Seni & Sukan 15 Jan, 2026

Reset bola sepak negara! Dari polemik ke proses! NFDP era Kim Swee-Dollah bermula! 39 wajah baharu!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Pelantikan Datuk Dollah Salleh sebagai Penolong Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menandakan satu fasa ‘reset’ yang penting dalam landskap pembangunan sukan nombor satu negara itu.



Digandingkan dengan Datuk Ong Kim Swee sebagai Pengarah Teknikal NFDP, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini menampilkan struktur teknikal yang bukan sahaja sarat pengalaman, tetapi juga memahami denyut nadi pembangunan pemain tempatan sejak awal usia.

Langkah ini hadir pada saat bola sepak negara masih bergelut dengan persoalan identiti, hala tuju dan kebergantungan terhadap penyelesaian jangka pendek.

Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Pahang sebagai tulang belakang NFDP, kembali menjadi tumpuan utama selepas FAM mengambil alih sepenuhnya aspek teknikal program tersebut daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

Sejarah AMD bukan calang-calang. Akademi ini diwujudkan sebagai projek nasional untuk membina pemain sejak usia remaja dengan pendekatan sistematik, disiplin tinggi dan pendedahan awal kepada persekitaran elit.

Dalam tempoh lebih sedekad, AMD telah melahirkan ramai pemain kebangsaan yang menjadi tulang belakang skuad remaja, bawah 23 tahun dan pasukan senior.


Sebilangan pelatih mengemaskan pakaian ketika di asrama AMD.
Sejumlah 39 pelatih AMD memulakan sesi persekolahan tingkatan satu di SMK Gambang.

Namun, seperti mana-mana sistem pembangunan jangka panjang, AMD juga tidak terlepas daripada kritikan apabila prestasi pasukan kebangsaan gagal memenuhi jangkaan peminat.

Dalam konteks itu, FAM memilih untuk tidak menafikan kelemahan lalu, sebaliknya melakukan penstrukturan semula dengan lebih realistik dan berfokus.

Simbol paling jelas kepada permulaan baharu ini ialah kemasukan 39 pelatih AMD Generasi 2013, iaitu pengambilan pertama selepas NFDP diambil alih secara teknikal oleh FAM.

Ketibaan 39 pelatih baharu ini bukan sekadar angka, tetapi lambang harapan dan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan akar umbi yang tulen.

Mereka telah melapor diri di AMD Kuantan pada Ahad, 11 Januari 2026 dan memulakan sesi persekolahan Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gambang sehari kemudian.

Pendekatan ini menegaskan bahawa FAM tidak mahu pembangunan bola sepak dilakukan dengan mengorbankan pendidikan, sebaliknya membina keseimbangan antara akademik dan sukan.

Sesi taklimat bersama ibu bapa pelatih turut diadakan, memperlihatkan usaha mewujudkan ekosistem sokongan yang menyeluruh antara akademi, sekolah dan keluarga.




Dalam masa sama, FAM turut menyusun semula barisan kejurulatihan AMD, dengan gabungan jurulatih berpengalaman dan bekas pemain kebangsaan bagi memastikan kesinambungan nilai tempatan tidak terhakis.

Pelantikan figura seperti Shukor Adan, P Maniam dan Hassan Sazali Waras mencerminkan kepercayaan kepada pengalaman lapangan yang memahami realiti pemain muda Malaysia.

Pada peringkat makro, FAM juga dilihat mengambil pendirian tegas untuk tidak terus terheret dalam polemik pemain warisan yang sebelum ini mendominasi perbincangan bola sepak negara.

Kes pemain warisan yang dikaitkan dengan isu dokumentasi dan status kelayakan memberi pengajaran besar bahawa penyelesaian segera boleh mengganggu fokus pembangunan jangka panjang.

Tanpa menafikan keperluan daya saing antarabangsa, FAM enggan menoleh ke belakang atau menjadikan isu tersebut sebagai tonggak masa depan.

Sebaliknya, tumpuan diberikan sepenuhnya kepada proses menggilap bakat tempatan dari usia 13 tahun secara konsisten dan berdisiplin.






Dengan keseluruhan 198 pelatih AMD bagi tahun 2026, termasuk kelompok usia 13 hingga 17 tahun, struktur pembangunan kini lebih tersusun dan berlapik.

Pelatih berusia 13, 14 dan 15 tahun ditempatkan di SMK Gambang, manakala kumpulan usia 16 dan 17 tahun meneruskan pengajian di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).

Model ini memberi gambaran jelas bahawa pembangunan pemain bukan projek segera, tetapi perjalanan panjang yang menuntut kesabaran, kestabilan dan keyakinan kepada sistem.

Cabaran sebenar FAM selepas ini adalah memastikan NFDP dilindungi daripada gangguan luar, perubahan dasar mendadak dan tekanan populis yang sering menggugat pembangunan akar umbi.

Dollah Salleh dan Ong Kim Swee kini memikul tanggungjawab besar sebagai penjaga falsafah pembangunan ini, memastikan legasi AMD terus relevan dan berkembang.

Akhirnya, 39 pelatih baharu ini mungkin belum dikenali hari ini, tetapi di situlah letaknya harapan bola sepak negara -- bukan pada nama besar atau kontroversi lalu, tetapi pada proses membina generasi sendiri yang beridentiti, berdaya saing dan berakar kukuh. - KitaReporters


Kepimpinan FAM bersama jurulatih, para pelatih dan ibu bapa merakam momen indah semasa melapor diri di AMD, Gambang, Kuantan.

4
5
0
8
0
You will be interested