Seni & Sukan 16 May, 2020

Alahai orang Terengganu! MB beri amaran! Nak PKPB atau PKP?!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

RAKYAT negeri Terengganu diberi pilihan sama ada ingin kekal dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan atau kembali semula kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Orang Ganu pilih mana? : KitaReporters



Ingatan itu diberikan oleh pihak berkuasa kerana terdapat segelintir individu dilihat tidak faham dengan PKPB kerana ramai yang mengambil peluang daripada kelonggaran berkenaan dengan tidak mementingkan keselamatan dan kawalan kendiri dengan berkumpul di tempat-tempat awam terutama kawasan riadah

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan bermula 4 Mei 2020, rakyat khususnya masyarakat di negeri ini semakin faham dan mematuhi (SOP) ditetapkan kerajaan, tetapi ada juga tidak mengambil peduli. 

Antara tempat yang menjadi pilihan orang ramai berkumpul terutama pada waktu malam termasuklah kawasan rekreasi Taman Awam Pantai Batu Buruk, Pantai Teluk Ketapang, Dataran Shahbandar, Lagun Kuala Ibai dan Jambatan Angkat (Drawbridge)

Remaja mengambil kesempatan lepak-lepak pada waktu malam sempena PKPB di tempat riadah Kuala Terengganu. - Kredit foto: Facebook


Sikap orang ramai yang tidak mementingkan keselamatan dan tidak faham dengan pelaksanaan PKPB  berikutan penularan pandemic COVID-19 turut ditegur oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

“Saya ingatkan sekali lagi, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk melaksanakan PKP semula jika pematuhan SOP pada tahap rendah,” katanya menerusi satu catatan di Facebook miliknya.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat catatan dalam akaun Facebooknya untuk memberi amaran kepada rakyat Terengganu


Bagaimanapun, jumlah individu yang bersantai di situ nyata tidak seramai sebelum ini, menunjukkan penguatkuasaan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan bersama pasukan keselamatan mendatangkan kesan positif.

Namun, kawasan-kawasan lain di sekitar Bandar Raya Kuala Terengganu dilihat sepi dan kedai-kedai makan turut mematuhi larangan yang ditetapkan kerajaan negeri supaya tidak membenarkan pelanggan makan di dalam premis sebaliknya melakukan jual beli secara 'take away' sahaja. 

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusof Zakaria berkata, seluruh rakyat Terengganu diminta agar tidak berkumpul di taman-taman awam bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadli Yusof Zakaria 


Katanya, aktiviti berkenaan boleh menyebabkan berlaku kesesakan dan memudahkan wabak pandemik merebak.

"Pihak MBKT menyeru kepada orang awam agar tidak berkumpul dan bersesak-sesak di taman-taman awam,” katanya. 

 "Aktiviti sebegini boleh menyebabkan penularan wabak COVID-19, yang boleh menjadikan Kuala Terengganu kembali ke zon merah (zon aktif)," tegas MBKT dalam satu hantaran dalam akaun rasmi Facebook mereka. Ketegasan itu disuarakan selepas pihaknya mendapati orang ramai berkumpul dalam kumpulan yang ramai.

Orang ramai beriadah di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu pada waktu malam


Susulan itu juga, difahamkan pihak MBKT telah meletakkan penghadang bagi menghalang orang ramai memasuki Taman Awam Batu Buruk.

Malah tidak kurang juga keluarga yang mengambil kesempatan mengadakan aktiviti  berbuka puasa di Taman Awam Batu Buruk. 

Kanak-kanak dan bayi juga dikesan dibawa bersama-sama dalam aktiviti tersebut. 

Tindakan tersebut pastinya menimbulkan keresahan pihak lain pada saat wabak COVID-19 belum reda sepenuhnya. - KitaReporters

2
1
0
0
0
You will be interested