Seni & Sukan 05 Sep, 2024

Cheah Liek Hou nak kongsi hadiah RM1j SHAKAM dengan atlet para! Selepas menang emas Paralimpik Paris!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Pemenang pingat emas badminton Paralimpik Paris 2024, Cheah Liek Hou menunjukkan pingat emas yang dimenanginya. - Kredit foto : CNA.


Cheah Liek Hou dan jurulatihnya Nova Armada meraikan kejayaan menumpaskan pemain Indonesia, Surya Nugroho pada perlawanan akhir badminton katogeri SU5 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik Paris 2024. - Kredit foto: Reuters


Pemenang pingat emas Paralimpik Paris 2024 yang juga merupakan juara dunia badminton para sebanyak lapan kali, Cheah Liek Hou yang bakal bergelar jutawan melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) melahirkan hasrat 'berkongsi' sebahagian wang hadiah SHAKAM berjumlah RM 1 juta itu dengan masyarakat khususnya rakan-rakan atlet yang kurang bernasib baik.

"Apa yang saya mahu lakukan adalah untuk memulangkannya kepada masyarakat.  Jadi saya akan menyumbangkan sedikit sebanyak ke jalan kebajikan buat masyarakat seperti mana yang pernah saya lakukan selepas memenangi emas Sukan Paralimpik Tokyo pada tiga tahun lalu.

"Saya rasa rezeki ini bukan saya seorang sahaja yang berjaya dapatkannya, jadi saya mahu menyumbangkannya semula ke arah kebajikan. Tapi sebagai seorang atlet, fokus saya mungkin tertumpu kepada rakan atlet terlebih dahulu," katanya.

Menurutnya, mungkin dengan cara ini dia akan dapat membantu meringankan sedikit beban yang dihadapi mereka yang sedang diduga dan mengalami masalah.


Cheah Liek Hou menerima ucapan tahniah daripada lawan yang ditumpaskannya pada perlawanan akhir, Surya Nugroho. - Kredit foto: Vocket.

Liek Hou, 36, mengakui dalam usia yang semakin meningkat bukan sesuatu yang mudah baginya untuk meraih pingat emas acara badminton katogeri SU5 (kecacatan fizikal) di Paris walaupun pernah melakukannya pada edisi Paralimpik Tokyo 2020 tiga tahun lalu, yang diadakan pada 24 Ogos - 5 September 2021.

Dia yang juga merupakan pilihan utama kejohanan berjaya mengetepikan cabaran wakil Indonesia, Surya Nugroho dengan keputusan 21-13, 21-15 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena, Paris sekali gus melayakkannya menerima hadiah SHAKAM berjumlah RM 1 juta.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut mengesahkan Liek Hou layak menerima hadiah skim tersebut atas kejayaan membawa pulang pingat emas Sukan Paralimpik Paris, sama seperti yang ditawarkan kepada atlet normal di Sukan Olimpik Paris 2024 lalu.

Cheah Liek Hou (kiri) bersama Datuk Rashid Sidek ketika pulang ke tanah air selepas memenangi pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tiga tahun lalu. - Kredit foto: Facebook Majlis Paralimpik Malaysia.

Melalui satu hantaran yang dimuat naik dalam Facebooknya, Hannah turut mengumumkan Liek Hou turut layak menerima elaun bulanan sebanyak RM5,000 sepanjang hayat menerusi Skim Imbuhan Sukan Olimpik (SITO).

Kejayaan tersebut bukan sahaja membawa 'durian runtuh' kepada Liek Hou, sebaliknya kejayaan membutirkan pingat emas Paralimpik untuk negara turut dirasai tempiasnya oleh jurulatih beliau, Nova Armada yang akan menerima sejumlah 20 peratus iaitu kira-kira RM200 ribu daripada jumlah yang diterima oleh Liek Hou.

Untuk rekod, Liek Hou merupakan atlet para pertama negara yang berjaya memenangi pingat emas Sukan Paralimpik dalam acara badminton semasa penyertaan pertamanya di temasya Paralimpik Tokyo pada tiga tahun lalu di bawah bimbingan bekas jaguh badminton negara, Datuk Rashid Sidek. - KitaReporters

Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou (dua dari kiri) ketika memenangi kejuaraan dunia kali kelapan yang diadakan di Thailand. - Kredit foto: Hot fm.

14
14
0
4
0
You will be interested