Pelakon veteran Nur Zarina Mohd Zainuddin, lebih dikenali, Zarina Zainuddin, 54, kebelakangan ini menjadi perhatian para netizen yang menyaksikan rakaman audio dan video lagu ‘Pulut Kuning Zarina’ dalam media sosialnya.

Ada yang memuji suara yang tetap sedap didengar, sementara sebahagian lagi memberi kritikan sinis.
Sehingga ada yang mengganggap nyanyian Zarina ‘ke laut’, malah ada yang mencadangkan dia menggunakan teknik kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI).
Zarina menebalkan telinga mendengar kritikan nyanyiannya ‘ke laut’ kerana mengaku dia bukan penyanyi.
Zarina mencipta melodi dan lirik lagu ‘Pulut Kuning Zarina’ sejak beberapa tahun dahulu bagi mempromosikan produk pulut kuningnya.

Namun kerana mengetahui untuk merakam sebuah lagu di Malaysia memerlukan belanja kira-kira RM15,000 menyebabkan hasratnya terpaksa ditangguh.
Tetapi menurut beberapa kawannya di Brunei Darussalam, di negara itu terdapat studio yang sederhana tetapi mempunyai kemudahan canggih untuk rakaman audio dan visual dengan harga yang munasabah.
Lalu Zarina baru-baru ini pergi ke negara itu selain urusan bisnes, membuat rakaman lagu ‘Pulut Kuning Zarina’. Rakaman selesai dalam dua jam dengan bantuan padu daripada kakitangan dan pengurus studio itu.
Walaupun sedar terdapat sejumlah individu yang sinis dengan suara nyanyiannya, namun Zarina tidak kisah.
Ini kerana lagu ‘Pulut Kuning Zarina’ bukan untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada. Tujuannya adalah untuk mempromosi pulut kuningnya.
Sebelum ini, Zarina pernah memuatkan video dia menyanyi dengan salah satu anak kembarnya Azal Azrai (Muhammad Raizal Azrai Abu Raihan) lagu ‘Bismillah 5’ dan menerima kritikan sejumlah netizen yang menyifatkan suara mereka sumbang (ke laut).


Perniagaan makanan dan minuman Zarina yang bermula sejak sembilan tahun lalu dengan produk utamanya pulut kuning.Kini produk pulut kuningnya sudah mula mendonia.
Selain mempunyai wakil penjual, barangannya turut dipasar melalui rangkaian e-dagang. Pulut kuning Zarina diserta dengan rendang sama ada ayam, daging, kerang atau sambal bilis petai.
Bagi mereka yang pernah membeli atau merasa ‘Pulut Kuning Zarina’, mereka akan memuji keenakannya. Malah Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menjadi salah seorang pembeli setia ‘Pulut Kuning Zarina’.
Dan mungkin langkah dilaku oleh Zarina patut dicontohi insan-insan seni senior yang semakin terjejas peluang mendapat rezeki daripada bidang seni, perlu mencari rezeki daripada sumber lain. - KitaReporters