.

Malaysia melakar sejarah baharu di persada dunia apabila Merdeka 118, bangunan tertinggi di negara ini dan kedua tertinggi di dunia, dipaparkan dalam filem terbaharu Marvel Studios, Thunderbolts.
Tayangan perdana filem ini dijadualkan bermula 1 Mei 2025 di pawagam seluruh negara.
Dirakam pada Ogos 2024, antara babak paling mencuri tumpuan ialah adegan di mana pelakon terkenal Florence Pugh, yang memegang watak Yelena Belova, melakukan terjunan aksi mendebarkan dari puncak bangunan setinggi 678.9 meter itu.
Adegan luar biasa ini turut memaparkan latar langit Kuala Lumpur yang memukau, memperkenal keindahan ibu kota Malaysia kepada jutaan penonton global.

Florence Pugh di puncak Merdeka 118.
Menurut pengarah filem, Jake Schreier, keseluruhan aksi terjunan tersebut melibatkan persediaan teliti dan kerjasama rapat bersama firma kejuruteraan Malaysia bagi memastikan aspek keselamatan dipenuhi.
“Kami bekerjasama dengan pasukan tempatan untuk mereka bentuk peralatan yang sesuai, dan Florence melaksanakan aksi ini sepenuhnya dalam watak — tanpa potongan. Komitmen beliau sangat luar biasa,” jelas Schreier.
Keterlibatan produksi tempatan menjadikan filem ini lebih bermakna buat rakyat Malaysia. Selain lokasi ikonik sekitar Kuala Lumpur, penonton turut dapat melihat wajah-wajah tempatan, termasuk pelakon dari Sabah, Syaza Atheera, yang membintangi beberapa babak utama dalam filem ini.
Pempengaruh dari Sabah ini, Syaza Atheera (bertudung putih) dalam salah satu adegan file, 'Thunderbolts'.
Bagi meraikan detik bersejarah ini, Merdeka 118 akan diterangi dengan tema 'Thunderbolts dari 29 April hingga 1 Mei 2025, dengan pertunjukan cahaya khas setiap malam dari jam 8:00 malam hingga 12:00 tengah malam.
Inisiatif ini bukan sahaja meraikan kolaborasi unik antara Malaysia dan Marvel Studios, malah menyerlahkan mercu kebanggaan negara di pentas antarabangsa.

Dalam Thunderbolts, Marvel Studios mengumpulkan sekumpulan watak antihero luar biasa — Yelena Belova, Bucky Barnes, Red Guardian, Ghost, Taskmaster, dan John Walker.
Diperdaya dan terperangkap dalam misi maut yang dirancang oleh Valentina Allegra de Fontaine, mereka dipaksa berhadapan dengan masa silam masing-masing.
Ketegangan yang timbul menguji kepercayaan, kekuatan, dan kesediaan mereka untuk bersatu demi satu matlamat yang lebih besar.

Filem ini dibarisi pelakon hebat seperti Florence Pugh, Sebastian Stan, Wyatt Russell, Olga Kurylenko, Lewis Pullman, Geraldine Viswanathan, Chris Bauer, dan Wendell Pierce, serta David Harbour, Hannah John-Kamen, dan Julia Louis-Dreyfus.
Diterbitkan oleh Kevin Feige dan diarahkan oleh Jake Schreier, Thunderbolts ditulis oleh Eric Pearson dan Joanna Calo, berdasarkan cerita asal oleh Pearson.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan gabungan aksi, emosi dan keunikan Malaysia dalam Thunderbolts, yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Mei 2025.
Dah rasa tak sabar ke nak tonton? Pasti meletop di pawagam pada1 Mei 2025 ini! Nanti kan? - KitaReporters
