.
Seniwati legenda, Datuk Dr Sarimah Ahmad, 82, tidak menduga mendapat hadiah bermakna dalam bulan Ramadan 1446H/2025M ini apabila hak empat judul filem miliknya dikembali kepadanya setelah diperjuangnya selama 37 tahun.
Empat filem itu ialah ‘Dia Ibuku’, ‘Jejak Bertapak’, ‘Kabus Tengah Hari’ dan ‘Detik 12 Malam’ terbitan awal tahun 1980-an yang diambil oleh sebuah syarikat produksi di bawah perjanjian tayangan pada 1989.
Perkara itu telah dihebah oleh Sarimah sejak awal tahun 2024.
Menurut Sarimah, filem-filem itu diserah milik kepada sebuah syarikat produksi selepas kematian suaminya, Yusof Majid di bawah perjanjian tayangan pada 1989.


Melihat tekanan perasaan Sarimah, anak kelimanya Yusarima Puteri Mohd Yusof, 54 menghantar e-mail kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Februari 2024.
Sarimah berterima kasih kepada Kerajaan Madani yang mendengar rayuannya dan membuat Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bertindak.
Mendengar rayuan Sarimah, Kementerian Komunikasi melalui Finas berjaya ‘memujuk’ syarikat produksi itu menyerah semula salinan asal filem-filem itu kepada FINAS untuk proses digitalisasi.
Malah syarikat produksi itu setuju untuk memberi sagu hati kepada Sarimah sebagai pemilik asal filem-filem itu.
Setelah hak milik kembali diserahkan kepada Sarimah, maka dia berpeluang mendapat royalti jika filem-filem itu ditayang semula di stesen-stesen TV.

Penyerahan kembali hak empat filem itu dilakukan pada program Ziarah Seni Madani Finas di rumah anak Sarimah di Subang Jaya pada Jumaat, 14 Mac 2025.
Serahan berkenaan dilakukan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas, Rozaidi Abdul Jamil serta Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez.

Bagi Sarimah, penyerahan semula hak empat filemnya itu juga sebagai hadiah hari jadinya yang ke-83 pada 28 April 2025.
Nie Ching turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan keperluan asas bagi meringankan beban Sarimah yang pernah menghidap kanser usus pada 2022.
Sarimah merupakan penerima pertama program Ziarah Seni Madani Finas bagi tahun 2025.
Program Ziarah Seni Madani Finas bagi 2025 ini bercadang menyantuni 100 orang insan seni yang bermasalah dari segi kewangan dan kesihatan.

Sarimah memulakan langkah dalam bidang lakonan melalui filem ‘Ali Baba Bujang Lapok’ sebagai pembantu rumah bernama Majihah. Filem ini dibuat akhir 1960 dan ditayang kepada umum pada Februari 1961.
Sepanjang penglibatannya dalam filem Sarimah telah membintangi 44 judul filem dengan filem terakhirnya ‘Momok The Movie’ pada 2009.

Sarimah merupakan antara bintang filem paling jelita dan seksi dalam industri filem Melayu. Wajahnya kelihatan lebih muda daripada usia sebenarnya. Beliau bakal memasuki usia 83 tahun.
Selain berlakon, Sarimah menjadi penerbit beberapa filem dan juga pernah terlibat dalam perniagaan kosmetik dan jamu. - KitaReporters