Malaysia dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan bergabung tenaga menerusi projek FIFA Arena bagi melahirkan lebih ramai pemain bole sepak tempatan, selain meningkatkan kemudahan bola sepak negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino di Putrajaya pada Sabtu, 25 Oktober 2025 tertumpu kepada usaha memperkukuh ekosistem bola sepak di Malaysia dan rantau ASEAN,
"Ini termasuk melalui projek FIFA Arena yang bakal menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai bakat tempatan dan peningkatan prasarana bola sepak negara," jelasnya.

Kata beliau, mereka turut menyentuh mengenai Perjanjian Pembangunan Bola Sepak ASEAN-FIFA yang merupakan satu langkah strategik membuka lembaran baharu ke arah menjadikan rantau ini sebagai kuasa bola sepak yang disegani pada peringkat global.
"Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak melalui peningkatan kemudahan, latihan berstruktur serta kerjasama strategik bersama FIFA.
"Ini adalah sebagai langkah penting untuk melahirkan generasi baharu pemain berbakat, memperkukuh ekosistem sukan profesional dan mengangkat nama negara sebagai hab pembangunan bola sepak serantau," ujar Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media
