
Sebagai isteri kepada aktor Amar Bahrin dan ibu kepada dua cahaya mata, Amyra melihat isu-isu tular sebagai satu peringatan untuk diri sendiri agar lebih bersyukur dan menghargai apa yang dimiliki.
“Saya ambil semua ni sebagai teguran untuk diri sendiri. Macam, "Oh begini Allah tunjukkan supaya kita lebih bersyukur, lebih menghargai keluarga, terutama suami dan anak-anak.“Kita tak perlu menghakimi orang lain, cukup sekadar mendoakan yang baik-baik. Jika perlu untuk meluahkan perasaan, carilah tempat yang betul dan berjumpalah dengan pakar,” katanya.
Pelakon drama Jangan Menangis Cinta itu turut mengibaratkan media sosial sebagai cermin yang memantulkan kembali setiap tutur kata dan tindakan seseorang.
“Pada saya media sosial ini ibarat cermin, apa yang kita cakap tentang orang lain, akhirnya akan kembali kepada kita.
“Apabila membuka aib, bukan diri sendiri sahaja yang terkesan, malah keluarga turut menerima tempiasnya," ujarnya.
Mengulas lanjut, Amyra percaya ujian yang menimpa seseorang bukan datang secara sia-sia, sebaliknya hadir kerana individu itu mampu menghadapinya.
“Bagi isteri kepada aktor Amar Bahrin, yang penting adalah muhasabah diri dan bersyukur,” pesannya.
Pelakon itu menegaskan, sebagai manusia biasa, peranan kita hanyalah memberi sokongan dan doa, bukan menambah luka dengan kata-kata.
“Maka sebagai manusia, kita hanya mampu mendoakan dan memberi sokongan tanpa menghakimi. Doakan yang baik-baik untuk mereka. Itu yang kita mampu buat,” tambahnya.

Selain berkongsi pandangan tentang fenomena media sosial, Amyra turut membuka sedikit cerita mengenai azam dan fokus peribadinya bagi tahun 2026.
“Risau juga sebenarnya, tetapi itulah apa yang saya boleh kongsi.
“Saya harap jadi manusia yang lebih berjaya daripada sebelum ni, dari segi kerjaya, rohani dan keluarga,” katanya.
Menurut Amyra, beberapa impian dan sasaran yang diletakkan untuk tahun 2025 sudah pun berjaya dicapai, dan kini tumpuannya lebih menjurus kepada peranan sebagai seorang ibu.
“Beberapa 'wishlist' untuk 2025 sudah saya capai dan untuk 2026 saya nak fokus sepenuhnya pada anak-anak,” katanya menutup bicara. - KitaReporters
