Seni & Sukan 07 Aug, 2024

Tiket Pestabola dijual! Malaysia lawan Filipina! Tajikistan diuji Lebanon! Ujian sulung Pau Marti!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

MOHD. Firdaus Mohamed menayangkan kertas undian bernama Filipina yang diundi menentang Malaysia dalam separuh akhir kedua Pestabola Merdeka 2024 pada 4 September 2024 dalam majlis undian di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor. - Kredit foto: FAM


FILIPINA atau digelar Azkals diundi menjadi lawan sulung Harimau Malaya pada separuh akhir Pestabola Merdeka Ke-43 pada 4 September 2024.

Si menang atau si kalahnya bakal menempah pertembungan dengan Lebanon atau juara bertahan, Tajikistan dalam perlawanan akhir atau penentuan tempat ketiga, 8 September 2024.

Lebanon dan Tajikistan pula diundi sebagai pembuka tirai kejohanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil ini pukul 4.30 petang 4 September 2024 yang kesemua perlawanannya berlangsung dalam kalendar dan mempengaruhi ranking dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sepak mula perlawanan Malaysia-Filipina dan final Pestabola Merdeka 2024 ditetapkan pukul 9 malam, manakala penentuan tempat ketiga antara pasukan yang kalah kedua-dua separuh akhir itu juga 4.30 petang.



Harimau Malaya yang kini dikendalikan sementara oleh warga Sepanyol, Pau Marti Vicente ekoran pengunduran Kim Pan-gon pada 16 Julai 2024 lalu, menghuni ranking ke-134 dunia manakala Filipina ke-147 dengan kali terakhir menyertai Pestabola ialah pada 1972. 

Lebanon yang di ranking ke-116 dunia, bakal mula menguak Pestabola Merdeka setelah menarik diri daripada edisi ke-42, 2023 kerana turut bertembung Palestin dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Tajikistan di ranking tertinggi, ke-103 yang menghampakan skuad Pan-gon 2-0 dalam final Pestabola Merdeka 2023 di Bukit Jalil untuk menjulang trofi pertandingan antarabangsa antara tertua di Asia ini dan diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1957.

Pestabola Merdeka anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dihidupkan semula setelah menyepi selama sedekad sejak 2013.

Keempat-empat pasukan ini gagal ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas pusingan keduanya berakhir pada 10 Jun 2024, namun mereka masih memburu tiket pusingan akhir Piala Asia 2027 mulai 25 Mac 2025.


MOHD. Firdaus Mohamed (kanan) memilih guli undian yang berisi kertas bernama pasukan-pasukan peserta Pestabola Merdeka Ke-43 sambil diperhatikan Md. Dali Wahid. - Kredit foto: FAM  


Undian Pestabola Merdeka Ke-43 dikendalikan oleh Pengurus Pertandingan FAM, Muhammad Shauqi Ajwadi Roshidi sambil dilengkapkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan persatuan, Mohd. Firdaus Mohamed dan Timbalannya, Md. Dali Wahid di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 6 Ogos 2024.

“Pestabola jadi sebahagian persediaan Harimau Malaya menjelang Kejohanan ASEAN 2024 (dulunya Piala AFF) pada 23 November hingga 21 Disember 2024 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Kami memilih September bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan tarikh penubuhan Malaysia, 16 September 1963.  

“Pasti ramai peminat ternanti-nanti aksi sulung pasukan negara di bawah pemangku ketua jurulatih, Pau Marti walaupun sentuhan Pan-gon masih turut dirindui.

“Semestinya kami letakkan sasaran juara buat pasukan kita seperti mana 2023. Tiada alasan untuk tidak jadi juara,” kata Firdaus yang juga Naib Presiden FAM.  

Jepun dan Korea Selatan malah pasukan-pasukan sejauh Afrika seperti Senegal dan Ghana katanya, pernah bermain dalam Pestabola Merdeka pada era 70-an hingga 80-an tetapi kini ranking dunia mereka jauh lebih tinggi.

Satu hari nanti kami harap mereka dapat kembali bertanding di sini sebagai pendedahan bagus buat pasukan kebangsaan, katanya.


NOOR Azman Rahman (kiri) dan Mohd. Firdaus Mohamed menjawab soalan wakil media selepas majlis undian Pestabola Merdeka 2024 di Wisma FAM, Kelana Jaya. - Kredit foto: FAM


Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengumumkan penjualan tiket kombo berharga RM70 bagi menyaksikan kesemua perlawanan Pestabola Merdeka bagi tempoh terhad 14 hari dari 7 hingga 20 Ogos 2024 menerusi laman sesawang, www.tickethotline.com.my.

Tiket kombo RM70 ini bagi kategori Terbuka sahaja sementara tiket biasa mula dijual 21 Ogos 2024 sehingga hari perlawanan.

“Harga tiket setiap hari perlawanan ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak enam hingga 12 tahun) bagi kategori Terbuka, RM60 bagi kategori Astaka Besar (Grandstand) dan RM80 bagi kategori Premium. Kadar harga ini dikekalkan seperti Pestabola 2023,” katanya lagi. - KitaReporters


KALI akhir Malaysia menikmati trofi Pestabola Merdeka ini pada 14 September 2013 menerusi skuad Bawah 23 Tahun kendalian Datuk Ong Kim Swee yang menewaskan B-23 Myanmar 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang. - Kredit foto: FAM 


TAJIKISTAN yang menghampakan Harimau Malaya 2-0 pada perlawanan akhir 2023, bakal kembali ke Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk mempertahankan gelaran Pestabola Merdeka dari 4 hingga 8 September 2024. - Kredit foto: FAM 

9
12
0
16
0
You will be interested