SAYANG sekali tiga si cantik manis dalam kontinjen Malaysia di Tokyo, Jepun, mengucapkan ‘sayonara Orinpikku Kyōgi 2020 (2021)!’ (selamat tinggal Sukan Olimpik) lebih awal.
Mereka ialah Farah Ann Abdul Hadi, Goh Liu Ying dan Leong Mun Yee masing-masing kepada saingan all-around gimnastik artistik, beregu campuran badminton dan akuatik terjun seirama platform 10 meter.
Apa hendak dikata, sudah itu sahaja rezeki mereka biarpun tirai temasya ke-32 ini hanya akan dilabuhkan tirainya dan obornya dipadamkan pada 8 Ogos 2021.
Trio cantik Malaysia ini masing-masing turut pernah terbabit dengan karier peragawati sambilan dengan beberapa produk komersial.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik
FARAH Ann Abdul Hadi berwajah cantik dengan darah kacukan Malaysia-Kanada. - Kredit foto: IG Farah
AKSI Farah Ann Abdul Hadi dalam palang bertingkat all-around gimnastik artistik Olimpik Tokyo. - Kredit foto: MSN
Farah, 27, yang terawal pulang ke tanah air kira-kira 5.45 petang 27 Julai 2021 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor bersama jurulatihnya, Natalia Sinkova, warga Ukraine.
Dengan mengutip 11.600 mata dalam aparatus palang bertingkat, titian imbangan (11.566 mata), senam lantai (12.233 mata) dan melombol (13.166 mata) dengan jumlah 48.565 mata, gimnas kelahiran Selangor itu gagal ke pusingan akhir all-around atau serba geri.
Inilah penampilan sulung Farah, pemenang tujuh pingat emas Sukan SEA, di pentas Olimpik. Justeru sukar hendak berharapkan sesuatu yang luar biasa dan lebih baik dari tempat ke-68 keseluruhan miliknya daripada 85 peserta di Pusat Gimnastik Ariake itu.
GOH Liu Ying mempunyai ramai pengikut IG daripada pelbagai lapisan bangsa di Malaysia malah Indonesia. - Kredit IG GLY
PUKULAN kilas Goh Liu Ying sambil diperhatikan Chan Peng Soon dalam perlawanan beregu campuran Olimpik. - Kredit foto: MSN
Paling menghampakan ialah Liu Ying, 32. Anak jati Melaka ini pula gagal mempertahankan pingat perak Olimpik dalam beregu campuran dengan Chan Peng Soon.
Di Rio 2016, mereka mencipta kejutan dengan melonjak ke podium namun Plaza Sukan Musashino kali ini menyaksikan kecundangnya gandingan harapan Malaysia ini dalam ketiga-tiga perlawanan Kumpulan D.
Liu Ying-Peng Soon ditundukkan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong 18-21, 21-10, 16-21; Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich (Jerman) 12-21, 15-21 dan Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping (China) 13-21, 19-21.
LEONG Mun Yee dalam satu posing menarik dengan sebuah portal berita dalam talian. - Kredit foto: IG LMY
LEONG Mun Yee (kanan) dan Pandelela Rinong Pamg memperagakan terjunan seirama platform 10m dalam Sukan Olimpik Tokyo. - Kredit foto: MSN
Di Pusat Akuatik Tokyo pula, Mun Yee yang bergandingan dengan Pandelela berada di tempat corot terjun seirama platform 10m dalam persaingan lapan negara setelah sekadar beroleh 277.98 mata.
Wanita kelahiran Ipoh berusia 37 tahun ini turut gagal membantu Malaysia mempertahankan pingat perak acara sama yang dimenangi Pandelela dan Cheong Jun Hoong dalam Olimpik Rio 2016.
Mun Yee lebih terkilan kerana Tokyo 2020 (2021) merupakan penampilan Olimpik kelimanya yang menyaksikan dia terus kempunan pingat selepas Sydney 2000, Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.
LEONG Mun Yee (kanan) dan Pandelela Rinong Pamg selepas menamatkan acara di tempat kelapan. - Kredit foto: MOM
GOH Liu Ying (kanan) dan Chan Peng Soon sudah tiga kali menyertai Sukan Olimpik sejak London 2012 lagi. - Kredit foto: MSN
FARAH Ann Abdul Hadi (kanan) mendapat kata-kata perangsang Natalia Sinkova di Pusat Gimnastik Ariake. - Kredit foto: MSN
Ketika Malaysia bakal menerima kepulangan trio wirawati jelita ini, kemunculan Alica Schmidt yang digelar 'Atlet Terseksi Di Dunia' pula dinanti-nantikan ramai peminat sukan apabila olahraga Olimpik menyingkap tirainya di Stadium Olimpik Tokyo pada 30 Julai 2021.
Jurulatih kecergasan kelab bola sepak Borussia Dortmund ini menganggotai rangkaian 4x400m berganti-ganti campuran Jerman malah pasti mengharapkan pingat Olimpik pertamanya pada lehernya.
ALICA Schmidt bakal memperkasa rangkaian 4x400m Jerman di Stadium Olimpik Tokyo. - Kredit foto: Mirror UK
Alica, 22, berlumba 400m dengan seorang pemain Dortmund yang juga Jerman, Mats Hummels yang keletihan selepas itu dan mengakui memandang rendah kemampuan lawan seorang wanita apabila menyaingi lelaki.
"Tumpuan dan keutamaan saya ialah sukan. Saya tidak tahu mengapa saya mendapat gelaran terseksi ini (diberikan majalah Australia, Busted Coverage)," kata model jenama alatan sukan masyhur Puma ini, lapor portal berita United Kingdom, Mirror, baru-baru ini.
Mempunyai 1.8 juta pengikut pada laman sosial Instagram, Alica pernah memenangi perak 4x400m pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Eropah 2017 di Grosetto, Itali.
Dia menolak satu tawaran lumayan daripada sebuah majalah dewasa ternama untuk bergambar bogel kerana mahu memberikan tumpuan kepada persediaan menghadapi Sukan Olimpik.
Kini Alica dilaporkan berpacaran dengan ahli bina badan Jerman, Fredi Richter. - KitaReporters
ALICA Schmidt (kanan) menewaskan Mats Hummels, bek tengah kelab Borussia Dortmund dan kebangsaan Jerman dalam lumba 400m sesama mereka. - Kredit foto: Mirror UK