Seni & Sukan 07 Nov, 2024

Video| Dia datang lagi! Gegar Vaganza 11 bermula 24 Nov 2024! 13 penyanyi, 1 kumpulan dari 3 negara!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Berlabuhnya tirai ‘Kilauan Emas 2024’ yang menyaksikan peserta berusia bertanding, kini slot itu diambil alih dengan kembalinya rancangan realiti nyanyian nombor satu Astro, ‘Gegar Vaganza’ (GV),  khas buat bintang-bintang otai yang pernah gemilang satu ketika dahulu.

Melangkaui sedekad sejak Gegar Vaganza bermula pada tahun 2014, musim ke-11 tahun ini bakal disertai 13 penyanyi solo dan sebuah kumpulan mewakili tiga negara - Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Barisan artis dari Malaysia dan Singapura terdiri daripada Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Zehra Zambri dan Ning Baizura,

Manakala dari Indonesia dibarisi artis legenda seperti Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima yang dianggotai oleh Taura, Bony dan Arif.



Kesemua mereka bakal bersaing pada GV11 yang akan memulakan siarannya pada 24 November ini, jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria yang masih dihoskan oleh Nabil Ahmad serta pasangan serasinya, Jihan Muse.

Bersiaran langsung selama 12 minggu dari Auditorium MBSA, Shah Alam, GV11 tidak ketinggalan membawa kembali barisan juri tetapnya, diketuai Dato’ Ramli MS yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang.

“Astro bakal memulakan GV11 dengan nafas baharu, namun masih mengekalkan kesengitannya antara semua peserta. Legenda bertemu lagenda, semuanya mempunyai latar belakang kejayaan yang hebat dalam bidang nyanyian. 

"Namun hanya vokal, aura dan persembahan mereka sahaja yang dipertaruh,” ujar Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad pada majlis sidang media ‘Gegar Vaganza ke-11’ yang diadakan disebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 6 November 2024.

Turut hadir Datuk Shafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang. 


Barisan artis Gegar Vaganza 11.


Menurut Raqim, sokongan dan kasih sayang yang diberikan selama sedekad, sehingga ke hari ini sangat dihargai waima Juara di antara juara juga sudah pun dinobatkan yang menyaksikan Jacqeline Victor menewaskan 7 pesaing lain antaranya Hardy Mirza (Naib Juara - Juara GV6);  Nikki Palikat (tempat ke-3, Naib Juara GV8) dan Liza Hanim (tempat ke-4 - Juara GV4).

Pada ‘All Stars Gegar Vaganza ke -10’ itu melibatkan 16 artis keseluruhannya termasuk Naib Juara GV setiap musim mahu pun yang terplih pada tempat ke-3 dan ke-4 seperti Ezad Lazim, Suki Low, Tomok dan Zamani.

“Kini, kami kembali ke asal usual GV iaitu dengan membawa kembali penyanyi-penyanyi yang pernah tular atau evergreen ke pentas prestij. 

"Kami amat berbangga kerana barisan peserta pada musim kali ini merupakan antara nama-nama terbesar di persada muzik tempatan dan serantau,” tambah Raqim yang  yakin GV masih relevan bukan sahaja untuk para peminat tetapi juga mampu menarik penyertaan artis-artis otai di serantau Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Siapakah yang akan menyambung takhta GV pada musim kali ini? 

Semuanya akan terjawab di pentas gah GV11 yang pastinya akan kembali menggemakan dewan konsert kelak. 

“Kami yakin musim terbaharu ini bakal mengejutkan para penonton dengan kehebatan barisan penyanyi terlibat, sekali gus membawa para penonton ke memori lalu ketika zaman kegemilangan mereka. 

"GV11 bakal beri kepuasan hiburan maksimum kepada penggemar-penggemar rancangan realiti nyanyian signature kami apatah lagi ada antara lagu-lagu mereka yang masih menjadi pilihan di mana-mana.,” akhiri Raqim. 


Raqim (enam dari kiri, berdiri) bersama Hetty dan Shafinaz bergambar dengan barisan artis GV11.


'GV11’ masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada akan disingkirkan.

Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, naib juara pula akan meraih RM50,000, tempat ketiga RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000. 

Selain itu, ‘Vazz Vaganza’ yang akan dihoskan oleh Dina Nadzir selama 30 minit sejurus selepas konsert utama berakhir akan menampilkan diskusi, wawancara dan soal jawab bersama barisan peserta ‘GV11’. 

Manakala klip sedutan sesi latihan vokal dan persediaan para peserta dapat ditonton melalui ‘Kapsul Gegar Vaganza 11’ yang akan dihoskan oleh Putra Anuar pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 9 malam. 

Lebih menarik eksklusif buat peminat tegar ‘GV’, mereka akan mendapat kejutan besar apabila mereka memberitahu apa yang mereka suka tentang ‘GV’ dan mengapa dalam laman media sosial X Vagangers di mana dengan tweet yang mendapat likes atau retweets  paling banyak akan dipilih untuk menerima kejutan berkenaan. - KitaReporters


Antara artis 'GV11' - Ning Baizura, Liza Aziz, Reshmonu, Kumpulan The Lima dan Sheila Abdul.

13
11
0
17
0
You will be interested