
Bintang serba boleh, Daiyan Trisha, terus mengukuhkan posisinya sebagai ikon fesyen dan seni tanah air apabila mencatat sejarah peribadi di pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) dengan merangkul dua anugerah berprestij, termasuk anugerah utama.
Kemenangan berganda ini menyaksikan pemilik bernama penuh Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 31, membawa pulang anugerah Selebriti Stailo Terhangat dan anugerah tertinggi acara tersebut, Anugerah Melodi Terhangat.
Pencapaian ini bukan sahaja mengesahkan pengaruhnya dalam industri seni, malah mengiktiraf beliau sebagai figura fesyen yang benar-benar menjadi inspirasi ramai.
Dikenali dengan gaya peribadinya yang elegan dan berkarakter menjadikannya menonjol di mana-mana sahaja beliau berada, sama ada di karpet merah, set penggambaran mahupun di media sosial.
Aura yang dibawa Daiyan bukan hanya terlihat pada pakaiannya, tetapi terpancar melalui caranya mengangkat fesyen sebagai ekspresi diri yang tulus dan bermakna, sehingga menjadi rujukan ramai.
Tidak hairanlah Daiyan sering menjadi tumpuan di setiap acara yang dihadirinya seterusnya menjadi pilihan utama tahun 2025 ini.

Daiyan Trisha menerima Anugerah Melodi Terhangat daripada penyanyi adik beradik, Ziana Zain dan Anuar Zain.
Buat Daiyan, bergaya tidak semestinya terletak pada jenama atau harga, sebaliknya adalah satu bentuk ekspresi diri yang tulus.
“Tak perlu pun belanja mahal. Saya sendiri mula tanpa barangan berjenama, tapi saya belajar untuk kreatif dan kenal gaya sendiri,” kongsi Daiyan selepas kemenangannya.
Menurutnya, penampilan yang ringkas tetapi tetap menyerlah lahir daripada keyakinan, keselesaan dan usaha berterusan untuk mengenali diri, bukan jenama.
Minatnya terhadap fesyen juga bukanlah sesuatu yang dipaksa, malah lahir secara semula jadi.
Walaupun sering terikat dengan jadual yang padat, kecenderungan Daiyan terhadap fesyen mendorongnya untuk meluangkan masa dalam proses persiapan.
“Saya minat untuk bersiap walaupun letih dan kadang-kadang tak sempat berehat, Tapi sebab saya memang suka proses tu, daripada pilih baju, padankan aksesori sampai ke solekan, semua tu bagi saya adalah satu bentuk ekspresi diri,” katanya jujur.
Lebih daripada sekadar ikon fesyen, perjalanan seninya sebagai penyanyi dan pelakon selama lebih sedekad bergelumang dalam industri, Daiyan membuktikan bahawa dunia seni sudah sebati dalam jiwanya.
Setiap watak yang dibawa dan lagu yang dinyanyikan hadir dengan sentuhan peribadi yang halus dan tulus. Dari studio rakaman ke set penggambaran, cintanya terhadap seni tidak pernah luntur, malah terus berkembang selari dengan kematangannya sebagai seorang anak seni.
Kemenangan di pentas AMT 2025 yang meraikan ‘Sehebat Prestasi, Sehangat Sensasi dan Bakat Tersendiri’ ini jelas menyerlahkan kehebatan Daiyan Trisha, bukan sahaja kerana gayanya yang ikonik, tetapi juga kerana keaslian, kerja keras dan sentuhan seninya yang tersendiri.

Untuk rekod. selepas sembilan tahun menyepi, Anugerah Melodi Terhangat (AMT) kembali pada tahun 2025 dengan nafas baharu, bukan sekadar sebagai acara penghargaan, tetapi juga mempunyai aura, daya tarikan dan berjaya mencipta momen viral yang dekat dengan hati rakyat.
Dengan persembahan yang lebih moden, segar dan penuh interaksi, AMT 2025 menjadi acara hiburan yang paling sesuai dengan zaman media sosial sekarang. - KitaReporters