Seni & Sukan 22 Aug, 2025

Video| 3 lagu sekali gus! Kolaborasi Helen Yap, Idayu dan Sharizan beri nafas baharu industri muzik!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Magic Nova Productions di bawah teraju komposer Helen Yap tampil dengan Projek Inspirasi 2025 yang memperkenal tiga single baharu ciptaannya - Aku Juara, Setiap Detik dan The Only One. Lagu "Aku Juara" menampilkan penyanyi Idayu Yaakob manakala penghibur serba boleh, Sharizan Borhan sebagai penyanyi pilihan Helen Yap untuk lagu "Setiap Detik” dan "The Only One”. - KitaReporters




Industri muzik tanah air terus bernafas segar selepas melalui cabaran getir pandemik COVID-19 apabila pelbagai karya baharu mula diperkenal semula. 

Turut tidak ketinggalan, Magic Nova Productions di bawah teraju komposer Helen Yap tampil dengan projek Inspirasi 2025 yang memperkenal tiga single baharu ciptaannya - Aku Juara, Setiap Detik dan The Only One, sebagai usaha menyemarakkan terus dunia hiburan tempatan.

Lagu "Aku Juara" menampilkan penyanyi bersuara lantang, Idayu Yaakob manakala penghibur serba boleh, Sharizan Borhan menyaksikan beliau sebagai penyanyi pilihan Helen Yap untuk lagu "Setiap Detik” dan "The Only One”, versi Inggeris bagi lagu "Setiap Detik”.



Menurut Helen, penghasilan sesebuah karya bukanlah tugas mudah kerana memerlukan perancangan rapi dan kos yang besar.

“Cabaran nak siapkan lagu ini, pertama sekali adalah soal perancangan. Kedua pula soal bajet. Dalam mana-mana produksi muzik, ia bukan perkara yang murah. 

"Segala-galanya perlukan bajet yang betul dan sokongan kewangan yang kukuh untuk hasilkan produk yang berkualiti,” kata Helen ketika ditemui pada sidang media majlis pelancaran showcase 'Inspirasi 2025' yang berlangsung di Saprah KL

Turut hadir kedua penyanyi terbabit, Idayu atau nama sebenarnya Nur Farah Idayu Yaakob, dan Sharizan Borhan serta Dee Jangan Ketawa, atau nama sebenarnya, Syed Muradzi Syed Shamsul, yang bertindak sebagai pengacara majlis.

Helen meluahkan rasa terharu kerana buat pertama kali, beliau mendapat pembiayaan dana daripada MyCreative Ventures (MyCV) dan sangat berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi yang prihatin membantu karyawan muzik Malaysia.

“Kami amat bersyukur dengan bantuan dana DKK (Dana Kandungan Kreatif) ini kerana ia menjadi pencetus kepada kelahiran projek Inspirasi 2025. 

"Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan My Creative Ventures atas sokongan berterusan terhadap pembangunan industri kreatif negara,” ujarnya.


Helen Yap (kiri) bersama Idayu Yaakob dan Sharizan Borhan pada majlis pelancaran 'Inspirasi 2025' di Saprah KL pada 21 Ogos 2025. - Kredit foto: FAS.


Lagu "Setiap Detik" adalah sebuah lagu rancak atau dance pop yang menceritakan tentang kuasa cinta sejati, di mana liriknya adalah hasil kolaborasi Helen bersama Slen Fadzil & Haslan Hussain manakala "The Only One" pula adalah versi Inggeris bagi lagu "Setiap Detik", dengan liriknya digarap bersama oleh Azalea, Shah Shamsiri, dan Helen sendiri. 

Untuk lagu 'Aku Juara' pula Helen berkolaborasi dengan penulis lirik Abie Abdullah & Haslan Hussain.

“Projek ini juga bertujuan memberi ruang kepada penyanyi berpengalaman seperti Idayu dan Syarizan untuk kembali menyerikan industri muzik tanah air dengan bakat besar yang mereka miliki. 

"Saya gembira melihat komitmen mereka dalam menjayakan lagu masing-masing,” tambah Helen sambil memuji vokal kedua penyanyi itu yang masih berbisa.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak mahu terikat dengan ruang yang sempit, sebaliknya mahu terus meneroka pelbagai genre agar muzik tempatan lebih segar dan mampu memenuhi cita rasa berbeza pendengar.

“Bila saya bekerjasama dengan Helen, kami tidak mahu kekal ‘niche’. Kami mahu muzik ini lebih meluas. Projek ini bukan sahaja untuk keluarkan single, tetapi satu bentuk inspirasi baharu agar muzik Malaysia terus berkembang dan tidak tenggelam,” sambung Sharizan memberikan pandangannya.




Bagi Sharizan, peluang mengetengahkan dua buah lagu serentak memberi pengalaman berharga kerana ‘Setiap Detik’ dan 'The Only One’ saling berkait antara satu sama lain.

“Lagu 'Setiap Detik' adalah sebuah balada yang cukup peribadi bagi saya, manakala 'The Only One' pula merupakan versi bahasa Inggeris yang menjadi kesinambungan kepada karya tersebut. 

"Saya anggap ia sebagai satu cabaran baharu kerana tidak mudah untuk bawa jiwa yang sama dalam dua bahasa berbeza,” jelasnya.

Menurut Sharizan lagi, usaha ini memberi ruang untuknya menembusi pasaran lebih luas.

“Bagi saya, ini adalah peluang untuk membuktikan bahawa penyanyi tempatan juga boleh tampil dengan karya yang bersifat universal, bukan hanya untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk didengari oleh pendengar antarabangsa. Harapan saya agar kedua-dua lagu ini mampu menjadi inspirasi kepada orang ramai, khususnya generasi muda,” akhirinya,

Sharizan yang sering digelar 'King of Swing Malaysia' mula dikenali ramai sejak menjadi finalis Asia Bagus! 1993 dan pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1997 melalui album pertamanya, ‘Hadir’. 

Menariknya, album itu turut menampilkan lagu ‘I Am No King’ karya Helen Yap dan ini bermakna Helen dan Sharizan kembali berkolaborasi melalui ‘Setiap Detik’ dan ‘The Only One’ pada tahun ini (2025), setelah sekian lama mereka  ‘berpisah’.


Bersama penulis-penulis lirik yang terlibat, Dari kiri: SlenFadzil, Abie, Sharizan, Idayu, Helan, Shah dan Haslan.


Sementara itu, Juara AF Megastar 2017, Idayu yang menyanyikan lagu ‘Aku Juara’  turut meluahkan keterujaannya dapat kembali dengan karya penuh makna.

“Bagi saya, 'Aku Juara' ini adalah sebuah lagu yang benar-benar memberi semangat. Ia bukan sahaja bercerita tentang kemenangan dalam pertandingan, tetapi juga tentang kekuatan diri dalam kehidupan seharian. 

"Saya rasa lagu ini mampu memberi inspirasi kepada pendengar untuk terus bangkit dalam apa jua keadaan,” katanya yang pernah tersingkir pada minggu keempat sebagai pelajar program realiti, Akademi Fantasia musim ketiga pada tahun 2005.

Idayu yang terkenal dengan kebolehannya meniru suara superstar antarabangsa seperti Mariah Carey dan Celine Dion turut menekankan kepentingan projek sebegini untuk mengangkat industri muzik tanah air. 

“Kadang-kadang orang fikir nak hasilkan sebuah lagu itu mudah, tapi sebenarnya ia memerlukan banyak tenaga, masa dan kos. Jadi apabila ada pihak yang berani tampil dengan projek berskala seperti ini, saya rasa ia sesuatu yang patut kita sokong bersama,” ujarnya. 


Bergambar kenangan bersama wakil-wakil dari Kementerian Kommunikasi dan MyCreative Ventures.


'Aku Juara' merupakan sebuah lagu inspirasi yang kaya dengan mesej  ketabahan serta kepercayaan terhadap diri sendiri. Liriknya yang puitis itu menyatu indah dengan melodinya hingga membangkitkan semangat juang. 

“Lagu ini sangat peribadi buat saya. Ia melambangkan perjalanan saya yakni jatuh bangun dalam industri hiburan sehinggalah kembali berdiri sebagai juara,” kata Idayu mengulas tentang ‘Aku Juara’ yang kini tersedia dalam semua platform digital waima video muziknya akan menyusul pada 29 Ogos 2025 selepas video muzik ‘Setiap Detik’ dilancarkan pada 22 Ogos 2025. - KitaReporters

12
13
0
9
0
You will be interested