Pelakon, supermodel dan usahawan terkenal, Amber Chia sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila berkongsi video ucapan hari lahir anak lelakinya, Ashton Wong, yang kini genap 15 tahun (September 2025).
Amber, 43, yang mula dikenali selepas memenangi pertandingan Guess Watches Model Search 2004, turut dikenali sebagai ikon fesyen dan antara wajah Malaysia yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam hantaran dalam TikTok, Amber berkongsi detik-detik manis bersama anaknya dengan paparan momen pada tahun 2012 dan 2025, sekali gus menunjukkan Ashton yang semakin membesar menjadi remaja.
Video berkenaan disertakan ucapan mesra Amber: “Happy 15th Birthday to my sweetheart Ashton Wong! Time really flies."

Namun menariknya, bukan usia Ashton yang menjadi tumpuan tetapi wajah Amber yang tidak dimamah usia.
Netizen lebih terkejut melihat wajah Amber yang kekal cantik. Malah, ramai meninggalkan komen kagum dengan penampilan awet muda Amber, termasuk yang berseloroh mengatakan beliau kelihatan seperti kakak kepada anaknya sendiri.
“Masalahnya sekarang ni, maknya kenapa macam tidak menua, kekal cantik,” tulis salah seorang netizen.
Sementara itu, ada juga yang berseloroh, “Anak dah besar, tapi Amber Chia gitu jer, macam adik dengan kakak.”
Manakala seorang lagi turut meninggalkan komen berbunyi, “Ya Allah maknya maintain muda lawa.”

Video tersebut sehingga kini telah menerima ribuan tontonan dengan ratusan komen yang rata-rata memuji kecantikan Amber yang dianggap ‘tak makan usia’.
Ada juga yang mengulang tonton klip berkenaan berkali-kali kerana terpesona dengan wajah Amber yang kelihatan sama seperti lebih sedekad lalu.
Bukan kali pertama Amber menjadi perhatian kerana wajah awet mudanya. Malah sejak awal kemunculan Amber dalam perhatian umum, ramai peminat sering terpesona dengan gaya hidup sihat dan penjagaan diri Amber yang membuatkan kecantikannya seakan tidak berubah sejak mula bergelar model.

Selain bergiat aktif dalam bidang peragaan, Amber juga aktif sebagai pelakon dan pengacara, selain mengendalikan Amber Chia Academy yang melatih generasi baharu dalam bidang peragaan dan seni persembahan.
Dedikasinya dalam industri fesyen menjadikan beliau antara nama besar yang terus relevan sehingga kini.
Ulang tahun Ashton kali ini bukan sahaja mengingatkan ramai bahawa masa bergerak pantas, malah turut membuktikan bagaimana Amber Chia berjaya menyeimbangkan peranan sebagai seorang ibu, ikon fesyen dan usahawan, sambil kekal menawan seperti dahulu. - KitaReporters
