Seni & Sukan 05 Mar, 2022

Video| Ke mana tumpahnya kuah? Amen sambung legasi Mamat Khalid! Kampong Pisang Berbuah Dua Kali!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

AMEN KHALID


SEBAGAIMANA Allahyarham Seniman Agung Tan Sri P Ramlee meninggalkan karya yang tidak lapuk ditelan zaman, begitulah juga persamaan yang dapat disimpulkan terhadap sutradara tersohor, Allahyarham Mamat Khalid yang tidak kurang meninggalkan sebuah legasi cukup besar buat industri penyiaran dan perfileman Malaysia.

Kejayaan-kejayaan yang dicipta turut menyumbang kepada corak perubahan perfileman tempatan, antaranya filem 'Hantu Kak Limah' menjadi filem pertama negara yang menembusi kutipan pecah panggung RM30 juta.

Selain itu francais filem komedi No 1 tanah air ‘Kampong Pisang’ telah dikembangkan dari filem ke drama siri premium, telemovie serta filem pendek.

Malah lebih unik apabila ia menjadi satu-satunya jenama filem tempatan yang masih menerima reaksi positif serta relevan sehingga ke hari ini meskipun telah diperkenalkan sejak lebih sedekad lalu.



Terbaharu, bagi meneruskan perjuangan seni dan legasi arwah, anak keempatnya, Amen Khalid diberi tugas menggalas tanggungjawab mengarahkan hasil karya terakhir ayahnya, iaitu “Kampong Pisang Berbuah Dua Kali”

“Meskipun teruja untuk mempersembahkan karya daripada legasi peninggalan arwah ayah, namun dalam masa yang sama saya rasa gementar untuk melihat reaksi penonton terutama peminat Kampong Pisang,” ujar Amen dalam bual bicara pada majlis sidang media  mempromosikan “Kampong Pisang Berbuah Dua Kali’ secara virtual yang diadakan baru-baru ini.

Filem komedi seram kesukaan ramai terbitan Astro Shaw dan kerjasama produksi Enjit-Enjit Semut itu sudah pun mula ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 sejak 3 Mac 2022 lalu.


Sidang media secara virtual yang diadakan baru-baru ini bersama. Gambar dari kiri atas: Amen, Raja Jastina, Aziz M. Osman, Eina Azman dan Bell Ngasri.


Turut hadir bersama Amen dalam sidang media secara virtual itu adalah tiga pelakon utamanya, Aziz M. Osman, Bell Ngasri dan Datin Paduka Eina Azman serta Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad.

Bercerita lanjut mengenai pengalaman pertama kalinya mengarah sebuah cerita yang ditulis oleh ayahnya sendiri, Amen berharap menerusi filem berkenaan ia akan menjadi permulaan yang baik untuk dirinya memperjuangkan seni dan teruskan legasi Allahyarham ayahnya.

“Saya terima apa sahaja komen penonton jika mereka membandingkan saya dengan ayah sebab cara itu saya dapat tahu reaksi mereka untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.” tambah Amen  dalam nada sebak sambil memberitahu memperoleh kekuatan untuk mengarah daripada ibunya, Hasmah Hassan.



Amen bersama ibunya, Hasmah dan Raja Jastina (kanan).


Namun beliau melahirkan ucapan terima kasihnya kepada setiap barisan pelakon yang banyak membantunya dan memberikan input demi menjayakan filem tersebut.

“Di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi dan Amen membuktikan beliau mampu meneruskan karya ayahnya malah arwah sering memberitahu saya bahawa Amen akan mewarisi kerja-kerjanya,” kenang Aziz M. Osman.

Bersetuju dengan pendapat Aziz, Bell Ngasri turut memberitahu, suara Amen persis suara arwah apabila menyebut ‘action’ dan gaya pengarahannya memang tidak jauh lari daripada arwah Mamat.

“Pemikiran arwah ada dalam cerita ini malah lawak-lawak arwah ada pada Amen,” sambung Bell Ngasri.


Antara babak lakonan Aziz M. Osman dan Bell Ngasri dalam filem 'Kampun Pisang Berbuah Dua Kali'.


Namun bagi pelakon baharu dalam siri “Kampung Pisang”, pelakon Eina Azman mengakui menerima tawaran untuk berlakon disebabkan mahu berkongsi pengalaman berlakon di bawah Mamat Khalid.

“Tetapi apa kan daya, sedih sangat apabila tidak kesampaian. Dan apa yang paling mencabar apabila saya perlu bersilat sehingga hidung saya benar-benar tertusuk dari tumbukan oleh Yati (lakonan Anis Nisham). Itu kenangan yang tidak dapat saya lupakan,” cerita Eina.

Kehadiran beliau memegang watak sebagai Cik Mek sudah pasti menambahkan kegamatan dalam Kampung Pisang malah Eina turut menyanyikan sebuah lagu bersama watak baru Cik Gerhana lakonan Azman Mantra personaliti media sosial yang pernah tular kerana nyanyiannya.


Salah sebuah babak lakonan Eina Azman dan Azman Mantara.


Selain Aziz M. Osman dan  Bell Ngasri yang masih kekal menerajui watak sebagai penduduk Kampong Pisang, antaranya Kazar Saisi, Mat London, Joey Daud dan Yeop Hitler.

Di samping itu,  watak-watak baharu lain yang  diperkenalkan adalah Yaakob Kangkong lakonan pengacara Dollah Cantik manakala watak daripada ‘Kampong Pisang Bersiri Siri’, iaitu Khuda serta Teck Zee (Kampong Pisang Kita Setandan) turut kembali dalam filem ini.  

Bagaiman kah arahan Amen? Mampukah beliau mengekalkan resepi garapan ayahnya? 

Jika nak tahu jawapannya bolehlah langgani Astro First di saluran 480 dengan bayaran RM15 untuk tontonan selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. - KitaReporters



Salah sebuah babak lakonan Dollah Canrik  (baju putih) dalam 'Kampung Pisang Berbuah Dua Kali'.

11
11
0
13
0
You will be interested