PIALA MCFA yang mula dipertanding pada 1948 menjadi milik Selangor kembali buat kali ke-14. - Kredit foto: MCFA
SELANGOR merapati rekod juara terbanyak Piala MCFA apabila kembali menjulangnya buat kali ke-14 dengan menumpaskan Negeri Sembilan menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas terikat 1-1 di Stadium Mini Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar, Perak.
Hanya kekurangan satu lagi gelaran dengan Pulau Pinang, Selangor sepatutnya memenangi perlawanan akhir edisi ke-71 pada 11 Ogos 2024 ini lebih awal andainya gol penyamaan oleh kapten Negeri Sembilan tidak menjelma seminit sebelum wisel penamat dibunyikan.
Gol Chun Keng Hong yang memadam jaringan pendahuluan Nicholas Wee Shen Ming pada minit ke-67, sekali gus memaksa penentuan juara kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) ini dilakukan menerusi sepakan penalti selepas 90 minit masa permainan sebenar.
PASUKAN Selangor bergembira besar meraikan kejayaan menjuarai Piala MCFA 2024 selepas menewaskan Negeri Sembilan menerusi penalti 4-2 di Stadium UTAR, Kampar, Perak. - Kredit foto: MCFA
NEGERI Sembilan yang terpaksa berpuas hati selaku naib juara dan habuan RM4,000, masih turut meraih anugerah Pasukan Permainan Adil dan Penjaga Gol Terbaik. - Kredit foto: MCFA
Selangor merupakan naib juara 2023 yang ditewaskan juga dengan penalti 3-2 oleh Kedah selepas turut terikat 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur malah pasukan Lembah Klang itu yang paling kerap ke final iaitu 30 kali.
Dikendalikan Ng Thean Loo, mereka turut mengaut
hadiah wang tunai juara sebanyak RM7,000 manakala Perak selaku naib juara terpaksa
berpuas hati dengan RM4,000.
Namun kali akhir Selangor menjulang Piala MCFA yang dipertanding mulai 1948 ialah pada 2022 selepas menewaskan Perak juga menerusi penalti 5-3 setelah seri tanpa jaringan.
Selangor juga mengekalkan rekod tanpa kalah
sepanjang edisi ke-71 ini sejak menjuarai Zon Selatan dengan empat kemenangan termasuk
menewaskan Negeri Sembilan dua kali, 2-0 dan 1-0 selain mengatasi Perak 1-0
pada separuh akhir, 9 Ogos 2024.
Tempat ketiga pula dimenangi bekas juara 15 kali dan finalis 26 edisi, Pulau Pinang yang menundukkan Perak juga menerusi penalti 4-3 selepas seri 2-2 namun masing-masing tetap beroleh sagu hati RM2,000.
NICHOLAS Wee Shen Ming bersama-sama bapanya, Wee Hock Kee menayangkan replika cek juara Piala MCFA Ke-71. - Kredit foto: MCFA
Final Piala MCFA 2024 turut menjadi perlawanan perpisahan tepat buat penjaring Selangor, Nicholas, 32, selepas pembabitannya dengan kejohanan ini sejak berusia 15 tahun lagi.
Bekas pemain Harimau Muda dan produk Program Pembangunan Bola Sepak Remaja Kelab Diraja Selangor ini juga kini menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DBC Group Physiotherapy Centres yang ditubuhkan bapanya, Wee Hock Kee.
Termasuk gelaran edisi ke-71 ini, Nicholas yang sudah
menjulang trofinya sebanyak enam kali, berkata, “saya masih tercedera lutut
tetapi jurulatih tetap mahukan saya bermain.
“Bola sepak profesional mahupun pertandingan sudah
berakhir bagi saya. Fokus saya ialah karier CEO sekarang dan hanya kerap
bermain secara sosial,” katanya yang dialihkan posisi perantara bertahan
daripada bek tengah oleh Thean Loo.
Piala MCFA 2024 turut terbuka kepada semua lapisan
kaum selain Cina asalkan bukan para pemain yang didaftarkan dalam Liga Super,
Liga M3, Piala Presiden dan Piala Belia.
Tiga pemain bawah 21 tahun juga diwajibkan membarisi kesebelasan utama setiap pasukan sepanjang perlawanan. - KitaReporters
KAPTEN Negeri Sembilan, Chun Keng Hong (jersi hijau) dan lawan sejawatan Selangor, Nicholas Wee Shen Ming menayangkan cenderamata final Piala MCFA 2024 sebelum sepak mula di Stadium Mini UTAR, Kampar. - Kredit foto: MCFA
SENARAI PEMENANG PIALA MCFA 2024:
Juara: Selangor
Naib juara: Negeri Sembilan
Ketiga: Pulau Pinang
Keempat: Perak
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Low Chun Keong
(Selangor)
Penjaring Terbanyak: Mak Chee Weng (Perak, 9 gol)
Penjaga Gol Terbaik: Lim Wei Peng (Negeri
Sembilan)
Pasukan Permainan Adil: Negeri Sembilan
LOW Chun Keong (jersi kuning merah) menerima anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala MCFA Ke-71. - Kredit foto: MCFA