Seni & Sukan 07 Aug, 2025

Video| Berakhir Kita! Syamel selami kisah cinta tidak kesampaian! Tampil dengan balada terbaharu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


Setelah sekian lama dinanti, penyanyi dengan vokal yang menggetarkan, Syamel, 31, akhirnya melancarkan balada terbaharunya berjudul "Berakhir Kita"

Lagu yang sarat dengan emosi ini kini tersedia untuk distrim dalam semua platform digital, bermula 6 Ogos 2025.

Hasil kolaborasi mantap antara Universal Music Malaysia, Maison Management, dan Global Keynote Sdn. Bhd., lagu ini dicipta oleh Shazriq Azeman dan Omar K yang turut bertanggungjawab sebagai penerbit. 

"Berakhir Kita" membawa pendengar menyelami kisah cinta yang tidak kesampaian, merungkai perasaan pilu apabila sebuah perhubungan terhenti sebelum sempat bermula. 

Liriknya yang jujur menyuarakan kepahitan melihat harapan cinta yang musnah di hadapan mata, menjadikan lagu ini cerminan bagi sesiapa yang pernah mengalami kekecewaan.

Menurut pemilik bernama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly ini, proses rakaman lagu ini berjalan dengan lancar berkat kerjasama yang baik bersama dua komposer tersebut. 



"Mereka sentiasa memberikan tenaga yang positif dan kebebasan untuk saya mengolah lagu ini mengikut keselesaan nyanyian saya. Itu membuatkan proses rakaman menjadi lebih selesa dan bermakna," jelas Syamel.

Bagi menambah impak emosi,  lagu ini turut dilengkapi dengan sebuah paparan visual yang akan disatukan bersama sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan, waima Syamel percaya elemen visual ini akan memperkukuh emosi dan jalan cerita lagu.

“Hayatilah lirik dan melodi lagu ini yang, bagi saya, cukup sedih dan menyayat hati. Ditambah pula dengan babak-babak dalam drama tersebut, saya percaya ia akan memberikan impak yang lebih mendalam kepada para pendengar,” tambahnya.

Suami kepada penyanyi vokalis terbaik, Ernie Zakri ini  turut berharap "Berakhir Kita" mampu menyentuh hati pendengar dan menjadi lagu yang dekat dengan pengalaman peribadi mereka. 



"Saya berharap lagu ini akan melekat di hati pendengar, dan mereka dapat mengaitkannya dengan kisah hidup mereka sendiri," ujar Naib Juara Akademi Fantasia musim ke-12 pada tahun 2015 ini.

Proses penghasilan ‘Berakhir Kita’ turut mendapat sokongan padu daripada semua pihak yang terlibat. Gabungan usaha serta komitmen pasukan produksi menjadikan lagu ini lahir dengan penuh jiwa dan keikhlasan. 

“Ramai individu telah memainkan peranan dalam menjayakan lagu ini. Semua bergerak seiring dan memberikan kerjasama yang amat positif sepanjang proses penghasilan,” akhiri Syamel. - KitaReporters


Bersama isterinya, Ernie Zakri, mereka turut memenangi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu. ke-32 (2018) melalui lagu 'Aku Cinta'.

15
7
0
8
0
You will be interested