az
RAMAI pelakon lelaki terkenal di Studio Malay Film’s Productions (MFP) Singapura pernah diambil berlakon oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filem arahannya. Antaranya S. Kadarisman, Haji Mahadi, Salleh Kamil, Jins Shamsuddin, Yusof Latif, Ahmad Nesfu dan Ahmad Mahmud.

Tetapi ada
seorang bintang di MFP yang tidak pernah berlakon di bawah arahan P. Ramlee iaitu
Aziz Jaafar. Walau pun dia bintang popular di studio MFP, namanya
tercicir, tidak masuk dalam senarai P. Ramlee.
Tidak pasti kenapa P. Ramlee tidak pernah memilih Aziz Jaafar. Tetapi pastinya bukan kerana meragui bakat lakonan kerana Aziz sudah mencipta nama dengan membintangi banyak filem di MFP. Bukan juga kerana masalah peribadi. Mungkin kerana tidak ada peranan sesuai untuk Aziz.

P. Ramlee (kiri) bersama Normadiah dan Aziz Jaafar pada satu sesi latihan kumpulan 'Pancha Sitara' tahun 1960.
Mereka berdua pernah menganggotai kumpulan nyanyian ‘Pancha Sitara’ yang turut dianggotai isteri Aziz, seniwati Normadiah. Aziz dan Normadiah kemudian mengundur diri. Tempat mereka diganti oleh Saloma dan Ahmad Daud.
P. Ramlee
berhasrat membuat filem ‘Pancha Sitara’ sempena nama kumpulan tersebut. Untuk
pertama kali, dia berhasrat mengambil Aziz Jaafar berlakon dalam filem bercorak
muzikal itu.
Namun
sayangnya hasrat ini tidak kesampaian. Pemergian penulis skrip filem berkenaan,
H.M. Rohaizad (suami Allahyarham seniwati Mariani), ke alam abadi pada 1961
dalam usia muda 35 tahun, memaksa P. Ramlee menangguhkan pembikinan filem
tersebut.
Projek
tersebut terbengkalai terus apabila P. Ramlee berpindah ke Studio Merdeka Hulu
Kelang, Selangor pada April 1964. Ini diikuti dengan penutupan studio MFP pada
1967. Projek filem ’Pancha Sitara’ tinggal impian yang gagal direalisasikan.
Memang tiada rezeki Aziz Jaafar berlakon di bawah arahan P. Ramlee. Setelah P. Ramlee pindah ke Kuala Lumpur, Aziz Jaafar terus berlakon di MFP sehingga studio ditutup.
Dia kemudian berhijrah ke Studio Cathay Keris. Aziz dan Normadiah akhirnya berpindah ke Kuala Lumpur.

Pasangan romantis dan bahagia, Aziz Jaafar dan Normadiah.
Aziz Jaafar lahir di Singapura pada tahun November 1935. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Victoria, Singapura. Dia mempunyai minat mendalam dalam seni lakon dan nyanyian serta pernah bekerja sebagai pengalih suara di studio MFP.
Kerana
kebolehannya menyanyi, Aziz bergiat dalam beberapa kumpulan pancaragam sebagai
penyanyi sambilan mengikut bapa saudaranya, komposer dan pemuzik terkenal Yusof
B yang juga penggubah lagu di MFP.
Detik bersejarah Aziz terjun ke dalam dunia lakonan ialah pada tahun 1957 apabila pengarah K.M. Basker mengambilnya berlakon dalam filem ‘Hantu Jerangkung’. Sejak itu namanya melonjak naik, menyerlah sebagai bintang MFP.

Filem 'Hantu Jerangkung' keluaran tahun 1957 pembuka langkah Aziz Jaafar (kiri) menceburi dunia lakonan. Turut membintangi Hashimah Yon dan Omar Suwita.

Aziz Jaafar (kiri) bersama Salleh Kamil yang memegang watak jahat dalam 'Batu Belah Batu Bertangkup' keluaran tahun 1959.
Aziz membintangi banyak filem, antaranya ‘Batu Belah batu Bertangkup’, ‘Sumpah Wanita’, ‘Lela Manja’, ‘Dandan Setia’, ‘Singapura Dilanggar Todak’, ‘Lubalang Daik’, ‘Putera Sangkar Maut’, ‘Panji Semerang’, ‘Batu Durhaka’, ‘Neracha’, ‘Norlela’, ‘Pertarungan’, ‘Jeritan Batin’, ‘Anak Buluh Betung’, ‘Jebak Maut’ dan lain-lain.
Kelebihan
Aziz Jaafar ialah dia menyanyikan sendiri lagu-lagu dalam filem lakonannya, tidak
meminjam suara nyanyian seperti pelakon lain. Bakat Aziz ini samalah seperti P.
Ramlee yang menyanyikan lagu-lagu dalam filem lakonannya.
Ekoran
penutupan studio MFP, ramai pelakon membawa nasib. Aziz Jaafar berpindah ke
Studio Cathay Keris dan berlakon dalam filem-filem keluaran studio itu, antaranya
‘Puaka’, ‘Semusim di Neraka’ dan ‘Satu Titik di Garisan’.
Aziz berkahwin dengan Normadiah pada 1961. Seperti Aziz, selain berlakon Normadiah berkebolehan menyanyi. Suaranya banyak dipinjamkan untuk lagu-lagu dalam filem, dan pernah berduet dengan Aziz.
Pasangan ini dikurnia dua orang anak, Liza dan Azlina Aziz yang mewarisi bakat sebagai penyanyi.

Liza (kiri) dan Azlina Aziz, penyanyi popular anak pasangan Aziz Jaafar dan Normadiah.
Normadiah dianggap seniwati serba boleh kerana mampu membawa watak yang diberi dengan berkesan, sama ada watak baik, jahat, sedih dan jenaka dalam banyak filem lakonannya di MFP. Misalnya ‘Bujang Lapok’ (jenaka), ‘Si Tanggang’ (sedih), ‘Aksi Kuching’ (jenaka), ‘Lela Manja’ (jahat).
Setelah dunia lakonan sepi di Singapura, Aziz dan keluarga berpindah ke Kuala Lumpur.
Aziz berlakon dalam beberapa buah filem keluaran syarikat tempatan, antaranya ‘Sumpah Semerah Padi’, ‘Sayang Anakku Sayang’, ‘Kabus Tengahari, ‘Layar Lara’, ‘Hapuslah Air Matamu’, ‘Pendekar’, ‘Wira Angkasa’ dan ‘Black Widow Wajah Ayu’.
Aziz juga
diangkat sebagai pengarah di Kuala Lumpur. Antara filem arahannya ‘Anak
Sulung Tujuh Keturunan’, ‘Sumber Ilhamku’ dan ‘Penentuan’.
Normadiah juga berlakon dalam banyak filem, antaranya ‘Gila-Gila’, ‘Si Badul’, ‘Orang Kampung Otak Kimia’, ‘Anak Sulung Tujuh Keturunan’, ‘Penentuan’, ‘Ribut Barat’, ‘Dia Ibuku’, ‘Panglima Badul’, ‘Hapuslah Air Matamu’, ‘Dendang Perantau’, ‘Toyol’, ‘Si Luncai’ dan ‘Pendekar’.

Aziz Jaafar dan Normadiah berkahwin apda 1961. Mereka memiliki bakat berlakon dan menyanyi.
Normadiah
meninggal dunia pada 8 Ogos 2000 di Hospital Assunta, Petaling Jaya akibat penyakit
apendiks dan kencing manis dalam usia 67 tahun. Arwah dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Aziz Jaafar pula meninggal dunia pada 23 Jun 2005 di rumahnya di Subang Jaya kerana demam, pada usia 69 tahun. Jenazahnya juga disemadikan di Bukit Kiara.
Semoga Allah cucuri rahmat dan ampuni dosa kedua-dua mereka. - KitaReporters