar, Maria Menado, Umi Kalsom, Roseyatimah dan Rahmah Ali.
Fatimah memulakan karier seni sebagai penyanyi, pernah merakamkan lagu untuk Radio Singapura. Pada 16 Julai 1959, Allahyarham menyertai peraduan ‘Menjadi Bintang’ anjuran Shaw Brothers, Singapura.
Allahyarham terpilih menjalani ujian bakat bersama tiga lagi calon wanita lain, iaitu Ngatimah Kasbie atau K. Fatimah, Adlin Marsita dan Akino Zaiton. Hanya Fatimah dan K. Fatimah sahaja dipilih jadi pelakon Shaw’s Malays Film Productions (MFP), Jalan Ampas.
Pada 1960, pengarah Jamil Sulong mengambil Fatimah berlakon dalam ‘Isi Neraka’ sebagai pelakon pembantu. Filem seterusnya sebagai pelakon pembantu ialah ‘Lela Manja’, ‘Megat Terawis’, ‘Sumpah Wanita’, ‘Putera Sangkar Maut’ (semuanya 1960).

Empat bintang jeita Cathay Keris Filem, dari hadapan Fatimah Ahmad, Umi Kalsom, Roseyatimah dan Rahmah Ali.
Allahyarham kecewa kerana kerap hanya diberi watak pembantu di Shaw Brothers. Dalam situasi ini, Fatimah menerima tawaran berlakon daripada Studio Cathay Keris, East Coast Road. Allahyarham menerima tawaran tersebut dan meninggalkan MFP.
Penghjirahan
ini membuahkan lembaran kejayaan. Impian memegang watak utama tercapai melalui
filem pertamanya di studio tersebut, ‘Laila Satria’ (1961) arahan S
Roomai Noor.
Selepas itu
Fatimah terus unggul mencipta nama sebagai salah seorang bintang utama Cathay
Keris. Allahyarham sentiasa diberi kepercayaan memegang watak utama dalam
filem-filem keluaran studio tersebut.
Antaranya filem ‘Puteri Gunung Ledang’, ‘Jalak Lenteng’, Gado-Gado’ (semuanya 1961), ‘Dang Anom’, ‘Mata Shaitan’, ‘Korban Kasih’, ‘Jula Juli Bintang Tujuh’, (semuanya 1962), ’Gila Talak’ (1963), Istana Berdarah (1964), ‘Cinta Kasih Sayang’ (1965) dan ‘Dosa Wanita’ (1967). Filem terakhir lakonan Fatimah ialah ‘Nafsu Belia’ (1969) arahan Nordin Ahmad.

Filem 'Dang Anom' keluaran Cathay Keris 1962 membariskan pelakon hebat Nordin Ahmad dan Fatimah Ahmad. Filem arahan Hussain Haniff.

Fatimah Ahmad bersama A Rhyme dalam satu adegan filem 'Dosa Wanita' (1967) arahan M. Amin.
Fatimah berkahwin dengan pengarah Hussain Haniff pada 1962 dan dikurniakan dua orang anak, Azaharin dan Faisal Hussain. Sayang jodoh tidak panjang. Hussain meninggal dalam usia muda 33 tahun pada 4 April 1966 di Singapura kerana barah dalam perut.
Kesedihan menyelubungi Fatimah yang ditinggalkan bersama dua anak kecil. Air matanya tumpah ketika mengiringi jenazah suaminya untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Bidadari, Singapura.

Saat bahagia Fatimah Ahmad bersama suami, Hussain Haniff.

Fatimah Ahmad (kanan) tidak dapat menahan air mata ketika mengiringi jenazah suami, Hussain Haniff, untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Bidadari, Singapura pada 1966.

Fatimah Ahmad bersama suami kedua, William Bushfield yang dikahwini pada 1970.
Pada tahun 1970, Fatimah bertemu jodoh dengan warga Amerika, William Bushfield. Mereka dikurnia dua orang anak, Adam dan Ryan Bushfiled. Setelah anak-anak meningkat dewasa, Allahyarham berhijrah ke Texas, menetap bersama suami dan anak-anak hingga meninggal pada 30 April 2004.
Ketika hayatnya di Texas, Allahyarham pernah jadi guru di salah sebuah sekolah tempatan. Di samping itu Allahyarham menguruskan ladang ternakan dan bisnes keluarga yang lain.

Fatimah Ahmad bersantai bersama anak-anak di Texas, Amerika. Paling kiri anak sulung, Azaharin Hussain.

Pusara Allahyarham Fatimah Ahmad di Klein Memorial Park, Texas, Amerika.
Fatimah Ahmad telah lama pergi. Namun namanya kekal terpahat sebagai insan seni yang banyak berbakti mewarnai dunia filem Melayu. Legasi seni yang ditinggalkan tetap jadi kenangan abadi.
Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa Allahyarham. - KitaReporters