Seni & Sukan 13 Aug, 2024

Tahu tak? Pingat emas Olimpik Paris 2024 bernilai RM4,240! Hanya 6g emas! Perak RM2,169! Gangsa RM58!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Pingat emas, perak dan gangsa temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang menjadi rebutan lebih 10 ribu atlet daripada 206 kontinjen negara peserta. - Kredit foto: NPR


Kos sebenar pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 mencecah RM4,240 setiap satu. - Kredit foto: Facebook Paris 2024.


Sukan Olimpik Paris 2024 secara rasminya telah melabuhkan tirai pada tengah malam 12 Ogos 2024  (waktu malaysia)  meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis  bukan sahaja dalam kalangan atlet daripada 206  kontijen negara yang bertanding, malah turut dirasai sama oleh peminat dan penyokong mereka.

Bagi peminat sukan tanah air, antara topik yang paling mendapat perhatian adalah kejayaan pasangan beregu badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang berjaya mempertahan pingat gangsa yang dimenangi semasa edisi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Turut mencuri perhatian adalah kejayaan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang  mengecewakan Lakshya Sen dalam perlawanan penentuan pingat gangsa acara perseorangan badminton, sekali gus menghadiahkan gangsa kedua untuk negara di temasya tersebut.


Kejayaan pemain badminton perseorangan nagara Lee Zii Jia (kiri) serta pasangan beregu negara, Aaron Chia (tengah) dan Soh Wooi Yik (kanan) menghadiahkan pingat gangsa kepada kontinjen negara amat membanggakan. - Kredit foto: Nabalu News.

Selain itu, peristiwa yang paling mendapat perhatian adalah penyingkiran jaguh berbasikal negara Datuk Mohd. Azizulhasni Awang pada peringkat awal acara keirin, sekali gus meranapkan impiannya membutirkan pingat emas kepada negara atau sekurang-kurangnya mempertahan pingat perak yang dimenanginya semasa Sukan Olimpik Tokyo 2020. 



Penyingkiran Azizulhasni dalam pada pusingan awal acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 antara yang paling mendapat perhatian peminat sukan negara. - Kredit foto : Facebook MSN.


Belum pun reda isu penyingkiran Azizulhasni, perhatian umum tertumpu kepada insiden seorang lagi pelumba basikal negara, Shah Firdaus Sahrom yang dikatakan dirempoh oleh pelumba Jepun, Sinji Nakano pada final acara keirin menyaksikan harapan untuk mengenggam sekurang-kurangnya pingat gangsa berkecai.

Insiden Shah Firdaus Sahrom jatuh dirempoh pelumba Jepun, Sinji Nakano  ketika final acara keiri Sukan Olimpik Paris 2024 antara yang paling hangat diperkatakan peminat sukan tanah air. - Kredit foto: Facebook MSN.


Shah Firdaus terpaksa dipapah selepas megalami kecederaan akibat perlanggaran dengan pelumba Jepun ketika final acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024. - Kredit foto: Facebook MSN.

Namun di sebalik begitu banyak isu serta peristiwa suka duka yang diperkatakan umum, tidak kurang juga dalam kalangan kita yang tertanya-tanya nilai atau kos sebenar sebutir pingat yang menjadi buruan seramai 10,500 peserta bertanding yang mewakili 206 kontinjen negara peserta temasya Sukan Olimpik Paris 2024 kali ini. 

Menurut portal Forbes, harga sebutir pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 dikatakan bernilai sekitar USD$950 atau RM4,240 sekali gus mengatasi nilai pingat emas Sukan Olimpik London 2012 yang berharga USD$708 (RM3,160.52) dikatakan pingat Olimpik termahal sebelum ini.

Harga sebutir pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024  seberat kira-kira 529 gram itu mungkin menjadi  yang paling mahal dalam sejarah penganjuran temasya sukan moden setakat ini.

Pingat emas itu juga sebenarnya bukan diperbuat daripada emas sepenuhnya, malah bahan utama bagi menghasilkannya adalah logam perak sekitar 95.4 peratus selain emas sekitar enam gram sahaja yang digunakan sebagai saduran atau salutan.


Selain dua bahan logam tersebut, turut digunakan adalah kira-kira 18 gram besi di mana semua sumber besi yang digunakan untuk menghasilkan pingat emas, perak serta gangsa itu diambil dari satu bahagian menara Eifell yang dikeluarkan sebelum ini bagi tujuan memasang sistem elevator yang lebih moden di menara tersebut.

Menurut Forbes lagi, kos sebenar bagi menghasilkan sebutir pingat seberat 529 gram jika menggunakan emas sepenuhnya mengikut harga pasaran semasa logam tersebut, nilainya mungkin mencecah nilai kira-kira USD$41,161.50 (RM183,744.94).

Namun kos menghasilkan pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 seberat kira-kira 525 gram yang  mengandungi sekitar 507 gram perak dan selebihnya pula besi adalah lebih rendah berbanding pingat emas iaitu kira-kira USD$486 (RM2,169) sahaja.

Bagi pingat gangsa pula, kosnya jauh lebih rendah iaitu hanya kira-kira USD$13 (RM58) di mana berat sebutir pingat gangsa itu adalah kira-kira 455 gram yang diperbuat daripada 415 gram tembaga, 21 gram zink dan 18 gram besi.KitaReporters

8
16
0
10
0
You will be interested