Seni & Sukan 03 Dec, 2025

Video| Erra temui Cinta Abadi 2025-nya! Umum pernikahan dengan Mr E! Terus berharapkan cinta abadi!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Sebagai insan seni popular Erra Fazira atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek yang berusia 51 tahun pada  9 Februari 2025 lalu sering diberi perhatian mengenai kehidupan peribadinya. 

Bekas ratu cantik ini selain mencipta nama sebagai penyanyi sejak 1992, Erra juga mengecap populariti sebagai pelakon sehingga diberi gelaran ‘primadona Melayu alaf baharu’.



Dua perkahwinannya juga menarik perhatian. 

Erra pada mulanya dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan penyanyi Awie kerana diganding dalam beberapa filem terbitan Skop Production. 

Namun cintanya beralih arah setelah membintangi filem komedi romantik ‘Mr. Cinderella’. Dia bercinta dengan pasangannya dalam filem itu, Datuk Yusry Abdul Halim, anggota KRU. 

Perkahwinan dengan Yusry  hanya bertahan tiga tahun (2003-2006) tanpa zuriat. 

Perkahwinan kedua dengan ahli perniagaan Engku Emran Engku Zainal Abidin bertahan selama tujuh tahun (2007-2014) dengan melahirkan satu zuriat iaitu Engku Aleesya Engku Emran, 16 tahun.



Namun Erra tetap berharap mempunyai teman di hari-hari tuanya. 

Dan pertemuan dengan seorang usahawan bernama Ezwan Zain, atau Mr E yang juga pemilik rangkaian restoran Kueh awal tahun 2025 membuka hati Erra untuk menamatkan zaman jandanya.

Hubungan Erra dan Mr E mula dihidu umum selepas selebriti ini memuat naik ucapan berbaur romantis kepada lelaki itu pada Januari 2025.

Kedua-duanya tidak menghebahkan percintaan mereka walaupun sudah terjalin sebelum bulan raya 2025 dan Mr E mula berkunjung ke rumah keluarga Erra pada Aidilfitri. 

Dalam kalangan keluarga, kedua-dua pihak sudah mengetahui dan merestui percintaan mereka. Namun tarikh perkahwinan masih dirahsiakan.


Erra Fazira tangis dalam gembira ketika mengumumkan tarikh pernikahannya dengan Mr E.


Namun teka teki mengenai hubungan kedua-duanya terjawab apabila Erra berkongsi berita gembira itu pada majlis pelancaran serta tayangan perdana muzik video ‘Cinta Abadi 2025’ pada majlis pelancaran dan tayangan perdana audio video muzik ‘Cinta Abadi 2025’ di The Courtyard By Marriot, Kuala Lumpur pada Selasa, 2 Disember 2025. 

Erra mengumumkan berita itu dengan tangisan kebahagiaan.

Dalam pertemuan dengan petugas media, Erra begitu ramah dan mesra melayan pertanyaan yang dikemuka dengan memperlihat cincin tandanya.


Erra Fazira dan Mr E di salah sebuah cawangan Restoran Kueh.

Menurut Erra dia dan Mr E menjalin hubungan ke arah perkahwinan tanpa terburu-buru dan lamaran sebenar baharu dilakukan kira-kira tiga minggu lalu. 

"Insya-Allah, jika tiada aral melintang pada 12 Disember 2025 bersamaan Jumaat, saya menjemput rakan media dan semua untuk terus mendoakan agar majlis pernikahan saya berlangsung dengan penuh keberkatan," kata Erra pada majlis itu.

Sementara resepsi akan diadakan dua kali iaitu pada 13 Disember 2025 untuk keluarga dan resepsi kedua pada 27 Disember 2025 untuk rakan terdekat.



Sementara itu menyentuh mengenai lagu ‘Cinta Abadi 2025’ yang dirakam semula dengan susunan muzik baharu dan nyanyian semula, menurut Erra, lagu asalnya sudah berusia 32 tahun kerana dirakam pada 1993. 

Melodi lagu itu ciptaan Razman sementara lirik puitisnya ciptaan Datuk Habsah Hassan. Ketika itu Erra baharu berusia 19 tahun dan ia dirakam di sebuah studio di Singapura.  

Menurut Erra, lagu ‘Cinta Abadi’ memperkenal namanya sebagai penyanyi. Banyak undangan nyanyian datang hanya kerana lagu ini mencetuskan fenomena ketika itu.

Justeru apabila pihak MindOrder Sdn Bhd mengusulkan idea merakamkan semula lagu ini, dia tidak berfikir panjang kerana dia tahu betapa ramainya peminat yang merindui nyanyiannya.

Tambahnya, versi baharu ini diharap mampu mengubat kerinduan mereka kepada melodi klasik yang pernah menjadi kegemaran. - KitaReporters


12
16
0
13
0
You will be interested