Kamal Adli dan Uqasha Senrose bersua muka buat kali pertama setelah dua bulan tidak berhubung
Kedua-dua pelakon ini meluahkan isi hati masing-masing kepada pihak media ketika muncul di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada Rabu, 19 November 2025 bagi sebutan ketiga permohonan cerai yang difailkan oleh Uqasha terhadap suami yang juga pelakon, Kamal Adli.
Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen mengenakan jubah hitam tampil tenang dan tersenyum dan tiba kira-kira jam 9.25 pagi, ditemani ibunya, Rosmizah Mohd Noor serta adiknya, Datin Nelydia Senrose.
Uqasha hadir di mahkamah ditemani ibunya Rosmizah Mohd Noor serta adiknya, Datin Nelydia Senrose.
Uqasha mengaku kekal dengan keputusan untuk berpisah dan memohon agar segala urusan dipermudahkan.
Uqasha memaklumkan telah mencuba sedaya upaya untuk mempertahan perkahwinan selain memberi peluang kepada suami, Kamal Adli untuk mengubah sikap.
Bagaimanapun kata Uqasha, dia berputus asa dan akhirnya mengambil keputusan untuk menuntut cerai selepas peluang yang diberikan disia-siakan oleh Kamal.
“Empat tahun saya bagi peluang untuk dia berubah, selama kami mendirikan rumah tangga. Bukan saya tak cuba, sebenarnya saya sudah berusaha untuk perbaiki sebanyak mungkin dan saya cuba bertahan selama yang mungkin tapi dia tetap tidak berubah.
“Cukup saya katakan yang saya nak selamatkan diri saya dan anak daripada kemudaratan fizikal dan mental. Itu sahaja yang dapat saya katakan,” katanya kepada petugas media selepas prosiding.

Kamal Adli tetap mengukir senyuman melangkah ke galeri mahkamah

Kamal Adli meluah isi hatinya kepada petugas media
Prosiding pada Rabu, 19 November 2025 merupakan pertemuan pertama pasangan itu selepas lebih dua bulan tidak berhubung.
Walaupun hanya bertentang mata seketika tanpa sebarang perbualan, momen tersebut cukup menyentuh hati Kamal Adli atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli.
“Lama tak jumpa dia. Jadi gembira juga dapat tengok walaupun tak bercakap. Tapi saya tak nampak pun dia pandang saya. Biarlah saya bertepuk sebelah tangan… tak apa,” katanya sesekali cuba berseloroh.
“Saya tak nak apa-apa jadi pada masjid yang saya bina ni. Saya akan 'fight' sampai hujung. Sampai Allah kata sudahlah Kamal… macam tu.
/
Dalam prosiding Rabu, 19 November 2025, kedua-dua pihak selesai melantik jawatankuasa pendamai (JKP) masing-masing seperti diarahkan oleh mahkamah, dengan tarikh prosiding seterusnya ditetapkan pada 18 Disember 2025.